Nov 06, 2014 - 114

Menangi Politik Pejabat

Mainan politik ada di mana-mana. Terpulang kepada kebijaksanaan anda untuk menanganinya. Apa yang penting, gangguan negatif mesti dielakkan, bimbang kerja anda tidak produktif.

 


Mainan politik ada di mana-mana. Terpulang kepada kebijaksanaan anda untuk menanganinya. Apa yang penting, gangguan negatif mesti dielakkan, bimbang kerja anda tidak produktif.

6 PESANAN MESTI DIAMALKAN!

Jadilah diri sendiri dan jangan hipokrit
Anda mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah politik pejabat 100%, tetapi itu tidak bermakna anda harus terikut-ikut seperti mereka. Anda kena pandai untuk tidak melayan mereka yang bergosip kotor dan menikam orang dari belakang. Mungkin anda kerap terdengar beberapa perbualan yang tidak menyenangkan tetapi anda harus menapis yang mana baik dan yang mana buruk.

Elakkan perselisihan faham
Cuba elakkan perselisihan faham berbentuk konfrontasi secara langsung yang boleh merangsang perlakuan tidak diingini. Jika anda tersilap langkah, ini akan mengundang risiko ke atas diri anda tambahan pula ada yang mempunyai ‘kabel’ besar dengan boss. Jika ada yang cuba untuk membalas dendam atau sebagainya, cubalah dapatkan bantuan daripada pihak yang anda benar-benar percaya sahaja.

Menangani musuh dengan baik
Kalau tidak ada musuh jangan cari musuh. Ada pepatah menyatakan, “Hanya satu alasan mengapa musuh anda tidak dapat menjadi kawan anda, iaitu diri anda sendiri” atau “Musuh kita adalah sahabat kita, kerana dialah yang menunjukkan kesalahan kita.” Kenali siapa yang menjadi musuh anda dan mereka yang berpotensi membenci anda. Mereka ini adalah orang yang tidak suka anda berjaya misalnya naik pangkat. Apa kekuatan mereka? Dari mana kekuatan itu datang? Jawatan mereka? Sekuat mana pengaruh mereka? Siapa sahabat-sahabat mereka? Adakah dia seorang yang dikatakan penting di pejabat anda? Soalan ini anda harus jawab sendiri. Anda juga perlu mengkaji kelemahan musuh anda dan menggunakan kelemahan mereka untuk menjadi benteng anda.

Perlu tabahkan hati
Terus-terang, anda mesti tidak senang hati sekiranya sering dikhianati tetapi anda harus tabah untuk menghadapi semua ini dan jangan biarkan kerja anda turut terganggu. Sememangnya, mereka yang terlibat dengan politik pejabat mempunyai pelbagai cara untuk menjatuhkan orang lain. Tujuan mereka adalah untuk menjatuhkan anda, jadi jangan biarkan mereka menang. Berdiri teguh ketika berhadapan dengan politik pejabat yang direka untuk menyakiti hati anda.

Anggap politik pejabat adalah sesuatu yang normal
Jangan dikusutkan sangat kepala dengan masalah birokrasi, gosip liar dan sebagainya. Mereka yang terlibat dengan politik pejabat ini sebenarnya manusia biasa juga. Mungkin tabiat dari luar yang dibawa ke pejabat yang menyebabkan suasana pejabat tidak mesra. Umpat-mengumpat, menjatuhkan orang lain, bodek-membodek dan ada kumpulan sendiri adalah sesuatu yang normal dalam pejabat cuma kita kena pandai menanganinya. Pastikan juga anda tidak menggunakan ‘politik pejabat’ sebagai alasan untuk menutupi kekurangan diri. Terlibat atau tidak, anda harus tahu cara untuk mengatasi masalah politik pejabat. Pilihan adalah di tangan anda.

Berjumpa pihak pengurusan
Pilihan ini mempunyai beberapa keterbatasan, terutama jika rakan kerja yang terlibat mendapat sokongan daripada ketuanya. Jika anda mempunyai bukti yang anda telah dianiaya, jangan keberatan untuk bertemu pihak pengurusan.

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:

  • ← Sebelum

    Cinta Pertama Amat Berhantu.

  • Seterus →

    Menangi Politik Pejabat