Jul 13, 2017 - 3140
Foto: Getty Images
BUKAN sekadar tanaman hiasan di laman rumah, malah kecantikan bunga yang terdiri daripada pelbagai warna mengagumkan kita. Jika tidak, masakan pepatah ‘hatinya berbunga’ diangkat sebagai perumpamaan menggambarkan perasaan yang indah dilamun bahagia. Namun, pernahkah kamu terfikir ia juga berguna dijadikan ritual cantik untuk menyerlahkan aura kecantikan?
InTrend bawakan kisah bunga melur yang bermanfaat jika kamu amalkan untuk kecantikan kulit dan wajah. Selamat mencuba!
Bunga Melur Jadi Ramuan Minyak Wanngi Terkenal
Bunga melur ataupun nama saintifiknya jasminum sambac merupakan pokok jenis belukar renek dan ia dikatakan tergolong dalam pokok jenis merayap dan menjalar. Pokok bunga melur mempunyai kira-kira 200 jenis dan boleh didapati di kawasan Tropika dan beriklim panas. Pokok ini hidup membesar dalam keadaan menjalar pada pokok-pokok lain atau pada sesuatu bahan yang ia boleh berpaut. Penggunan esen bunga melur kebanyakannya dijadikan bahan wangian badan seperti Donna Karan Cashmere Mist daripada DKNY.
Malah di Itali, melur casablanca (jasmine officinalle) ditanam untuk dijadikan wangian badan. Bunga melur diselitkan pada sanggul rambut sebagai perhiasan di kalangan masyarakat India dan sebahagian masyarakat Melayu.
Foto: Getty Images
INI TIPS YANG ANDA MESTI CUBA
TIPS 1 Elakkan Muka Sembap
CARANYA: Campurkan sebiji putih telur, 1/4 sudu madu, 1/4 minyak zaitun, sebiji limau nipis (perah dan ambil airnya), lima kuntum bunga melur yang sedang mekar dan lima biji badam yang dikupas kulit. Kisar semua bahan sampai halus dan sapukan pada muka. Biarkan selama 10 minit dan bilas dengan air.
TIPS 2 Atasi Jeragat dan Pigmentasi
CARANYA: Campurkan beberapa putik jambu batu dengan beberapa putik bunga melur dan kisar sehingga halus. Kemudian, sapukan pada muka dan biarkan selama 30 minit. Amalkan selalu, insya-Allah jeragat akan beransur hilang.
Foto: Getty Images
Bukan Sekadar Bunga Kubur
Selain tujuan kecantikan, bunga melur juga mempunyai khasiat tersendiri dalam rawatan tradisional. Contohnya, untuk mengubati sakit mata (mata merah), mengubati bengkak akibat gigitan lebah serta demam dan sakit kepala.