Jan 30, 2017 - 5702

“Usahawan Pakaian Muslimah atau Tidak, Kita Perlu Jaga Nama Baik Wanita Islam” — Ini Rahsia Kejayaan Galeri Ariani

InTrend mendekati Datin Farah Haryani Muhammad Philip, Pengarah Pemasaran Ariani Textile Manufacturing (M) Sdn. Bhd. Menyelongkar resepi terulung industri hijab.

 

Oleh: Salina Ibrahim

 

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Bagaimana tercetusnya Ariani dan perkembangan terkini Ariani?

Sedar tidak sedar, sudah hampir sembilan tahun usia Ariani sejak ditubuhkan pada tahun 2008. Ariani memulakan perniagaan tudung dengan membuka cawangan Galeri Ariani pertama di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Galeri Ariani dimiliki oleh Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn. Bhd. dan bernaung di bawah syarikat pelopor industri fabrik utama Malaysia, Jakel. Pada awal penubuhannya, ramai pihak datang kepada suami saya, Dato’ Faroz dan adik beradiknya yang lain, bertanya, bagaimana kami mempunyai idea untuk meluaskan perniagaan dalam industri hijab?

 

Sebenarnya, apabila Jakel membuka cawangan di Kuala Lumpur, kami melihat ramai wanita yang datang membeli-belah fabrik yang berkualiti dengan harga ribuan ringgit tetapi malangnya padanan tudung yang mereka gayakan tidak sesuai. 

 

Kami hairan... fabrik yang mereka pilih daripada harga yang mahal tetapi dipadankan dengan pilihan tudung yang biasa dan kelihatan tidak mengikut trend semasa. Mungkin kekurangan sumber pengeluaran tudung pada ketika itu menyebabkan sebilangan wanita mempunyai pilihan yang terhad. Daripada situlah, Jakel mengambil peluang ini untuk membuka satu jenama hijab premium yang mampu menyediakan pilihan tudung yang pelbagai untuk semua wanita di Malaysia.

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Tudung Awning atau lebih popular dengan panggilan “Tudung Ekin” (kerana menampilkan Ekin sebagai duta pertama Ariani) adalah eksperimen pertama kami dalam penghasilan tudung sarung pertama di Malaysia untuk penggemar hijab. Diperbuat daripada material Thai silk awning, koleksi ini telah mencipta satu fenomena luar biasa dan mendapat permintaan tinggi dari pelanggan kami. 

 

Formulasi tudung sarung untuk gaya wanita pada waktu itu ternyata berhasil kerana rekaan tudung awning menepati cita rasa wanita Malaysia yang mahukan tudung yang mudah dipakai dengan kombinasi warna yang pelbagai dan jalinan fabrik yang cukup selesa.

 

Sambutan yang luar biasa ini telah mendorong kami menambah lima lagi cawangan Galeri Ariani pada tahun 2009. Pada tahun 2010, Ariani meluaskan empayar perniagaannya dengan membuka 14 cawangan di seluruh Malaysia, menjadikan Ariani mempunyai lebih 400 000 pelanggan berdaftar. Malah, Ariani turut meraih pelbagai anugerah di peringkat nasional sehingga global. Antaranya pada 2014, Recognizing Brand Excellence Globally, Global Best Brands Textiles SME Category.  

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Ariani antara jenama hijab terawal di negara kita. Sekarang sudah banyak persaingan, lalu bagaimana Ariani bergerak menongkah persaingan ini?  

Kami memandang positif perkembangan industri hijab ini. Persaingan dari pelbagai jenama tudung, menjadikan kami lebih peka terhadap permintaan pelanggan. Para pereka bersama unit R&D kami sentiasa melakukan penyelidikan dalam menghasilkan rekaan yang sentiasa kedepan dan memenuhi kehendak pelanggan. Malah yang paling utama,  adalah mengekalkan pemilihan fabrik terbaik untuk setiap helaian tudung yang dikeluarkan.

 

Semua rekaan tudung Ariani telah dipaten dan didaftarkan sebagai hak cipta Ariani. Dan Ariani tidak pernah mengambil tindakan undang-undang kepada usahawan luar yang mengambil rekaan tudung kami kerana kami percaya rezeki itu adalah milik semua. Melainkan ada segelintir pihak yang cuba menjual tudung dengan sengaja meletakkan label Ariani tiruan untuk mengelirukan pelanggan kami dan perkara sebegini telah mendorong kami untuk mengambil tindakan undang-undang. 

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Bagaimana menampilkan keunikan jenama Ariani supaya dapat menambat pelanggan baru dan masa sama, mengekalkan pelanggan lama?   

Semua koleksi tudung kami direka di atas tiga elemen iaitu, Eksklusif, Kesopanan dan Kontemporari. Ariani memberi tumpuan kepada gabungan pelbagai warna, tekstur dan cetakan  ke atas setiap helaian hijab dan disesuaikan dengan persekitaran juga iklim Malaysia. 

 

Hingga kini, kami mempunyai kurang lebih 1000 jenis tudung yang terdiri daripada pelbagai jenis fabrik, termasuklah selendang, bawal, satin, tudung instant dan juga koleksi premium menjadikan Galeri Ariani adalah sentral galeri hijab yang dapat memenuhi permintaan pelanggan dari pelbagai peringkat usia untuk mendapatkan tudung pilihan masing-masing. 

 

Pihak pengurusan dan kakitangan sentiasa terbuka dalam menerima respons yang terbaik dari pelanggan serta akan bekerjasama seiring dengan kehendak pasaran. Ariani mengharapkan segala produk yang dikeluarkan dapat menjadi landasan yang kukuh buat para pelanggan kami untuk terus setia bersama jenama kami. 

 

Ariani bernaung di bawah jenama Jakel, sudah tentu ini menjadi sokongan besar untuk mengangkat Ariani kepada pasaran besar. Bagaimana Datin melihat keadaan ini? 

 

Sebagai jenama yang bernaung di bawah syarikat  peneraju tekstil terbesar Malaysia iaitu Jakel, Ariani dapat memberikan pilihan fabrik bermutu dan sesuai yang dikhususkan untuk pembuatan hijab. Saya melihat keadaan ini sebagai peluang terbaik kepada Ariani untuk menyediakan fabrik hijab berkualiti istimewa untuk pelanggan. 

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Produk awal Ariani hanya tudung dan selendang, sekarang sudah berkembang kepada koleksi pakaian 'ready-to-wear'. Tahniah untuk perkembangan yang menarik ini.  Apakah yang membuatkan Ariani meluaskan rangkaian produk?  

Sememangnya idea untuk menghasilkan koleksi ready-to-wear ini telah lama saya pendamkan. Namun apabila terlalu ramai pelanggan Ariani yang datang kepada saya dan bertanyakan tentang koleksi pakaian siap, barulah saya meletakkan perancangan penghasilan pakaian siap ini sebagai keutamaaan.

 

Suami saya juga memberi sepenuh sokongan kepada saya dalam menghasilkan Ariani Ready To Wear (RTW). Galeri Ariani dan Butik Ariani RTW adalah dua fokus perniagaan berbeza. Kebanyakan pelanggan Ariani sering keliru mengenai hal ini. Galeri Ariani menyediakan koleksi hijab bermula dari selendang, bawal sehinggalah ke tudung instant dan mempunyai 19 cawangan di seluruh Malaysia. 

 

Manakala Butik Ariani RTW pula menyediakan koleksi pakaian siap dan hanya memiliki dua cawangan iaitu di Jakel Mall, Kuala Lumpur dan di Wisma Jakel, Shah Alam. Namun, untuk pelanggan kami yang berada jauh dari cawangan Galeri Ariani ataupun Butik Ariani RTW, mereka tetap boleh miliki koleksi ini di Ariani Online dan Ariani Whatsapp.

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

Pasukan R&D Ariani sentiasa mengkaji dan melakukan penyelidikan dalam memantapkan dan memperkukuhkan lagi jenama ini. Akan datang, jenama Ariani RTW ini juga akan mempunyai cawangan di seluruh Malaysia bergantung kepada permintaan pelanggan. Ariani RTW memperlihatkan jenama ini sebagai sentral fesyen ready-to-wear terbaru yang mensasarkan kepada golongan wanita muslimah yang mementingkan gaya dan penampilan. Ariani RTW menerapkan amalan etika tanpa kompromi dalam menghasilkan koleksi untuk semua lapisan peringkat umur, reka bentuk yang kreatif dengan sentuhan kesantunan dan keanggunan serta menjaga perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan kami. 

 

Matlamat Ariani RTW adalah untuk menyediakan label fesyen muslimah moden, progresif untuk wanita moden yang mampu menciptakan gaya yang sepadan untuk semua majlis dan keadaan.

 

 

Hijab Ariani diwujudkan sebagai mengikut trend atau untuk mencetuskan trend?  

Bagi saya, persoalan ini terlalu subjektif untuk diperkatakan. Jika dilihat sejarah pembukaan Ariani, kami tidak pernah terlintas untuk mencetuskan sebarang trend. Tetapi kemunculan Tudung Awning atau lebih popular dengan panggilan Tudung Ekin memberikan fenomena hebat pada waktu itu. Percaya atau tidak, sehingga kini, masih ramai pelanggan setia Ariani yang masih mencari corak terkini untuk Tudung Awning ini.

    

 

Bagi saya, apa-apa pun perniagaan yang diusahakan, biarlah semuanya mengikut syariat. Jika trend yang dicetuskan melanggar syariat agama, sudah pasti akan memberikan kesan buruk terhadap jenama Ariani sendiri. Namun jika trend yang tercetus atas kualiti, keselesaan dan kecantikan produk, sudah pasti menjadi kelebihan kepada sesebuah jenama itu. 

 

 

 

Siapa pelanggan utama Ariani? 

Dalam usaha untuk sentiasa mempunyai trend terkini dalam dunia fesyen, Ariani menggunakan modul perniagaan yang fleksibel untuk menyesuaikan jenama ini dengan apa-apa perubahan yang berlaku kepada iklim fesyen negara, dengan mempunyai tindak balas yang pantas untuk membawa produk terbaru ke butik dalam masa sesingkat mungkin. 

 

Di Ariani, kami tidak pernah mensasarkan hijab kami untuk kelompok tertentu sahaja. Kerana hijab adalah untuk setiap wanita, dan bersesuaianlah dengan peranannya untuk wanita. Sehingga kini, Ariani memiliki terlalu banyak koleksi hijab bermula dari selendang, bawal, tudung instant, pashmina dan koleksi eksklusif yang boleh digayakan untuk semua peringkat umur dan keadaan. 

 

 

Datin sebagai Pengarah Pemasaran Ariani dan Pengasas Ariani RTW, bagaimana kendalikan semua urusan bisnes serentak? 

Jujur saya katakan, pada awal pembabitan saya dalam perniagaan ini, saya memerlukan persedian mental dan fizikal yang cukup kuat. Saya belajar untuk mengenali jenis-jenis fabrik bersama kualiti dan karakter setiap satunya. Bermula dari proses rekaan, sehinggalah pemilihan fabrik, pembuatan dan sehinggalah ke jualan dan promosi, saya bersama ipar-duai dan juga team Ariani bersama-sama menghasilkan helaian hijab yang mampu memberikan keselesaan dan kepuasan kepada pelanggan. 

    

 

Tipulah kalau semua urusan ini saya lakukan tanpa pertolongan sesiapa. Saya bersyukur kerana saya dikelilingi oleh keluarga yang memahami, membantu dan sentiasa memberi sokongan kepada saya. Malah, seluruh tenaga kerja Ariani juga begitu komited dan memahami budaya kerja di Ariani. Oleh sebab itulah, segala urusan yang dikendalikan oleh saya berkaitan perniagaan ini menjadi terkawal. Saya tidak mahu mengatakan semuanya mudah, tetapi cukuplah sekadar terkawal. 

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Mengenai peribadi Datin, bagaimana rutin harian setiap hari? 

Saya seorang wanita biasa yang menjalani rutin harian biasa. Saya akan bangun awal pagi untuk menyediakan sarapan dan menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah. Kebiasaannya, pada waktu pagilah, saya melakukan apa-apa yang saya suka, seperti membaca, menonton televisyen ataupun ke pasar sebelum ke pejabat. 

 

Sekitar jam 11 pagi, saya sudah berada di Jakel Mall untuk memulakan tugasan. Kebiasannya jadual saya dipenuhi dengan meeting bersama pembekal kain dari rantau benua untuk keperluan Jakel dan Ariani sehingga jam 8.30 malam. Berdepan dengan jadual kerja yang padat, saya dan suami kebiasannya cuba untuk makan malam bersama anak-anak. Saya juga akan meluangkan waktu dua jam setiap malam untuk memantau pelajaran anak-anak. 

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Sebagai usahawan dalam pakaian Muslimah, bagaimana Datin bawa diri dan imej diri ketika berpakaian? 

Imej diri dan penampilan amat berkait rapat dengan wanita. Sekiranya saya bukan usahawan pakaian Muslimah sekalipun, imej diri dan penampilan masih tetap sama. Asalkan apa yang pakai dapat menjaga nama baik saya, suami dan keluarga ia sudah cukup sempurna.

 

 

 

Pasaran hijab melalui 'online' sangat rancak sekarang. Ariani juga nampaknya sama-sama bergerak secara maya. Apakah cabaran besar yang Ariani depani ketika berurusan secara maya?

Saya tidak nafikan, keperluan bisnes online pada masa kini. Kesuntukan masa, kesibukan dan juga perubahan gaya hidup untuk masyarakat kita memerlukan kami di Ariani mencipta satu perubahan yang dapat memberikan manfaat kepada pelanggan. 

 

Atas alasan itulah, Ariani Online tercipta pada awal 2015 sebagai alternatif baru untuk pelanggan kami mendapatkan koleksi hijab dan pakaian ready-to-wear kami dengan cara lebih mudah. Jujur saya katakan, memulakan bisnes online ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang saya bayangkan. Saya bersama team Ariani Online melakukan persediaan lebih kurang satu tahun sebelum dilancarkan secara rasminya. Dan sehingga kini, kami masih lagi memperbaiki mutu perkhidmatan untuk memberikan servis terbaik kepada pelanggan. 

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Siapa tulang belakang di sebalik kejayaan Datin? 

Jika di sebalik kejayaan seorang lelaki itu berdiri seorang wanita di belakangnya, begitu juga dengan wanita. Di sebalik kejayaan seorang wanita, ada lelaki yang berdiri di hadapannya. Sebagai wanita dan juga usahawan, ada kalanya saya menempuh fasa kegagalan. 

 

Untuk bangkit semula mencari kekuatan, suami saya banyak memberikan dorongan dan sokongan untuk saya bangkit bertahan dan terus berjuang.  Malah saya amat bersyukur apabila dikelilingi adik-beradik, ipar-duai yang sentiasa memahami, menyokong serta banyak membantu saya menguruskan perniagaan ini. Kami bersama-sama merencana segala yang terbaik untuk legasi yang telah terbina sejak berkurun lama ini. Pada saya, mereka semua adalah contoh terbaik untuk saya terus sukses dan konsisten dalam menguruskan perniagaan ini.

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Sejauh mana kerjasama Ariani dengan selebriti tanah air dapat membantu mengangkat jenama? 

Saya percaya terhadap teknik pemasaran yang konsisten. Walaupun Ariani bukanlah jenama yang baharu, dan rata-rata rakyat Malaysia sudah mengenali Ariani, namun untuk memastikan pelanggan setia dan juga pelanggan baru terus bersama kami, bukanlah sesuatu yang mudah. Seumpama untuk memulakan bisnes, ia tidaklah sukar, tapi untuk mengekalkan bisnes dan keuntungan, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Kerjasama Ariani bersama selebriti tanah air lebih ke arah konsep kerjasama dengan menggunakan kelebihan masing-masing. 

 

Untuk tahun 2016 misalnya, Ariani sekali lagi bekerjasama dengan penyanyi kesayangan Malaysia, Dato’ Siti Nurhaliza sebagai Ikon Ariani 2016. Kolaborasi ini pastinya memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak untuk menyatu di dalam satu jenama. Ariani menyifatkan pemilihan Dato’ Siti Nurhaliza sebagai Ikon Ariani 2016 adalah bersesuaian dengan imejnya yang sentiasa anggun dan mementingkan penampilan luaran dan dalaman. Dato’ Siti Nurhaliza adalah contoh ikon wanita hijab terkini yang mampu membawa trend gaya hijab mengikut perredaran semasa.

 

Sebagai sebuah jenama hijab, Ariani amat selektif terhadap teknik pemasaran yang mungkin akan mencalarkan jenama kami. Oleh itu, setiap figura dan selebriti yang menjadi teraju utama Ariani sebagai duta, dipilih berdasarkan karakter dan peribadi yang unggul untuk membawa jenama Ariani ke arah jenama fesyen muslimah yang terbaik. Pemilihan Bella Dally sebagai Duta Ariani dan Ariani RTW misalnya, adalah pilihan tepat kerana beliau adalah seorang selebriti yang bijak menjaga penampilan diri dan mempunyai karaktor yang serasi untuk membawa jenama Ariani. 

 

 

Sumber foto: Galeri Ariani 

 

 

 

Bagaimana bisnes hijab ini menjadikan diri Datin seorang yang lebih baik dari segi keperibadian?

Dalam apa jua perniagaan yang kita ceburi, kesabaran adalah kunci terhadap segala perkara. Sama ada ketika berdepan dengan supplier, pekerja, juga kerenah pelanggan. Saya seringkali berpesan pada diri saya untuk sentiasa bersabar dengan segala permasalahan yang timbul dan cuba sedaya upaya menyelesaikan segala masalah dengan berhemah. 

 

Malah, sebagai seorang usahawan, membuatkan saya lebih berani untuk berdepan segala risiko yang saya ambil. Tidak ada perniagaan yang mudah dan kita tidak selalunya akan berada di zon selesa. Oleh itu strategi yang direncanakan harus menjadi rujukan terhadap keputusan yang akan diambil demi kelangsungan perniagaan.  

 

Bagaimana Datin melihat diri sendiri melalui perniagaan ini?

Seorang yang sangat optimis.  

 

Antara strategi niaga, fesyen atau tuntutan membina peribadi yang lebih baik, bagaimana Datin menyelaraskan ketiga-tiga ini?  

Komitmen antara setiap satunya. Kerana itu adalah kunci kesempurnaan hidup dan kerjaya. Bayangkan jika saya hanya menfokuskan salah satu sahaja dan mengabaikan yang lain, pastinya saya akan menempuh kegagalan. 

 

Pesanan kepada anak muda yang ingin menceburi bidang keusahawanan?

Saya amat berbangga apabila melihat ramai anak muda yang mula menceburi bidang perniagaan pada usia yang cukup muda. Nasihat saya, teruskan usaha. Kejayaan tidak akan datang dengan mudah. Yang penting, jadilah seorang usahawan dengan memiliki produk yang berkualiti untuk kejayaan jangka masa panjang. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Wajah Terakhir Natasha Hudson Bersama InTrend Sebelum Dia Mengenakan 'Niqab', Indahnya Hidayah Allah

  • Seterus →

    Lihat! Hanya 6 Langkah Membuat Teknik Pintal Berantai dalam Masa 10 Minit Sahaja