Oct 09, 2014 - 58

Budaya Rumah Terbuka

sebagai tuan rumah usahlah berlebih-lebihan dalam membuat persediaan kerana membazir itu saudara syaitan!


Menjelang raya banyak agenda rumah terbuka bakal diraikan, namun sebagai tuan rumah usahlah berlebih-lebihan dalam membuat persediaan kerana membazir itu saudara syaitan!
 

Kongsikan makna hari raya bagi PU Yeop?

Di sisi Islam, hari raya yakni Idul Fitri membawa maksud hari kembali kepada fitrah yang mana setiap insan itu berada dalam keadaan suci dan bersih. Maklumlah kita sudah ditarbiah selama sebulan sepanjang Ramadan yang bertujuan menyucikan diri. Ini ibaratnya kita bagaikan bayi yang baru lahir kala menyambut pagi raya. Pun begitu, hari raya juga membawa makna hari kemenangan iaitu menang dalam menahan hawa nafsu sepanjang Ramadan

 

Agenda rumah terbuka seakan menjadi satu kemestian setiap kali menyambut lebaran. Komen PU Yeop?

Mengadakan rumah terbuka pada hari raya ada baik, ada buruknya. Baiknya, jika kita buat rumah terbuka setahun sekali, itu sudah memadai daripada tak buat langsung. Cuma kurang eloknya kerana kita sepatutnya meraikan tetamu pada bila-bila masa, dan bukannya hanya pada hari raya sahaja. Dalam agama ada menjelaskan bahawa tetamu yang datang itu membawa berkat, maka lagi ramai tetamu di rumah kita, itu petanda baik. Mungkin diri kita disukai ramai sekali gus petanda rezeki yang murah, insya-Allah.

 

Namun ada yang menganjurkan majlis rumah terbuka sekadar mahu menunjuk-nunjuk. Komen?

Jika dalam hati kita ada perasaan riak, bangga diri dan suka dipuji dengan perkara yang kita buat, ini adalah sesuatu yang tidak sihat. Dalam bab rumah terbuka ni, kalau kita nak menjamu tetamu biarlah dilakukan dengan hati yang ikhlas. Malah kita juga mampu untuk menyediakan kesemua keperluan, elakkan daripada berhutang atau bergolokgadai semata-mata untuk buat rumah terbuka. Pesan saya, kalau boleh janganlah berlebihlebihan kerana ini akan menyebabkan pembaziran. Membazir itu saudara syaitan!

 

Apakah maksud kemaafan bagi PU Yeop?

Islam mengajar umatnya untuk memaafkan kesilapan orang lain. Kerana manusia itu tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Sekiranya kita memaafkan kesalahan orang terhadap kita, maka hati kita lebih tenang. Memohon maaf bukan hanya pada hari raya. Ya, sepatutnya kita perlu memohon maaf sebaik sahaja menyedari kesilapan yang dilakukan kerana itu lebih baik.


Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:

  • ← Sebelum

    Cinta Orang Tengah

  • Seterus →

    Budaya Rumah Terbuka