Mar 10, 2015 - 4

Kenapa Merotan Anak, Satu Kesalahan?

Ya, menggalas tugas sebagai ibu mahupun bapa tidak mudah. Apatah lagi membesarkan anak dalam era millennium...

child_abuse_35502867.jpg
Merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan diluluskan.

Ya, menggalas tugas sebagai ibu mahupun bapa tidak mudah. Apatah lagi membesarkan anak dalam era millennium, memang banyak cabarannya. Justeru, kita kena bijak menggunakan pendekatan terbaik dalam mendidik zuriat kita. Ibu bapa perlu tahu tahap dan had dalam mendidik anak untuk mengelak terlalu mengikut perasaan ketika merotan sehingga boleh mencederakan anak. Adakah merotan ini sudah menjadi budaya masyarakat kita? Kenang balik zaman kita masih kanak-kanak, bukan emak ayah, malah nenek moyang kita turut mempraktikan kaedah sama dalam mendidik anak dan penggunaan rotan adalah antara satu kemestian.

Ya, masih saya ingat ketika zaman kanak-kanak dulu, ayah akan rotan kami adik-beradik jika berbuat salah. Setakat rotan, tali pinggang ataupun ranting kayu hinggap di punggung, itu bukannya isu besar bagi kami adikberadik. Kerana kami tahu ayah merotan dengan tujuan untuk ‘mengajar’, bukannya mendera. Kena rotan bukan setakat di rumah, di sekolah pun kami kena ‘bantai’. Cikgu dulu-dulu tidak takut merotan anak murid terutama yang ada masalah disiplin. Waima dirotan cikgu, kami tidak pernah menyimpan kebencian sebaliknya menghormati tugas guru yang mendidik kami. Ini berbeza dengan sekarang apabila ‘kuasa’ diberi kepada anak murid sehinggakan cikgu tidak boleh merotan mereka di sekolah.

Adakah ini yang kita mahukan dalam sebuah keluarga apabila ibu bapa tidak boleh merotan anak mereka sendiri? Seperti yang kita maklum, Islam juga membenarkan merotan anak. Contoh paling jelas ialah dalam mendidik anak supaya bersolat. Jika anak sudah berusia 10 tahun dan masih tidak mahu bersolat, kita boleh merotan. Dalam Islam menyuruh ibu bapa mendidik anak supaya mengenal dan mencintai solat. Bukannya kita melakukan membuta tuli.

Justeru, merotan dalam Islam pun ada caranya. Justeru, isu merotan usah diperbesarbesarkan seolah-olah masyarakat di negara ini tidak tahu ilmu keibubapaan. Cadangan hukuman rotan sebagai satu jenayah seharusnya difahami sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
 
APA KATA MEREKA?

Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO
“Kami bimbang jika pelaksanaan hukuman rotan itu diteruskan berkemungkinan akan berlaku banyak kes seperti pasangan Malaysia di Sweden iaitu peningkatan anak-anak dipisahkan daripada ibu bapa mereka.”
 
Dr Fatul Bari Mat Jahaya.
Pengerusi Sekretariat Ulama Muda
“Kita berbicara soal hak anak ke atas ibu bapa, bagaimana pula hak ibu bapa ke atas anak? Kenapa tidak fikir hak ibu bapa bagi anak yang derhaka, anak yang menghantar ibu bapa ke rumah orang tua dan mengabaikan ibu bapa?”
 
Datuk Mat Nayan Saad
Presiden Pertubuhan Setiakawan Ummah Malaysia
“Usah taasub dengan undang-undang negara Barat yang memenjarakan ibu bapa yang merotan anak-anak walaupun untuk tujuan mendidik.”
 
Bagaimanapun, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi penjelasan bahawa bukan semua tindakan merotan akan dikategorikan sebagai kesalahan jenayah seandainya ia tidak menyebabkan kecederaan fizikal atau mental.

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik: