Nov 14, 2016 - 31254
LIMAU NIPIS ataupun nama botaninya Citrus aurantifolia, adalah sejenis tumbuhan yang buahnya diproses sebagai minuman dan digunakan dalam masakan. Limau nipis dipercayai berasal dari India dan Myanmar atau Asia Tenggara. Kini ia ditanam di hampir seluruh kawasan tropika dan subtropika. Ketinggian pokoknya lingkungan lebih kurang lima meter tinggi. Kulitnya berkilat dan licin manakala isinya berwarna hijau kekuning-kekuningan dengan tekstur berair dan rasanya yang masam.
Buah limau nipis sinonim dijadikan perisa yang mengunci keenakan masakan Melayu seperti mi rebus, mi bandung dan lain-lain. Khasiat jus limau nipis juga berupaya membunuh kuman disenteri, kolera dan tifoid. Asid sitrik yang terkandung dalam limau nipis berkesan menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Asid sitriknya juga boleh digunakan untuk melegakan masalah perut selain melancarkan proses penghadaman.
Limau nipis mengandungi Vitamin A dan Vitamin C. Minyak yang diperah daripada kulit buah limau nipis turut digunakan sebagai pewangi dan aromaterapi dalam perubatan alternatif. Asid sitrik daripada jus limau nipis digunakan dalam industri makanan, minuman, farmasi dan dalam proses mewarnakan kain. Ikuti khasiat limau nipis dalam menambahkan kecantikan wajah juga kulit yang praktikal untuk diamalkan. Selamat mencuba!
1. Atasi Masalah Kulit Kering
Sediakan beberapa biji limau nipis dan potong kepada dua bahagian. Kemudian, gosokkan pada seluruh tubuh. Mandi seperti biasa dan ratakan air ke seluruh badan. Pastikan ekstrak limau nipis tadi digosok pada bahagian kulit yang bermasalah seperti siku, tangan, kaki, betis ataupun muka yang lazimnya kering. Selepas itu bersihkan badan dengan air.
2. Kempiskan Perut
Amalkan meminum perahan limau nipis yang dicampur dengan teh tanpa gula setiap hari. Seelok-eloknya teh diminum dalam keadaan suam. Petua ini dikatakan dapat membantu untuk mengempiskan perut yang buncit.
>>> 8 Petua Asli Paling Berkesan yang Pasti Buat Kulit Anda Kelihatan Cerah<<<
3. Bawah Lengan Lebih Harum
Ambil beberapa biji limau nipis lalu campurkan bersama kapur sirih. Selepas mandi, sapukan ramuan ini pada ketiak dan biarkan beberapa minit sebelum dibasuh. Amalkan setiap kali mandi dan insya-Allah bahagian bawah lengan lebih harum secara semula jadi.
4. Pulih Kulit Wajah
Jika kamu berhadapan dengan masalah kulit wajah terbakar kerana cuaca yang panas, petua ini boleh membantu. Bancuh sedikit tepung gandum bersama madu, putih telur dan air perahan limau nipis. Kacau sehingga sebati dan sapu ramuan tadi pada seluruh kulit wajah kecuali bahagian mata dan mulut. Biarkan ia kering kemudian cuci dengan air bersih.
5. Cantikkan Badan
Sediakan segelas air suam kemudian masukkan tiga camca kecil daun teh bersama perahan limau nipis. Biarkan semalaman kemudian minum setengah gelas pada waktu pagi dan setengah gelas lagi waktu petang. Amalkannya tiga kali seminggu, insya-Allah petua ini membantu untuk kesihatan dalaman juga kecantikan tubuh kamu.