Oct 21, 2014 - 3

Istiadat Pertunangan, Pernikahan TMJ Jumaat, Sanding 8 November

Umum sudah mengetahui tentang berita perkahwinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim,30, yang menamatkan zaman bujangnya Jumaat ini.

imageResize-ashx.jpg
Sumber: Malaysia Gazette


Umum sudah mengetahui tentang berita perkahwinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim,30, yang menamatkan zaman bujangnya Jumaat ini.

Pengumuman tentang pernikahan TMJ, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu dilakukan oleh Yang Di Pertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli di Bukit Timbalan, pada Isnin.

"Istiadat pertunangan dan pernikahan akan berlangsung Jumaat ini manakala istiadat persandingan Tunku Mahkota Johor dengan isterinya Cik Khaleeda pula akan diadakan pada 8 November depan di Istana Besar," menurut Abdul Rahim lagi dan menambah, istiadat merisik telah pun berlangsung pada 27 September lepas.

Rombongan merisik pihak lelaki itu diketuai oleh adinda Tunku Ismail iaitu, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.


Menurut Abdul Rahim, istiadat pernikahan akan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak manakala istiadat persandingan dijangka dihadiri oleh kira-kira 1,200 jemputan terdiri daripada beberapa Sultan, kerabat diraja dan pemimpin-pemimpin dalam serta luar negara.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan membuat liputan istiadat-istiadat terbabit sebagaimana dititahkan oleh keluarga diraja Johor.

Sebelum ini TMJ pernah menafikan tentang spekulasi perkahwinannya yang bertiup kencang di Johor dan mengatakan gambar kad perkahwinannya yang tersebar meluas di laman-laman sosial adalah palsu.

Cik Khaleeda merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik kepada pasangan Bustamam Daud dan Aziyah Abdul Aziz.

Beliau dilahirkan di Kuala Lumpur dan menerima pendidikan awalan di Kuala Lumpur sebelum meneruskan pendidikan menengahnya di London ketika ibunya berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom.

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik: