Dec 17, 2014 - 2

Kayu Ukur Sebuah Perkahwinan | OLEH : Faisal Tehrani

Bahawa niat untuk memiliki keturunan itu sangatlah murni dan mulus sekali, bahagian yang paling penting daripada perkahwinan ialah memahami pasangan masing-masing.

EFWECFWED.jpg
Hujung –hujung  tahun begini, masih ada yang melengkapkan kehidupan dengan perkahwinan (meski tidaklah mengalami penajaan berjuta!). Mungkin juga anda baru sahaja bernikah dan inai di jari masih menjingga merah. Jadi, setelah berkahwin, kemudian apa?Ada yang menjawab, apa lagi kalau bukan beranak?

Bahawa niat untuk memiliki keturunan itu sangatlah murni dan mulus sekali, bahagian yang paling penting daripada perkahwinan ialah memahami pasangan masing-masing. Dahulu, kalian hanyalah dua individu berbeza yang konon-konon sehati sejiwa. Kali ini, semua menjadi real. Sesungguhnya tiap kelebihan atau kekurangan semakin tersingkap hari demi hari. Bahkan satu demi satu. Berkahwin bukan bermaksud suami perlu berhenti menggoda isteri, berhenti ‘dating’, berhenti menjadi rajin, berhenti menghargai dan berhenti melindungi.

Malah berkahwin menjadi kayu ukur bahawa segala yang pernah terlihat sewaktu percintaan itu kembali datang secara rasmi. Yang dulu dilakukan secara tidak rasmi, kali ini ia adalah sesuatu yang mesti. Suami mestilah menjaga hati. Mengawal ruang kalbu supaya tiada yang menceroboh masuk selain daripada isteri yang telah dijemput masuk. Suami mesti menjaganya dan tidak membenarkan ‘yang lain’ pula masuk.

Suami mesti terus bercinta, berkali-kali. Memang perubahan akan berlaku. Saiz badan, wajah, uban, penglihatan, kesihatan tetapi suami atau isteri mesti sentiasa perlu memilih semula pilihan yang pernah dilakukan dahulu. Anda masih perlu mencuri hati masing-masing kerana lima tahun lagi (jika masih belum punya anak) makhluk asing akan mengintai peluang. Anda juga perlu sentiasa melihat dan mencungkil yang terbaik dari dalam diri pasangan anda. Fokus dan memberi perhatian kepada apa yang anda rasakan terbaik; bukan memfokus dan memberi perhatian kepada nilai-nilai kurangnya yang akan anda runguti hari demi hari. Rungutan itu akan menjadi sesungut yang tumbuh di atas bibir mulut dan akan kekal menghidu yang tidak elok, dibesar, disasar dan akhirnya membawa kepada pecah berderai.

Suami mestilah ingat, kalau pilihan isteri anda buruk, anda adalah salah satu dari pilihan itu. Dalam banyak keadaan, pasangan mestilah tahu bahawa bukanlah tugas anda untuk mengubah isteri atau suami anda. Tugas anda ialah menyayangi dan melindungi. Jika perubahan datang, cintailah perubahan itu (yang baik tentunya) meski itu bukanlah sesuatu yang anda ingini.

Misalnya ada seorang teman yang saya kenali, suaminya mendadak jadi kaki masjid dan mendengar ceramah agama daripada seorang kaki bola dan pancing. Dia menjadi tidak keruan dan menyangka nyangka, konon suami ada ustazah menunggu di tangga surau atau mulai mengomel suami sudah kerap bersolat sunat. Bukankah itu petanda yang baik? Jika ia mulai susut memberi nafkah, maka lainlah ceritanya pula.
Faisal-Tehrani.jpg
Inikan perubahan yang baik, maka galakkanlah, sertailah, dan jangan menyergah membantah yang akan membuatkan suami itu lama-kelamaan marah dan daripada tiada memasang niat mencari lain, terdetik di hati lantas mendorong perbuatannya untuk memburu kancil genit di hutan tebal yang besar.

Sentiasalah kita bersikap penuh bertanggungjawab dengan tiap emosi diri. Bukanlah tugas isteri atau suami untuk membuat anda ria, dan dia juga tidak boleh membuat anda gulana. Anda bertanggungjawab mencari kebahagiaan sendiri, dan dengan kebahagiaan itulah anda tuang dan limpahkan sepenuh kasih sayang itu sehingga ia tumpah menjadi cinta yang menjadi-jadi buat pasangan. Janganlah menyalahkan apabila marah. Selalu marah itu datang dari lain. Datang dari pejabat. Datang dari hutang. Datang dari ahli keluarga lain. Jangan menyalahkan pasangan anda. Selalu kemarahan yang tercetus dalam rumahtangga datangnya dari penjuru atau bucu lain. Apabila pasangan kita mengalami kekalahan, janganlah berpaling, bersamalah kekasih anda itu dan berdiri menjadikan ia seorang yang kuat.

Ingat kisah Brad Pitt yang mendapati pasangan atau ibu kepada anak-anaknya, Angie Jolie semakin tidak fokus dalam kehidupan lantaran kemungkinan dijangkiti kanser payudara? Brad Pitt menyedari yang ia akan kehilangan Angie. Jadi ia kembali menawan hati isterinya, memberi bunga, memuji dan memuja, bercakap tentang isterinya di khalayak dan membuatkan perempuan itu rasa dihargai dan berharga kembali. Angie pada mulanya menolak, Brad tidak mengalah, kerana dia tahu ibu kepada anak-anaknya akan pergi dan runtuh nestapa. Jadi ia menggandakan sikap dan usaha untuk menarik cinta tersebut. Cinta yang pernah ada. Dan Angie kembali bertenaga, kembali melihat diri lalu kembali waras dan menyedari bahawa ini hanyalah satu frasa kehidupan yang perlu ditekuni dan dilawan kembali. Dan mereka melakukannya bersama-sama, sebagai satu pasukan.

BERI JUGA PASANGAN ANDA RUANG.
Terdapat masa suami atau isteri memerlu ruang sendiri atau keperluan bersama keluarganya, atau minatnya. Janganlah menghalang sebaiknya jika anda tidak boleh menyertai berilah dia ruang. Seperti mana anda tidak harus menjadi seorang bengap, dan tidak pula culas mengaku kesalahan jika memang bersalah. Pasangan mestilah transparen, berlakulah jujur baik perasaan dan Rungutan itu akan menjadi sesungut yang tumbuh di atas bibir mulut dan akan kekal menghidu yang tidak elok, dibesar, disasar dan akhirnya membawa kepada pecah berderai. Suami mestilah ingat, kalau pilihan isteri anda buruk, anda adalah salah satu daripada pilihan itu.

Tanggalkanlah topeng yang pernah anda kenakan ketika berkasihan, hanya dengan membuka sepenuh hati makanya cinta akan tumbuh berkekalan. Jangan sesekali menjadi hamba atau menjadikan wang sebagai punca masalah dalam rumahtangga anda. Wang hanyalah permainan. Malah anda boleh menjadi sebuah team untuk mengganda rezeki, bukannya kalah dan berantakan kerananya. Saya selalu melihat pasangan yang berkeras untuk menundukkan wang, mereka bekerjasama untuk mendapat laba supaya dapat dikongsi bersama anak-anak. Ada suami bekerja keras berniaga pasar malam, isterinya membancuh kuih siang dan malam untuk dijual. Ini dilakukan demi cinta, supaya wang tidak menjadi musuh mereka berdua.

Sungguh cinta dan berkahwin banyak musuhnya. Kenalilah musuh dan janganlah mendampinginya. Memaafkan secara segera tiap kecuaian pasangan, kerana memaafkan adalah kemerdekaan untuk diri dan jiwa. Pasangan yang tidak dapat memaafkan akan hidup dan menyala dengan kemarahan lantas hangus tanpa ia sedar. Setelah berkahwin, anda perlu ingat, perkahwinan bukan seperti buku cerita dongengan anak-anak yang akan berakhir dengan ayat “they live happily ever after”. Itu untuk mengujakan anak-anak kecil bahawa ibu-bapa mereka damai sentosa, tetapi anda orang dewasa, anda jangan jadi naif untuk percaya sepenuhnya tanpa melakukan apa-apa. Ia adalah tentang kerja keras, perkahwinan adalah tentang komitmen untuk berkembang bersama, pelaburan untuk berkekalan, cinta dan kasih sayang dan itulah yang akan menyemarakkan kebahagiaan sepanjang umur dan perkahwinan kalian.

Selamat pengantin baharu. Dan ingat, selepas bernikah akan ada banyak yang akan memburu serta menghambat kalian.

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik: