Sep 11, 2014 - 9

Cinta Orang Tengah

Playing cupid, adalah istilah kepada inisiatif orang ketiga untuk menemukan dua individu

cinta-tengah655x437.jpg

Playing cupid, adalah istilah kepada inisiatif orang ketiga untuk menemukan dua orang strangers, atas alasan cinta atau jodoh. Mudah difahami orang kita sebagai menjadi orang tengah. Cuba menemukan dua hati bukanlah satu kerja yang mudah, dan menghasilkan sesuatu dari niat itu juga adalah sesautu yang sangat bernilai tinggi, tetapi tiada jaminan ia akan berjaya, malah boleh menjelma sebaliknya. Ramai percaya, membantu menemukan jodoh pahalanya bagai mendiri masjid. Jadi, antara pulangan dan cabaran ini, manusia selalu memilih untuk mencuba, kerana apa salahnya berusaha atas niat yang mulia?

Menjadi orang tengah nampak mudah, tetapi banyak rahsia dan turning points yang buat kita keliru dan kurang pasti tentangnya, tetapi teruja untuk meneruskannya. Ia bagai misteri, juga cerita niat yang baik, dengan seribu jalan dan penghujung yang boleh menjadi baik, atau sebaliknya--Bukan pada dua orang tadi, tetapi pada diri sendiri!

To Be or Not To Be?

Apa cerita cinta orang tengah ini? Apa hikmah dan padah di sebalik cinta sebegini? Apa sebenarnya yang baik atau jelik? Banyak cerita memang, tetapi biar saja kita mulakan yang ia memang satu rasa yang baik. Tugas sebagai manusia di bumi ini bukan hanya hidup sendiri. Kita berkawan, dan dalam pada itu kita membantu dan menilai. Itulah timbulnya cinta orang tengah. Tidak semua orang pantas menemukan cintanya seperti ramai lagi yang bertuah memiliki cinta pandang pertama. Mungkin cinta pandang ketujuh pun ada yang tidak mempu menikmati cinta sebegitu. Selain tuah, ada juga manusia pemalu, atau tidak serius mencari, atau pasrah atau situasi diri dan karier yang kurang menyokong. Syarat pertama mencari cinta, berkenalan amat terbatas. Banyak faktor lagi, tetapi itulah sebab lebih mudah cinta itu hadir melalui cara dikenalkan teman atau saudara pada manusia sebegini.

Juga, tidak semua manusia dapat melahirkan hasrat dan citra diri sebenar secara sendiri. Kadang-kadang dia memerlukan medium, atau orang lain untuk menjelaskan bagi pihak diri. Di sinilah orang tengah diperlukan sangat. Teman yang baik ialah orang yang bersedia menjadi orang tengah, kerana itulah sebenarnya tanda teman itu sangat menyenangi dan menerima kita sebagai manusia. Orang tengah muncul lantaran ikhlas, rela dan berani. Ada juga atas kepentingan diri, tetapi bukankah keputusan akhir di tangan diri sendiri untuk menerima atau tidak?

Berbalik soal situasi, saya selalu beranggapan yang seseorang itu, yang hidupnya sebagai pemalu (ramai orang sebegini rupanya, tanpa mengira jantina!) dan tidak banyak bersosial, akan lebih mudah berjumpa cinta jika mendapat rezeki ditemukan orang tengah. Orang tengah ini, boleh saja kawan atau sedara, mungkin mengenali individu yang sedang mencari atau sendiri, dan pantas saja bersedia memulakan langkah untuk mengenalkan

Percayalah, ini semua ada juga syaratnya. Orang tengah akan cuma mengenalkan cuma jika dia ‘berkenan’ dengan sifat dan tingkah diri. Jika tidak, simpan saja harapan itu di mana-mana. Kalau orang tengah tidak bersetuju, jangan haraplah dia mahu menemukan kita dengan seseorang. Untuk itu, kita perlu sentiasa menjadi diri sendiri (dalam konteks sentiasa positif) dan itulah pentingnya untuk berbuat baik dengan ramai orang tanpa memilih bulu. Siapa tahu yang kenalan anda adalah kunci pada pintu jodoh diri, dan satu hari menjadi orang tengah lantaran senang dengan sikap dan perilaku anda. Siapa tahu, orang yang anda senyum tiap-tiap hari adalah orang tengah yang satu waktu terlintas menemukan cinta atau jodoh anda. Siapa tahu, teman pejabat yang anda sentiasa keluar makan itu menyukai diri, dan mahu anda berkenal abangnya yang kacak atau kakaknya yang comel. Fikirkan!

Hakim atau Posmen?

Antara hikmah dan padah, cinta orang tengah adalah cerita risiko sebenarnya. Banyak cerita memang, tetapi biar saja kita mulakan yang ia memang satu niat yang baik. Menemukan dua insan demi kebahagiaan adalah perlu sangat mulia. Niat juga, sememangnya perlu diikuti usaha dan cara yang betul. Niat baik tidak memadai jika caranya salah. Dan jika keduanya betul pun, situasi juga perlu dipandang berat. Menjadi orang tengah adalah seperti mengambil usaha awal untuk menilai, dan berfikir sejenak adakah niat itu perlu atau boleh diteruskan? Diri menjadi hakim, dan bertanya hati adakah perkenalan pada si pertama dan kedua itu membawa baik atau buruk saja? Adakah keduanya bersetuju dipertemu, atau hanya seorang yang berminat dan hanya menjadi tepukan sebelah tangan nanti? Tidak dapat tidak inilah yang terpaksa diperhalusi, dan bukan sekadar menyampai pesan dan salam sahaja, dan menyerahkan segalanya tumbuh sendiri.

Atau, itulah cara yang betul menjadi orang tengah? Tugas kita mengenalkan sahaja. Seperti posmen, kta menyerahkan posto, dan penerimalah yang bertanggungjawab selepas itu. Ramai juga yang percaya akan this school of thought. Lebih mudah. Lebih selamat. Lebih tidak menyusahkan. Posmen sifatnya berkecuali, kerana perkiraan diri itu kadangkala mengundang berat sebelah, lantaran we try to fit in other’s shoes. Kenalkan, dan selebihnya adalah tanggungjawab mereka. Begitu?

Cerita-cerita Mereka…

Dalam pro dan kontra ini, saya melihat beberapa cerita kejayaan dan cerita duka berkaitan. Banyak yang telah diijabkabul setelah dikenalkan, dan bahagia sehingga saat ini. Dalam pada itu, banyak kejadian yang menjadi ialah kes dikenal oleh saudara rapat. Mungkin kerana dasar percaya itulebih ketara, dan dikenalkan melalui sumber yang dipercayai adalah lebih baik. Ada juga yang sebaliknya. Bukan ria, tetapi yang muncul ialah cerita duka. Banyak juga yang renggang selepas dikenal. Paling selalu kes bertepuk sebelah tangan. Ada juga kes rasa tertipu. Dan paling sukar dan lelah, orang tengah disabit sama dalam kancah tidak harmoni akibat pelbagai situasi dan faktor.

Amati cerita-cerita ini. Seorang teman, F, sudah serik menjadi orang tengah lantaran dipersalahkan bila hubungan tegang dan tidak serasi. Daripada satu segi, bila harapan cinta itu memuncak, risikonya semakin tinggi dan parahnya semakin dalam jika tidak menjadi. Jadi, tempiasnya juga terpalit pada orang yang cuba mengenalkan. Manusia sentiasa mencari kambing hitam, dan orang tengah senang sekali dituding jika segalanya tidak menjadi. Hakikatnya, itu bukan hujah yang kuat untuk membuatkan orang tenagh menjadi mangsa keadaan, dan

Seorang kenalan, Y, tidak berminat untuk menjadi orang tengah. Itu melanggar prinsip dirinya, dengan menyamakannya seperti “menjaga tepi kian orang - niat baik yang tidak perlu di zaman moden nih”, terluncur katanya yang nampak bersunguh. “Banyak cara untuk manusia berkenal sekarang, dan kadang-kadanag manusia pemalu adalah seperti orang pemalas,” tambahnya semakin berapi. Y mengakui mempunyai beberapa teman yang masih sendiri, serentak mengenali beberapa teman lain yang mencari, tetapi tiada alasan dan tergerak hatinya untuk mencelah dan berinisiatif mengenalkan antaranya. “Semua orang ada pancaindera dan usaha, dan manusia bertanggungjawab terhadap nasib dan jodoh masing-masing”, sambung Y lagi dalam debat yang panjang. Usaha itu tugas manusia, tegasnya. Dan jodoh itu pula kerja Tuhan, kata akhirnya.

Dan saya juga agak rajin juga ‘menjaga tepi kain orang ini’. Bila seorang teman tragis berpisah dalam usia yang awal, saya terpanggil mengenalkannya dengan seorang teman lelaki yang mencari. Beranggapan bahawa kerja selebihnya ialah tugas mereka berdua, saya simpan saja beberapa perkara yang saya beranggapan tidak perlu diberitahu dahulu. Kemudian, cerita pendeknya saya memerangkap diri bila the truth and reality do nott match. Dari kawan saya, pesan sinisnya amat pedih, “Lain kali kena jujur tentang statusnya dulu!,” dan dari lidah wanita itu saya dihujani soalan, “Apakah status saya ini hina sangat?”. Saya belajar banyak dari peristiwa itu, tapi berharap tidak berputus asa bila mendapat peluang menjadi penemu lagi.

Buka Mata, Pasang Telinga, Ringan Mulut!

F mungkin betul, manusia kini ada banyak cara dan ketika, juga pancaindera untuk mencari cinta. Baru-baru ini juga, bila saya bertindak menjadi orang tengah (posmen sebenanya) saya diketawakan dan diperli, “Tak mainlah pass-pass, kalau nak jumpa cakap sendiri!” dan saya bawakan khabar ‘gembira’ itu pada lelaki yang mengutus, ditambah sedikit ayat, “Dia kata kau tak gentleman!” Merah juga mukanya… Memang ada wanita tidak memandang rendah pada usaha orang tengah ini, tetapi tidak gemar pada lelaki itu yang tidak mahu sendiri mengenalkan diri. Mengapa perlu takut untuk bertemu pasangan? Bagi mereka, itu bukanlah lelaki sejati dan berani. Bukan ciri idaman. Lelaki yang berani tampil dan bersuara ialah pilihan terbaik. Entahlah.

Asli atau Perisa?

Dalam gambaran lebih besar, ada yang beranggapan cinta hasil orang tengah ini tidak best. Tak asli. Tak kick. Kata Ad, seperti orang dewasa, dia mahu mengenali pasangannya dalam tuah dan cara sendiri. Biarlah di tangah jalan atau laman siber sekalipun. “Kalau orang itu sukakan kita, dan diri disukai ramai, tidak perlu orang lain yang mencari bagi diri. Mesti jumpa punya!

Atau, ada juga mengatakan inilah cara bercinta paling baik. Sekurang-kurangnya tugas menilai itu lebih mudah, bila ada orang tengah menjadi referee. Perakuan dan penerimaan orang tengah nyata boleh dikongsi, dan dasar percaya itu selalunya mengundang rasa tanggungjawab dan suasana bahagia. Kalau kenal sendiri, siapa yang boleh dirujuk dulu latar belakangnya, kerana keputusan besar dibuat sukar diubah semula?

Peranan vs Impian

Pada diri orang tengah itu semacam paksi segalanya. Perlu, yang orang tengah mengerti benar setakat mana penglibatan diri dalam pertemuan itu. Mungkin lebih baik setakat mengenalkan dan memberitahu sedikit latar, dan biarkan selebihnya si dia menilai. Jangan terlalu dalam menilai, dan membocor rahsia walau kadangkala kenyataan perlu diberitahu. Tetapi, lebih mudah jika anda tidak campur tangan dalam hubungan sebegini kerana risikonya besar. Beri amaran yang tugas anda hanya mengenalkan, dan bertanya dahulu adakah mereka sudi dan bersedia dikenalkan.

Juga, jangan sesekali membiarkan harapan anda sendiri, sebagai orang tengah, menguasai diri. Benar anda lakukan atas niat mulia, dan dengan penuh harapan juga, tetapi cinta atau jodoh bukan terletak pada niat suci itu atau cara yang sudah betul. Cinta ini misteri, lucu dan kejam, dan buang harapan itu jauh-jauh kerana tugas orang tengah ialah mengenal, dan berdoa. Cinta upaya manusia, tetapi Jodoh kuasa Yang Esa. Usaha tanpa doa boleh mengundang sia-sia.

Panjang lagi cerita cinta orang tengah ini. Ada tiga manusia dengan harapan dan persepsi berbeza di dalamnya. Kita kena menilai semua, melihat dari kacamata orang lain jika perlu, atau berundur jika dirasakan itu pilihan terbaik. Niat ikhlas pasti berkat, cuma kuasa itu bukan jaminan usaha. Apapun, biarlah jika hubungan itu menjadi atau tidak, segalanya seperti sediakala, dan apa salahnya terus menjadi kawan berbanding lawan.

 

Teks: HAFEZIN KHADIRI

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik:  cupid cinta