Oct 17, 2014 - 190

Bahana Perempuan Kahwin Lambat

Soalan-soalan kurang mesra pengguna ini masih agak relevan dalam nuansa masyarakat tempatan, wanita lebih-lebih lagi terasa bebannya.

 relationship-quizjpg-29cbac98f1fb1847.jpg

Merpati adalah ‘tokoh’ burung dalam aliran romantisme. Ada produk kecantikan cap burung merpati tetapi burung lain yang kurang glamour cuma menghiasi botol minyak masak dan minyak urut. Mengapa merpati dilepaskan dalam kempen keamanan dan kebebasan? Saya tidak jumpa lagi dalam mana-mana kitab, barangkali secara visual (dan audionya) ia kelihatan lebih cantik daripada melepaskan kawanan burung gagak. Pasangan bercinta dipanggil merpati dua sejoli. Wanita yang mudah didekati tetapi sukar ditangkap tangan dikatakan ‘jinak-jinak merpati’. Merpati banyak sekali di Trafalgar Square; berhimpun menanti diberi makan atau dipotretkan oleh jutaan pelancong tetapi belum pernah saya dengar burung merpati ini dibawa pulang sebagai cenderamata. (Penerangan yang kurang memuaskan; pasal itu saya tidak dapat kredit untuk Biologi…).

Merpati ialah burung yang suka flirt; dalam kamus definisinya berbumbu negatif. Suka berseronok, suka menggoda, suka mengurat, kepura-puraan dalam berasmara. Mereka yang suka flirt ada juga ‘sihatnya’ daripada segi sosial jadi ‘kepura-puraan’ itu apa? Selalu kita dengar; mereka yang belum ketemu pasangan disaran agar bersosial lebih kerap. Apakah semua yangsingle itu tidak pernah keluar menjenguk dunia, hanya terpuruk di rumah atau takut kalau tersentuh orang lain nanti dapat penyakit kusta? Mereka juga bukan diva atau pendeta yang bersifat untouchable. Rata-rata orang single berada dalam lingkungan sosial yang sihat sejahtera; keluarga normal, kawan-kawan sekuliah atau sepejabat yang tidak sedikit jumlahnya malah aktiviti libur mereka juga dahsyat-dahsyat; paragliding, selam skuba, terbang untuk tengok konsert antarabangsa, bermaraton di shopping complex… Setiap detik mereka berurusan dengan seseorang, tidak kira jantina, bangsa dan umur.

            Baik lelaki mahupun wanita yang masih single, kalau usia mereka sikit lagi nak sama dengan jam di bangunan Sultan Abdul Samad, akan ada suara-suara menyapa “Bila nak kah…’’ Belum sempat dihabiskan kata itu, si ibu pula mencelah, “Bila aku nak dapat cu…’’ Belum sempat lagi diksi itu diselesaikan, menyelit pula, “Tak sunyi ke nanti bila dah tua?’’ 

 

Bahana Perempuan Kahwin Lambat

Soalan-soalan kurang mesra pengguna ini masih agak relevan dalam nuansa masyarakat tempatan, wanita lebih-lebih lagi terasa bebannya. Seorang pensyarah saya, lelaki, tidak ambil pusing langsung soal mencari pasangan ini. Dia sudah keliling dunia, berlenggang-kangkung membuat phD (kerana tiada gangguan teriakan anak atau leteran isteri) dan pakai kereta mewah kerana cuma perlu menanggung ibu tercinta. Sebaliknya seorang pensyarah saya, wanita, kahwin lambat kerana mengejar kecemerlangan akademik lalu akhirnya merungut  apabila berkahwin dan mendapat anak “I jaga anak macam jaga cucu!’’

            Namun si pensyarah wanita ini memberitahu, masa mudanya dia tidak ramai kawan lelaki. Tidak mudah gilakan seseorang. Tidak flirtatious. Sudahnya dia kahwin lambat.

            Tetapi si pensyarah lelaki, dek tidak terikat, dia bebas untuk flirt. Mana-mana anak muridnya yang cantik jelita kerap diusik dalam kelas dan dia sering mencari peluang untuk berurusan dengan anak murid tadi, sama ada dengan memberi kuliah ekstra, menawarkan contoh tesis untuk dipinjam, diajak ikut serta program kampus atau melantik si jelita sebagai ketua kelas. Tetapi bukan hanya si jelita seorang. Disebabkan dia mengajar banyak tempat, ada Jelita II, Jelita III dan seterusnya. Dia sendiri ada rupa dan kelihatannya gembira kalau pelajar perempuan hadir kelasnya dengan berhias cantik.

            Tetapi dia tidak boleh disalah-ertikan sebagai buaya yang bermain cinta. Dia agaknya hanya seekor merpati jantan; mendekati seseorang dengan ramah-mesra tetapi tidak sampai berbelit jiwa. Orang itu sampai gila bayang tetapi dia tidak ikut sama tersungkur mengejar bayang. Tidaklah keterlaluan kalau saya katakan, flirt itu membina keyakinannya dalam berinteraksi. Dengan menjadi flirty, dia mencapai puncak katarsis. Dia hanya mahu bergembira dan puas jika dapat membuat orang lain menyangka yang dia akan memberi komitmen ‘jangka panjang’. Hinggap bertenggek sebentar sebelum terbang ke dahan lain.

 

Bagaimana Nak Bercinta Kalau Tak Berjumpa?

Tetapi dia lelaki. Di zaman wanita sudah jadi presiden ini pun, segala yang lelaki lakukan masih manis hatta kahwin dengan lelaki sekalipun! Stigma sosial tidak sama bila wanita menjadi flirty.(Wah! Saya boleh jadi pemimpin Women’s Lib kalau macam ni…) Contoh daripada riwayat hidup selebriti sudah banyak. Selebriti wanita, jika single atau kembali single, akan ditanya bila mahu berpasangan. Tetapi mereka juga insan biasa macam kita (cuma berbeza daripada segi akaun bank!) yang mahu pusing satu dunia mencari cinta. Mereka juga mahu tried and tested dalam berkencan.

            Maya Karin pernah mempertahankan, bagaimana mahu berkencan kalau tidak keluar jumpa orang? Apabila wanita flirt, mereka sering disalah-erti. Bukan hobi mereka untuk bertenggek dari satu pokok ke satu pokok yang lain (lelaki kan sinonim dengan pokok? Sorry, Raden Rajawali…) tetapi tidak mencuba, tidak bereksperimen, tidak terbang menabung ranting demi ranting, tidak terlanggar dahan reput dan kayu mati, bagaimana mahu membuat sarang yang cantik?

Seorang teman, agak flirty (atau mungkin terlebih ramah) lalu kerana dia seorang perawan muda ratna, berdentumlah segala umpat busuk; dia ni playgirl, miang dan yang sewaktunya. Sudahnya dia bertemu jodoh dengan seorang yang tidak berapa muda dan tidak berapa ‘ratna’. Gelaran kurang molek tadi terlucut tetapi tidak umpat (dibaca: gossip) orang yang tampaknya makin busuk. Orang pun hairan takjub; apakah yang dilihat oleh si muda ratna ini pada ‘si tak berapa muda’ itu? Mungkinkah selama ini dia dambakan sense of belonging; terbang melilau supaya mendapat sarang yang utuh?

            Jika anda gilakan novel Harry Potter macam saya (saya sudah habis baca siri ke-enam pada hari kedua ia menjenguk pasaran), ada sesuatu tentang courtship dalam novel tersebut yang diselitkan oleh adik sidekick Harry, Ron, yang bernama Ginny. Saya pernah diperli kerana kononnya membaca buku kanak-kanak (ah, orang itu pun tak pernah baca!) tetapi Ginny memberi insight; sementelah pula kali ini watak-wataknya sudah remaja. Ginny, seperti remaja lainnya, melayan gejolak hormonal dengan berpacaran; kebetulan pula pacarnya teman sebilik Ron.

            Suatu hari, Ron terserempak Ginny bermesra dengan pacarnya lalu si abang memberi kuliah perdana kepada si adik. Si adik nampaknya lebih matang; menempelak bahawa abangnya cemburu buta dan macam rusa masuk kampung bila berdepan dengan hal-hal perhubungan. Ini kerana si abang selama ini tidak biasa berkencan lalu untuk membuktikan ‘sesuatu’, si abang menjadi merpati jantan. Tidak serius pun, tidak memberatkan soal jiwa malah semuanya hanya sementara. Nyata akhirnya, hal ini tidak pun menggembirakan hatinya kerana dia hanya hinggap-hinggap dan takut dikata ‘masih dara’ di kalangan taulan.

            Pensyarah saya tadi mungkin sedar atau tidak yang pelajar perempuan dalam kelasnya juga turut flirt; demi melihat A berderet di slip peperiksaan. Sebenarnya macam-macam objektif orang yang flirt ni. Ada yang menggunakan flirt sebagai modus operandi untuk menaikkan taraf hidup; sedari awal memang personal goalnya ialah end up sebagai tai tai yang duduk di rumah agam, mengarah orang gaji cuma melalui intercom dan beli beg LV macam beli sayur kailan. Tetapi itu untuk yang sedang mencari pasangan. Bagaimana pula yang sudah punya pasangan, sudah kukuh terikat dalam hubungan?

 

Ada Orang Sengaja Menguji ‘Saham’nya

Sebenarnya mereka yang sudah secure, sudah steady masih flirt kerana merasa sesekali mahu tukar angin. Hari-hari makan asam laksa, mahu juga makan spaghetti bebola daging. Kadang-kadang mereka dihambat rasa bosan;  flirt menjadikan bateri mereka tercas semula dan hidup yang suram kembali ceria. Barangkali di luar, mereka mahukan satu lagi spouse figure yang boleh mendengar keluhan peribadi tanpa dihimpit rasa bersalah atau berkongsi siri-siri rahsia (semua orang banyak rahsia dan ada jilid tersendiri) yang tidak mungkin dikongsi dengan pasangan masing-masing. Atau itu mungkin aktiviti ko-kurikulum yang boleh mempertajamkan lagi kemahiran bercinta; kerana kita lebih mudah sebenarnya belajar daripada orang lain daripada pasangan sendiri?

            Atau kita saja mahu menguji kuasa pasaran diri; masihkah saham aku tinggi walau sudah ada steady? Ini salah satu cabang ego dalam jasad dan dibiakkan pula dengan rasa ingin berlumba sesama rakan. Oleh kerana perhubungan itu satu adventure maka mereka mahu jadiadventurous meneroka segala jeram dan ngarai hati. Atau untuk kepuasan bersifat trofi; kerana di tempat kerja/belajar ada seseorang yang sangat popular dengan wajah bak dewa/dewi lalu kita berasa rugi jika tidak ikut sekaki mencuba untung rugi? Semuanya untuk keseronokan bersifat sementara. Ada yang boleh patah balik ke tempat check point tetapi ramai juga yang hanyut dibawa arus. (Jadi, moralnya apa? Kalau nak flirt, pakai life jacket?)

            Lalu apa diharap pada merpati? Menunggu mereka membuat sarang dan hinggap bertelur dua tiga karung? Simpanlah harapan itu kerana merpati tidak suka terkurung; ia mahu lepas bebas di jagat nan luas. Hanya hinggap bertenggek jika ada yang menabur dedak. Tetapi selepas itu merpati akan terbang kembali.

            Yang tinggal cuma tahi burung merpati.

 

 

Teks: RAIHANI MOHD. SAAID

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik: