Dec 23, 2014 - 58

Lelaki lambat Kahwin, Ada Masalah? | Oleh : Faisal Tehrani

Selalu kalau perempuan lambat berkahwin, stigmanya tidak seberat lelaki yang lambat berkahwin. Mungkin kita sedar bahawa perempuan itu perigi, makanya tidak boleh bergerak terkinja-kinja mencari timba.

Selalu kalau perempuan lambat berkahwin, stigmanya tidak seberat lelaki yang lambat berkahwin. Mungkin kita sedar bahawa perempuan itu perigi, makanya tidak boleh bergerak terkinja-kinja mencari timba. Kita juga boleh memahami yang perempuan lebih ramai daripada kaum lelaki, maka persaingan sihat (dan tidak sihat) akan berlaku, maka akan ada yang tewas dan menarik diri dari medan tempur. Yang tumpas itu mungkin memilih jalan sederhana; kalau ada, adalah; kalau tiada, hendak diadakan bagaimana?
Faisal-Tehrani.jpg
Akan tetapi kalau lelaki lambat berkahwin, selalunya stigma masyarakat akan merebak. Akan ada soalan, apa masalahnya? Tinggi benarkah harga hantaran? Atau adakah ia kasanova? Kalau-kalau lagi pasportnya penuh dengan cop keluar masuk ke Selatan Thailand atau Batam di Indonesia.
Mungkin juga akan ada pertanyaan; mungkin ia sebenar-benarnya tidak menyukai perempuan; dan menggemari sesama sendiri. Pelbagai andaian. Sebetulnya lelaki lambat berkahwin ini ada bermacam-macam sebab yang ruwet untuk kita gambarkan. Ambil seorang teman sepejabat saya. Orangnya baik akhlak. Lulusan agama sebuah universiti tempatan. Hitam manis dan santun sopan yang membuatkan ramai yang terpikat. Al-kisahnya saya memperkenalkan dia dengan seorang guru tadika yang merupakan kawan kepada isteri.

Akan tetapi kawan sepejabat saya ini pemalu sungguh orangnya. Tidak berani bertemu mata. Hanya sekali dua SMS dikirimi. Hendak tapi macam tiada tindakan sama sekali. Jenuh juga menyuruhnya. Saya malah mengatakan, ‘Mu mari dari Machang, dia mari dari Kuala Krai; kalau balik beraya kan senang. Tidaklah seorang hujung di sana, seorang hujung di sini.’ Pun, hujah sedemikan tidak jalan juga! Saya kira, lelaki baik pun kena gatal juga sedikit-sedikit supaya terbuka pintu jodoh. Liat sungguh memadankannya. Gedebak-gedebuk tidak jadi. Ada pula seorang gadis di pejabat ini yang mengurat-ngurat manja teman sepejabat saya itu. Orangnya tidaklah terlalu cantik, malah tembun gebu sedikit. Kampung halaman jauh sekali dari Machang. Apa resipi kek dan apam yang tidak pernah dicubanya untuk memancang kawan saya yang budak masjid itu. Kadang, kalau kawan lelaki saya itu masuk ke kamar kerja gadis yang bekerja sementara itu; sengaja gadis pun memasang video di laman YouTube yang memapar ustaz-ustaz antara lain Azhar Idrus berceramah dengan harapan, ia akan terlihat menyukai agama dan satu akidah.

Dulu, tidak pernah ia mengenakan jubah; sekarang bermacam jenis jubbah sudah dipasang. Pun, teman sepejabat saya itu tidak tertarik! Al-kisah satu lagi seorang teman juga. Dia memang jauh lebih muda daripada saya. Dia selalu membahasakan saya ‘abang’. Hormatnya luar biasa. Kerana akrabnya dia dengan saya, maka saya pun diminta mencarikan jodoh untuknya. Gelidah punya gelidah, saya cuba memadankannya dengan seorang gadis dari Kota Bharu. Masih belajar di sebuah universiti tempatan. Kemudian selepas diperkenalkan, saya pun tidak mencampur urusan mereka. Selalu saya berjumpa dengan teman yang lelaki ini, tetapi tidak pernah terbangkit soal gadis KB itu. Bincang kami lain-lain, seringnya politik. Tidak berapa lama kemudian saya terserempak dengan sang gadis, maka entah kenapa saya pun bertanya; apakah prospek yang ada?

Si gadis KB memberitahu, teman lelaki yang muda belia itu memberitahunya begini; “Saya tidak mahu mengahwini awak kerana awak berasal dari KB, jauh untuk saya balik berhari raya. Juga, awak masih sangat muda, baru tahun kedua diploma di UiTM. Saya hanya akan berkahwin selepas usai PhD.”
lympne-castle-wedding-kent-wedding-photographer.jpg
Fuhh. Alasan, mendidih pula darah saya mendengarnya. Jika itu benar. Namun, apabila bertemu sang pemuda tidak timbul pun apa-apa daripada mulutnya. Tup tup sebelum Hari Raya, sekeping kad dilayang menjemput saya ke majlis perkahwinannya. Sang pemuda masih belum selesai PhD (malah masih belum selesai MAnya), bakal isterinya pula belum pun sudah matrikulasi dan kampung halamannya adalah di Machang. Memang sudah jodohnya; tetapi alangkah baik kalau ia berjujur sahaja dengan saya apabila meminta saya mencarikannya jodoh. Kerja jadi match-maker ini penuh kehormatan dan maruah. Bukan boleh main tidak jadi begitu-begitu sahaja.

Lebih meruap darah saya, ketika ia sedang bertunangan dengan bakal isterinya itu, dan ketika ia menghambur kata-kata yang kesat kepada si gadis KB, ia sedang bercinta-cintaan dengan seorang kekasih lama dari alam persekolahan. Memang ramai lelaki yang lambat berkahwin. Alasan mereka bermacammacam. Ketakutan mungkin. Tidak bertemu yang serasi mungkin. Atau sekian banyak lagi alasan. Ada juga satu lagi kes, teman yang amat baik dengan saya. Orangnya kacak. Kerjanya pun siap. Malah sudah membeli rumah berharga 400K ke atas di Lembah Klang. Dia mencari-cari juga bakal isteri. Untuk jadi suri hidup. Pun, dia takut juga kalau tersalah pilih. Bergaul demi bergaul, ada kawan lain memperkenalkan dia dengan seorang ‘sharifah’ yang sungguh juwita. Saya pun mengetahuinya pada status FB yang ditukar kepada ‘sedang berkasihan’ (atau in relationship). Malah khabar daripada mulutnya sendiri menanti masa sesuai untuk pergi merisik. Lama-kelamaan, tanpa saya sedar, status itu bertukar menjadi ‘bujang’ (atau single) kembali.

Di kesempatan lain saya pun bertanya; apakah masalahnya? Jawapannya, sang ‘sharifah’ yang jelita itu tidak sesuai. Apabila dilanjuti, ternyata sharifah itu sendiri menarik diri kerana katanya teman saya itu berbual-bual mengenai topik yang tidak ia kuasai. Bagaimana nak berlaki bini? Teman saya yang lelaki itu memang minatnya hak asasi manusia, wacananya tentang kebebasan beragama, isu politik, pandangan yang berat-berat belaka. Katanya, si sharifah itu tidak boleh bawa muatan seberat itu. Dan teman saya itu hampa kerana bekas kekasihnya itu memang cantik. Pengalaman saya menjadi sang perantara belum cukup Berjaya nampaknya. Seorang teman lain mencari-cari juga. Ia meminta saya untuk membantu. Saya lihat pergaulannya luas.

Apabila saya bertanya kenapa sekian ramai kawan perempuan yang saya lihat ia gauli itu tidak ia intimi untuk dibuat isteri? Teman saya itu menjawab ‘mereka tidak cukup tahap untuk berkomunikasi’. Permintaan teman saya itu senang sahaja, ‘carikan isteri dari kelas pertengahan yang tidak rimas menjadi Melayu’. Self loathing Malay memang merimaskannya. Makanya saya cuba memadankan dengan seorang kawan saya yang berijazah Sarjana dari Hamburg dan pernah praktis sebagai pengamal perubatan di Moscow, tetapi sekarang malas menjadi doktor. Kawan saya yang lelaki itu sudah seronok sekali. Tetapi apabila saya pujuk dan rujuk berkali-kali kawan perempuan yang kelas ini, ia hanya menjawab,

“Bagaimanalah nak berkawan dan berkahwin dengan kawan you tu Faisal? I masih kaki clubbing, dia malam-malam pun pergi dengar forum tentang isu TPPA dan berbual tentang kenaikan harga petrol.”

Semalam kawan saya itu bertanya di mesej menerusi FB. Soalannya berbunyi; “Bilakah seorang lelaki itu rasa bersedia untuk berkahwin?” Jawapan saya santai, untuk ia memang lucu; tetapi itulah hakikatnya; “Apabila lelaki itu rasa tergamak dan sanggup bangun pagi pada hari Ahad untuk menemani seorang perempuan ke pasar membeli ikan.” Lelaki memang cerewet. Mereka memilih dan takut kepada yang bukan-bukan. Saya fikir, bukan sangat lelaki memilih yang cantik-cantik. Tetapi mereka hanya takut, apakah betul perempuan ini yang akan ia hadap seumur hidup?

Jadi, dalam satu bual santai minumminum kopi dengan seorang kerani di pejabat saya; ia menceritakan betapa ia mentertawakan barang-barang pilihan isteri; tudung-hijab, sepatu-kasut, beg-tas yang menurutnya semua buruk belaka. Saya membalas selamba, “Jangan menggelakkan pilihan isteri hang; kerana hang adalah salah satu pilihan yang buruk itu.” Ramai lelaki yang lambat berkahwin. Bukan semua yang lambat dan menangguh perkahwinan itu kerana mereka gay. Tetapi kerana kerja memilih itu memang sesuatu yang payah dan susah!

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik: