Jul 12, 2016 - 448

Ketahui Rahsia di Sebalik Summeraya Karya Unggul Rico Rinaldi Yang Memukau!

Nama Rico Rinaldi unik di pendengaran kami. Apa sejarah di sebalik nama ini?

Teks : Izni Jalil
Instagram : @
Antara koleksi Summeraya Rico Rinaldi. Foto : Ihsan

Bijak mengendalikan fabrik satu bonus buat Rico Rinaldi untuk hasilkan busana raya tersendiri. Dalam berkarya, dia tidak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga — tidak mahu baju dihasilkan terlalu biasa dan tiada kelainan. 


 

Kongsi mengenai busana raya rekaan anda untuk tahun 2016?

Secara dasarnya, kami di Rico Rinaldi mengkhususkan SUMMERAYA sebagai kempen untuk koleksi raya saban tahun. Kami mengeluarkan dua koleksi untuk SUMMERAYA tahun ini, iaitu Rico Rinaldi RTW dan Bespoke Collection. 
 

SUMMERAYA Bespoke Collection adalah kempen yang sangat bermakna buat saya kerana inilah kali pertama bekerjasama dengan tenaga kerja dari luar negara iaitu pengeluar tekstil Jepun, Encik Tomita. Pada mulanya, dia mengusul minat untuk berkolaborasi dengan pihak Rico Rinaldi pada hujung tahun, namun saya memberi pendapat mengapa tidak direalisasikan pada bulan lebaran ini? Malaysia tidak seperti negara luar yang punya kepelbagaian koleksi mengikut musim seperti Musim Panas atau Musim Luruh. Tetapi saya melihat hari lebaran bagaikan minggu fesyen di Malaysia! Kemeriahan dan kepelbagaian rekaan pereka fesyen di Malaysia menghasilkan vibe tersendiri ketika musim lebaran. 


Koleksi Summeraya 2016. Foto : Ihsan Rico Rinaldi 
 

Koleksi couture ini terdiri daripada 20 rekaan eksklusif menggunakan fabrik berkualiti tinggi daripada syarikat tekstil Encik Tomita yang saya pilih sendiri cetakannya, jenis kain dan warna. Jujurnya, agak sukar mengendalikan fabrik keluaran Jepun ini kerana ia berpotongan kecil berbanding apa yang saya pernah buat sebelum ini. Selalunya saya menggunakan kain bidang 45 atau 60, namun untuk koleksi ini segulung kain panjangnya empat meter dan mempunyai bidang yang terlalu pendek. Justeru, saya perlu menyesuaikan keadaan ini dengan rekaan baju. Saya perlu banyak menggunakan teknik pleat agar dapat menggabungkan segulung kain itu menjadi sehelai busana lengkap. 

Apa yang menariknya, koleksi ini bukan hanya boleh didapati pada musim lebaran sahaja. Tempahan dibuka sepanjang tahun. Sememangnya saya menekankan bahawa ini bukan busana yang hanya boleh dipakai setahun sekali, tetapi apa juga majlis eksklusif dan bersesuaian. Daripada segi rekaan, ia adalah gabungan tradisional dan moden serta eksklusif dan fun. Harga boleh didapati bermula dari RM2,500 hingga RM3,500. 

 

Untuk koleksi SUMMERAYA Rico Rinaldi RTW 2016 pula, ada 12 berlainan rekaan yang terdiri daripada jubah, peplum, kaftan dan pelbagai lagi. Untuk tidak lari konsep dari koleksi SUMMERAYA Bespoke 2016, koleksi RTW ini turut menampilkan rekaan fabrik bermotif dan cetakan yang diinspirasikan daripada budaya Jepun. Fabrik yang dipilih adalah hasil cetakan, idea dan 100 peratus daripada tenaga kerja team Rico Rinaldi. Kerana itu, harganya lebih mampu milik iaitu bermula dari RM299 hingga RM399. Koleksi ini lebih menjurus kepada rekaan klasik, sopan dan bersesuaian dengan tema hari raya, namun kekal unik dengan fabrik motif dari budaya negara luar. SUMMERAYA Rico Rinaldi RTW 2016 dilancarkan secara eksklusif di Singapura dahulu dan kemudian Malaysia. Sepanjang tempoh pratempahan di kedua-dua buah negara, alhamdulillah ia menunjukkan respons positif. 


Koleksi Summeraya eksklusif 2016 ini menggunakan fabrik berkualiti tinggi daripada syarikat tekstil Encik Tomita daripada Jepun. 


Nama Rico Rinaldi unik di pendengaran kami. Apa sejarah di sebalik nama ini? 

Ibu dan ayah saya adalah warga Indonesia yang menetap dan menjadi penduduk tetap Malaysia sejak sebelum merdeka. Kesemua adik-beradik saya lahir di sini, namun hanya saya seorang yang mempunyai nama tradisional sebegini. Saya pun hairan, dan sering bertanyakan kepada emak namun dia hanya tersenyum. Dahulu, saya sering dikutuk kerana nama yang pelik. Tetapi sekarang, saya bangga punyai nama Rico Rinaldi kerana ia terpahat mudah di ingatan orang ramai. Bahkan, nama ini punca rezeki saya dan sudahpun didaftar 'trademark' dan hanya saya yang berhak untuk memilikinya. 

 

Masih ingat mengenai koleksi raya anda yang pertama?

Ya, malah ia masih segar di ingatan yang mana segala proses, dari awal sehingga pengeluarannya saya yang kendalikan bersama team Rico Rinaldi. Koleksi SUMMERAYA yang pertama adalah pada tahun 2012 yang bertemakan 'tribal'. Tidak dapat dilupakan pengalaman belakang tabir kami menjalankan program penggambaran bersama haiwan liar bagi mendapatkan feel yang bersesuaian. Saya juga gembira apabila mereka berpuas hati menggayakan busana rekaan Rico Rinaldi pada hari penting mereka. 

Bagaimana dengan busana raya against culture, yang mana pengguna dan pereka fesyen semakin kreatif dalam rekaan yang diinginkan, contoh seperti kurung lengan pendek, dimensi seperti baju Melayu lelaki dan banyak lagi?

Apa yang orang suka dan minat adalah subjektif. Lain orang, lain keinginan. Begitu juga dalam selera fesyen, terpulang kepada individu. Secara peribadi, saya masih mencintai budaya tradisional dan memilih untuk meraikan lebaran dengan mempersembahkan rekaan yang bersesuaian dengan budaya, namun masih ada elemen urban dalam cara tersendiri. 

 

Pendapat anda mengenai baju raya dahulu dan sekarang?

Baju raya zaman dahulu lebih berpesak dan mempunyai rekaan ringkas dan mengulang rekaan yang sama seperti baju kurung Pahang. Namun kini, potongan sudah jadi lebih kreatif dan pelbagai. Baju raya semakin ada potongan yang memberi ilusi melekap di badan, tiada pesak bagi membolehkan baju mempunyai potongan unik serta penggunaan les yang meluas. Bahkan baju Melayu lelaki kini lebih up-to-date dengan rekaan dan rona yang berwarna, tidak seperti dahulu yang tetap dengan material belacu atau kapas dan rona gelap. Orang sekarang pun gemar memilih baju budaya luar seperti jubah sebagai busana raya mereka. 

 

Bagaimana anda melihat trend baju raya 2016? 

Saya lihat kebanyakan pereka fesyen menggunakan konsep rekaan ringkas dalam koleksi raya mereka untuk tahun ini, dan apa yang menyedihkan apabila ringkas itu menjadi 'terlalu ringkas'! Saya akui, zaman sekarang pelanggan lebih gemar sesuatu yang moden dan minimalis, namun bukanlah terlalu minima daripada segi kualiti kain, perincian, potongan baju dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, hiaskan dengan perincian minima atau paling tidak buat potongan yang unik, bukan baju kurung kosong semata-mata. Jika buat baju kurung, serikan dengan cetakan atau motif fabrik yang bold dan outstanding. Atau jika menghasilkan kurung klasik, hiaskan sedikit sulaman di tangan atau bahagian kain. Sebagai pereka fesyen, tidak boleh hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Fikirkan juga kepuasan hati pelanggan dan sama ada apa yang anda jual itu berkat atau tidak. 



 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    12 Reviu Gaya Lebaran 2016 Mesti Lihat dan Baca Sebelum Anda Shopping (Saat Akhir)

  • Seterus →

    KLFWRTW2016: 10 Skuad Fesyen Pilihan InTrend (Setakat 18 Ogos 2016)