Oct 09, 2014 - 126

Cara Paling 'Bijak' Ajar Anak Menabung

Mendidik, menggalakkan dan memberi kepercayaan kepada anak untuk bijak berbelanja sejak kecil akan menanamkan tabiat kewangan yang baik.


Jika usaha anda membuahkan hasil, kini giliran anda pula untuk menurunkan ilmu kepada anak-anak. Pertama, anda perlu tahu bilakah masa yang sesuai untuk mendidik anak-anak mengenai nilai wang? Biarpun tidak ada jangka waktu tertentu yang ditetapkan, tetapi eloklah dimulakan seawal yang boleh. Mendidik, menggalakkan dan memberi kepercayaan kepada anak untuk bijak berbelanja sejak kecil akan menanamkan tabiat kewangan yang baik.

PANDUAN MESTI AJAR KEPADA ANAK-ANAK
1. Tentukan matlamat Berbincanglah dengan anak anda mengenai matlamat mereka kerana itulah kunci kejayaan dalam menabung. Matlamat tabungan anak anda mungkin adalah sejenis barang permainan yang istimewa — buku, basikal atau patung Barbie. Walau apa pun, matlamat itu mestilah realistik dan boleh menggalakkan mereka untuk menabung. Berbincanglah dengan mereka dahulu. Matlamat itu mestilah matlamat mereka, bukannya matlamat anda. Kemudian, tinjau kos barang yang hendak dibeli itu dan congak berapa banyak anak anda perlu menabung setiap minggu bagi membeli barangan tersebut dalam satu jangka masa. Pastikan ia munasabah.

2. Jelaskan mengenai nilai pelaburan
Memulakan tabiat menabung dan melabur sejak awal adalah kunci kepada perancangan kewangan yang berjaya. Jika boleh, setiap kali anda ke bank untuk berurusan atau untuk melabur dalam unit amanah, bawa sekali anak anak dan bukalah akaun simpanan untuk mereka. Laburkan sebahagian daripada wang simpanan mereka dalam dana amanah dan ajak mereka sama-sama melihat perkembangan pelaburan itu. Walau bagaimanapun, jangan haling hak anak anda untuk mengeluarkan sedikit wang simpanan atau pelaburan mereka untuk membeli sesuatu kerana, jika anda halang mereka, mungkin akan melemahkan minat mereka untuk menabung atau melabur. Yang perlu dilakukan ialah memberitahu mereka bahawa jika wang simpanan dikeluarkan sebelum matlamat mereka tercapai, maknanya lebih lamalah masa yang akan diambil untuk mencapai matlamat mereka. Jika mereka mengeluarkan simpanan setelah mencapai matlamat mereka, itu juga adalah pilihan mereka sendiri. Pendek kata, tak kiralah sama ada mereka mahu mengeluarkan wang simpanan sebelum mencapai matlamat mereka (sekiranya berlaku kes kecemasan atau ada barang yang mereka perlukan segera) ataupun tidak, terpulanglah kepada keputusan mereka sepenuhnya dan ini peluang untuk mereka memahami kesan mengeluarkan wang itu pada masa
tersebut.

3. Berikan insentif (wang saku)
Memberikan wang saku boleh membantu membina keupayaan anak merancang perbelanjaan. Bagi memutuskan berapa banyak yang perlu diberikan kepada mereka, fikirkan dengan teliti jenis perbelanjaan yang boleh digunakan untuk wang saku itu. Misalannya, bagi belanja sekolah, elok kalau anda pergi tinjau harga makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah sebelum memutuskan berapa banyak wang saku yang diperlukan oleh anak anda. Jika perlu, berikan wang saku dalam beberapa pecahan wang bagi menggalakkan mereka menabung.
Misalnya, jika wang saku RM2, berikan anak anda wang kertas RM1 manakala selebihnya dalam bentuk wang syiling supaya dia boleh mengasingkan beberapa keping wang syiling untuk dimasukkan ke dalam tabung.

4. Izinkan anak-anak mengatur sendiri perbelanjaan mereka 
Belajar berbelanja secara bijak membabitkan beberapa percubaan dan kesilapan. Sama ada keputusan berbelanja yang mereka ambil itu baik atau tidak, mereka perlu belajar daripada pilihan mereka sendiri. Sebagai ibu bapa, anda boleh mengajak mereka berbincang secara terbuka mengenai kebaikan dan keburukan sebelum mereka berbelanja.

5. Simpan rekod kewangan
Galakkan anak-anak menyimpan resit pembelian buku, permainan atau barangan lain dalam sampul surat atau menyimpan jurnal perakaunan yang mudah bagi membolehkan mereka menjejaki perbelanjaan dan tabungan mereka. Ini boleh menanamkan tabiat merekodkan perbelanjaan supaya mereka boleh belajar mengurus kewangan mereka secara sistematik pada masa hadapan.

6. Tunjukkan contoh yang baik
Sebagai ibu bapa, tunjukkan contoh yang baik melalui pengurusan kewangan anda sendiri yang baik dan bijak. Elakkan pembelian yang tidak dirancang atau mengejut. Elakkan daripada banyak membuat hutang tidak perlu, contohnya hutang kad kredit. Sama ada baik atau buruk, anak-anak belajar bagaimana menguruskan wang daripada ibu bapa mereka. Seperti kata pepatah, “Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Jadi, InTrend ucapkan semoga berjaya.


Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:

  • ← Sebelum

    Maaf Bawa Bahagia

  • Seterus →

    Cara Paling 'Bijak' Ajar Anak Menabung