Jul 13, 2019 - 29718

KARUT! Pantang Laksa Setahun, Suami No Entry 100Hari. “Islam Pun Kata, Memadai Habis Darah Nifas,” — Dr.Imelda

Dr Imelda Balchin menjawab pelbagai amalan berpantang kebanyakan ibu-ibu Melayu. Berpilis, bertungku, berstokin, bertangas dan macam-macam lagi yang diamalkan sejak zaman Tok Nenek kita. Antara boleh, tak boleh dan tak buat pun tak apa. Apa kata Doc?

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman

 

 

Intrend dr 1

 

 

 


1. Kenapa orang Melayu ditegaskan kena berpantang selama 44 Hari?

Amalan berpantang tradisi Melayu ini tidak diikuti oleh berjuta-juta wanita di seluruh dunia, tetapi mereka tetap sihat. Jadi amalan ini tidak patut diwajibkan.

 

Ini sepatutnya pilihan, bukan paksaan.

 

Kalau benar wanita Melayu ialah orang yang paling sihat di dunia, maka lain lah ceritanya, tetapi tiada bukti wanita yang ikut amalan berpantang ini lebih sihat dari wanita lain yang tidak berpantang.

 

Sebagai contoh, jangka hayat wanita Jepun 10 tahun lebih panjang berbanding wanita Melayu. Jadi, bukalah minda kita. Buatlah sesuatu amalan itu untuk kita jadi sihat bukan semata-mata mengikut amalan lama?

 

 

 


2. Amalan menyapu pilis di dahi untuk elak angin masuk badan, pening-pening?
Mana boleh angin masuk dalam badan melalui kulit. Angin masuk saat kita bernafas, terus ke paru-paru, kemudian oxygen dari udara diserap terus ke dalam saluran darah dan udara yang mengandungi karbon dioksida dihembus keluar dari paru-paru.

 

Udara tak boleh keluar masuk melalui kulit manusia. Angin boleh ditelan masuk ke dalam perut, kerana itu kita boleh sendawa.

 

Jika makanan kita tidak dihadam sempurna, bakteria di dalam usus membantu pencernaan makanan tak hadam dan mengeluarkan gas. Inilah yang menjadi kentut.

 

Tidak ada angin dalam kulit, otot, urat, tisu badan yang lain. Jangan pula kata ada angin dalam rahim. Kita mesti tahu Rahim wanita dan perut itu organ yang berlainan.  

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Imelda Balchin (@imeldabalchin) on

 

 


3. Rambut kena ikat tinggi dan ketat supaya tak sakit kepala?
Yang betulnya, orang tua tak mahu kita nampak cantik depan suami, takut nanti suami tergoda pula! Tetapi jika anda ada suami yang memberi sokongan penuh kepada isteri semasa berpantang, apa salahnya free style?

 

Sakit kepala tidak boleh dirawat dengan ikat rambut dan ikat rambut tidak boleh mencegah sakit kepala.
 

 

 


4. Sapu jadam atau kapur pada perut untuk pecahkan lemak perut agar kempis?
Mana boleh pecahkan lemak melalui sapuan dari luar badan. Tidak logik! Untuk kurangkan lemak hanyalah dengan bersenam dan kurangkan makanan berlemak.

 

 

 


5. Kena bertungku setiap pagi untuk panaskan badan?
Tungku itu kan panas. Jadi, bagus untuk membantu pengaliran darah di dalam badan wanita yang lesu selepas bersalin, melembutkan otot yang tegang, menenangkan ibu.

 

Umpama rawatan spa, untuk memanjakan ibu-ibu, tidak salah dibuat. Itupun kalau ada yang mahu tolong buatkan.

 

Kalau tak mampu, usah stres memaksa diri melakukannya.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Imelda Balchin (@imeldabalchin) on

 

 


6. Betulkah pemakaian bengkung melangsingkan badan?
Sekali lagi saya tekankan, nak kurus, bersenam dan amalkan pemakanan sihat. Bengkung atau baju ketat-ketat tidak boleh menguruskan badan.

 

 


7. Sejauh mana pentingnya pakai stokin sepanjang masa?
Saya tidak ada hujah logik kenapa kena berstokin selain untuk menutup aurat.

 

 


8. Amalan jamu dan minum air akar kayu untuk segarkan badan?
Ia amalan tradisi wanita Jawa, Indonesia dan bukanlah amalan wanita di seluruh dunia. Seperti yang saya kata tadi, wanita Melayu kita bukanlah wanita paling sihat di dunia.

 

Tidak ada fakta yang membuktikan wanita makan jamu lebih sihat daripada yang tidak makan jamu.

 

Paling penting adalah penjagaan kesihatan untuk elakkan obesiti, diebetis, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan apabila anda jaga makan, bersenam secara tetap, ia boleh mencegah 13 jenis kanser.

 

Utamakan penjagaan kesihatan untuk seumur hidup.


 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Imelda Balchin (@imeldabalchin) on

 

 

 
9. Orang tua selalu cakap, lepas beranak cepat-cepat berurut sebelum masuk angin.
Sekali lagi saya cakap, badan tak boleh masuk angin hanya kerana tak berurut.  

 

 


10. Bertangas untuk sihatkan vagina? Bersauna untuk keluarkan peluh dan memudahkan pengurusan badan?
Bertangas? Vagina, saluran kencing dan saluran dubur dikawal dan disokong oleh otot pelvis. Apabila ada kelonggaran vagina, cara untuk mengetatnya semula adalah dengan menguatkan otot pelvis.

 

Cara menguatkan otot pelvis adalah dengan senaman kemut-kemut, iaitu senaman Kegels. Senaman itu harus dilakukan seumur hidup, bukan hanya ketika berpantang.

 

Cara kedua, ialah kurangkan berat badan kerana berat badan berlebihan akan menolak-nolak otot pelvis kita ke bawah menjadikannya kendur dan sokongannya berkurangan. Dari situlah puncanya masalah peranakan jatuh, terkencing apabila bersin.

 

Bersauna pula; nak berpeluh, macam-macam cara boleh berpeluh, seterika baju pun boleh keluar peluh. Dan itu sekadar dihidrasi sahaja, air dikeluarkan dari badan.

 

Cara terbaik untuk bakar lemak tetaplah dengan bersenam dan kurangkan makanan berkalori.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Imelda Balchin (@imeldabalchin) on

 

 


11. Benarkan mandi herba/mandi bunga dapat segarkan badan ibu dan naikkan aura?
Memanglah kalau kita dah mandi wangi-wangi, kita akan rasa syok! Benda buat kita seronok, buatlah, tak payah tanya.
 

 

 


12. Jangan jalan laju-laju atau banyak bergerak, ibu berpantang kena rehat saja?
Kalau nak tahu, kematian ibu bersalin di Malaysia tiga kali ganda lebih tinggi berbanding ibu bersalin di Eropah. Dan, kadar kematian itu lebih tinggi dalam kalangan ibu Melayu berbanding ibu Cina.

 

Gaya hidup zaman dulu tidak sama dengan zaman sekarang. Zaman sekarang, 50% penduduk Malaysia mengalami obesiti.

 

Risiko apabila kita mengidap obesiti menyebabkan darah beku di kaki dan ketulan darah beku itu boleh mengalir masuk ke saluran darah di paru-paru yang menyebabkan masalah pernafasan dan boleh menyebabkan kematian.

 

Kenapa darah beku terjadi? Apabila tidak membuat banyak pergerakan dan perjalanan darah tidak lancar.

 

Jadi, untuk elak masalah pulmonary embolism, kita perlu jaga berat badan sebelum hamil lagi, selepas bersalin minum secukupnya dan jalan-jalan selepas bersalin untuk lancarkan peredaran darah.
 

 

 


13. Ibu berpantang tak boleh berkipas atau kena aircond?
Orang zaman dulu bersalin di rumah dan mengalami banyak pendarahan kerana tidak dibantu oleh perubatan moden seperti yang diperolehi oleh ibu zaman sekarang.

 

Malah ketika hamil lagi, para ibu sekarang dijaga untuk mengelakkan kekurangan darah merah ketika bersalin nanti. Apabila ibu selamat bersalin di hospital, doktor tidak akan membenarkan para ibu pulang selagi kondisi kesihatannya tidak benar-benar memuaskan.

 

Berbeza dengan ibu zaman dulu yang tidak dipantau saat mereka kehilangan banyak darah menyebabkan badan ibu secara automatik mengalihkan bekalan darah ke jantung dan otak.

 

Ini mengakibatkan kurangnya pengaliran darah ke kaki dan tangan yang menyebabkannya terasa sejuk. Maka, mereka menjaga suhu badan ibu.

 

Zaman sekarang jika dibenarkan pulang dari hospital, maka anda sihat dan boleh buka aircond jika panas.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Imelda Balchin (@imeldabalchin) on

 

 

14.Tidak digalakkan membaca atau menjahit!

Saya tak pernah dengar amalan ini tidak digalakkan membaca. Bagi saya, nasihat ini mungkin mahu ibu itu melebihkan banyak masa berkualiti bersama anak. Ibu pun sibuk waktu itu, tiada masa nak membaca.

 

 


15. Pantang laksa setahun?
Jika anda ada alahan kepada apa-apa jenis makanan, elaklah makanan itu. Tak perlu menyuruh orang lain pantang makan laksa jika badan mereka tiada masalah dengan makanan itu.
 

 

 


16. Jangan bersama suami minimum 100 hari?
Pantang bersama suami itu mengikut hukum Islam ialah sehingga darah nifas kering, Darah nifas biasanya sekitar 36 hari.

 

Kita tiada hak nak tentukan berapa hari baru boleh bersama suami. Ini terpulang pada kesepakatan suami dan isteri.

 

 

 

Intrend dr2
 

 

 

17. Duduk elok-elok. Jangan bercangkung atau bersila?
Jamban orang dulu mana ada yang duduk. Kalau mereka tak mencangkung macam mana pula tu? Kalau bersila itu, saya setuju disebabkan perederan darah tadi tu. Kalau pesakit saya bersila pun, saya larang dan suruh mereka jalan-jalan.

 

 

 


18. Mandi air hangat, elak air sejuk?
Ia subjektif. Bergantunglah pada keselesaan badan masing-masing.Tahukah anda suhu air paip biasa di Malaysia itu dikira suhu air panas untuk orang di negara Eropah.
 

 

 

 

 


19. Orang tua selalu pesan jaga ibu jari kaki. Jangan bagi terantuk, nanti bentan?
Bentan itu apa maksud sebenarnya? Lain orang, lain pengertiannya. Ada yang cakap sakit urat, ada kata bengkak-bengkak, menggigillah.

 

Dalam perubatan, ia tiada makna kerana kami spesifikasikan sesuatu sakit itu dengan namanya sendiri.

 

Cuma, ada kes apabila ibu meneran terlalu lama ketika melahirkan anak menyebabkan kecederaan sementara kepada urat kaki yang dipanggil foot drop menjadikan kaki kebas-kebas.

 

Ini yang ibu-ibu disuruh jaga ibu jari kaki agar tidak tercedera sehingga kebas-kebas itu hilang tetapi ia jarang berlaku.
 

 

 

 


20. Benarkah wujud istilah makanan sejuk, makanan bisa?
Terpulang kepada alahan badan masing-masing. Namun, untuk ibu bersalin kita nasihatkan mereka mendapatkan makanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran untuk menggalakkan penghasilan susu badan dan membolehkan para ibu menyusu badan bayi mereka secara eksklusif selama enam bulan.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Lisa Surihani Mohamed 💋 (@lisasurihani) on

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.