Feb 09, 2015 - 7

Sesal Seluruh Nyawa | OLEH Faisal Tehrani

Terlalu banyak titik hitam di dunia. Dalam dunia seni lukis, hitam bukanlah warna. Ia adalah; kegelapan...

eeeeeeeeTehrani.jpg
Sedar tidak, kita semakin selalu kehilangan orang tersayang, yang cukup dekat dengan kita; secara mendadak. Tiba-tiba kita mendengar khabar kawan sekolah dilanda kanser dan sungguh cepat ia merebak dan tahu-tahu kita membaca Yaasin di kubur. Tiba-tiba kita ditelefoni ahli keluarga yang terjatuh motor, kemalangan ngeri dan mereka segera pergi. Tiba-tiba teman sekerja yang selalu kita bergurau dan bersenda tanpa angin tanpa api untuk menjadi punca sudah rebah dan kita pun terpinga-pinga. Sejak dua tiga tahun ini, itu yang aku alami. Mungkin aku yang semakin tua. Terdengar dan terngiang di cuping si polan si polan yang memang kita mesrai tiba-tiba sahaja meninggalkan dunia yang fana ini.

Kadang-kadang kita rasa kurang percaya mengapa ia terjadi begitu lekas dan cepat. Lebih pilu, tanpa tanda dan alamat.
Aku masih ingat, jiran rumahku menegur tatkala aku baru pulang dari Geneva, Switzerland pada Mac lalu. Teksi lapangan terbang itu berhenti terlajak di depan rumahnya. Kemudian aku menegur meminta drebar mengundur. Aku turun dari kenderaan dan terhegeh sedikit terkial mengeluarkan bagasi berat dari buntut teksi. Selepas membayar, teksi itu pun berlalu, dan tampak jelas tampang jiranku melambai, dari kejauhan dia bertanya; ‘Pulang dari mana?’

Aku senyum dan dengan gembira memberitahu, ‘Dari Geneva. Ada persidangan.’ Dia mengangguk, melempar senyum dan mendorong anaknya yang sedikit tersangkak supaya segera bergerak masuk ke rumah. Petangnya sekali lagi kami bersapaan. Dia senang sekali mendengar kisah-kisah aku bergelumang dalam hak asasi. Kadang dia bertanya tetapi tidak sampai menerjah kerana ternyata dia tertarik.

Malamnya, tiba-tiba pula jiran sebelah menelefon memberitahu yang jiranku itu koma, darah tinggi dan sudah di wad. Aku berazam untuk mengunjungi. Ziarah dan melawat. Tetapi aku menangguh dua hari kerana urusan pejabat yang terbeban setelah pulang dari jauh. Tibatiba pula ada panggilan telefon di awal pagi, Hafiz jiran sebelahku menyatakan, ‘Iskandar kita sudah pergi’.

Terasa ngilu. Ada rasa syahdu dan menghiris yang berdarah sekali dalam hati. Ada rasa kesal yang berpanjangan. Tahu-tahu aku sudah berada di surau membacakan Yaasin dan tahlil untuk arwah. Tahu-tahu aku sudah menatap wajah gemulah, dan berasa hiba melihat isterinya menangis, dan anak-anaknya yang kelihatan masih canggung dan duduk dalam cengang dikerumuni ramai orang. Kemudian aku mengetahui Allahyarham adalah seorang lelaki yang menganut Islam lebih sedekad lalu. Makin ada pedih melanda kerana setelah dia pergi baru aku rasa sempat bertaaruf. Duhai, terlalu banyak kematian berbanding kehidupan. Tahun ini adalah tahun rawan untuk kita semua. Dua kali nusa kita dilanda musibah. Seolah-olah tidak ada daya untuk merakamkan seluruh kesedihan, kedukaan dan kegugupan. Ya, aku bercakap tentang jatuhnya pesawat MH17 di Ukraine. Untuk sebuah nusa yang masih belum kebah dilanda sakitnya kehilangan pesawat MH370,

kejadian di Ukraine itu adalah di luar kata-kata untuk diungkapkan. Pada hari MH17 itu meletup di angkasa dan segala isinya gugur dari udara, aku tiba-tiba menyedari betapa tragedi tersebut sangat berhubungan. Mungkin saja aku tidak mengenal seluruh anak-anak kapal dan penumpang pesawat MH17 secara langsung. Perlahan-lahan aku sedari, ada ibu di dalam pesawat itu yang anaknya adalah murid al-Quran kepada temanku; ada pula seorang pelajar yang bersemangat dengan ilmu dan siap membawa sama hadiah untuk anggota keluarga pernah berbual denganku di kampus. Kemudian, aku mendapat tahu sudaraku mengahwini seorang keluarga rapat seorang nenek yang entusias dengan dunia tarinya. Dia dari Amsterdam menghala ke Jawa untuk menyambut Hari Raya. Seolah-olah dunia berhenti. Atau kita terencat oleh kelakuan sendiri? Laku manusia yang hodoh manusiawi.

Mengapa hari-hari rancu, rusuh, kacau dan gelap ini berkunjung secara tiba-tiba? Kemudian aku merenung, dan nama-nama krew kabin pesawat MH17 yang bertugas mewakili Malaysia di udara itu menyebabkan rasa terkilan berdongkol dalam dada semakin agam.

Mereka, staf pesawat itu akan diingati. Mereka membawa nama baik Malaysia di hadapan dunia, mereka adalah anak-anak nusa pelbagai warna, ras dan keyakinan. Terdapat Melayu, India, Tionghua, Sikh dan mencakupi pelbagai lapis umur. Kemudian aku tersentak. Mungkinkah kita hari ini menjadi Malaysia yang lebih mengerti. Hari ini kita tekad memilih supaya Malaysia berhenti untuk berperibadi rendah, meninggalkan tengkar dan balah dan melakukan apa yang krew MH17 lakukan walau sekejap iaitu; gigih, tabah, dialog, ramah dan tersenyum. Berdayakah kita melakukannya?
Jika kita menoleh sekeliling, kita akan mendapati bahawa kita selalu sahaja menempa sengketa. Jarang kita memilih untuk bermanja, berdamai dan mengenal. Aku hanya mengenali arwah Iskandar setelah dia tiada.

Kesibukan menghambat kita semua. Hari ini, walau sudah banyak bulan dia pergi, aku masih mempunyai rasa yang amat berat itu, rasa yang sukar dinyatakan tatkala melihat anak-anaknya bermain di taman permainan. Mengapa manusia mengkhianati manusia lainnya? Apakah sifat kebinatangan dalam diri kita kian menraksaksa sehingga terlalu menguasai? Lihat sahaja wilayah-wilayah bergolak di dunia; membaca berita dan menatap gambar dari hulu sebelah sana sangat menyengit dan menyengat nyali serta rasa.
Dunia hari ini dilanda peperangan. Siapakah melakukan kerosakan dan menumpahkan darah sesama sendiri di muka bumi? Tentu sahaja manusia sesama manusia. Para malaikat pernah mempersoalkan kewujudan kita. Saat kecil kita hanya mengenal kecintaan, tatkala kita membesar kita mempelajari nilai kebencian, penindasan, dan prasangka. Kita tahu ini harus berakhir sekarang. Dalam skala kecil, kita boleh menghindar permusuhan sesama rakan. Kita tak perlu membesar hal yang ternyata kecil. Kita harus lebih banyak tenang dan bersabar, daripada menggasak dan baran tidak tentu fasal.

Tragedi demi tragedi di dunia sewajarnya menjadi refleksi buat kita. Inilah trend seharusnya. Inilah trend yang harus ‘in’ dan kita pupuk bersama. Kita sebarkan cinta dan bersama membasmi kejahatan manusia lain. Inilah fesyen yang harus menjadi busana kita. Celana kita harusnya kebaikan. Kemeja kita harusnya kebajikan. Gaun kita harusnya kecelikan. Hijab kita harusnya keterbukaan, bukan ketertutupan. Marilah kita tekad untuk memberitahu dunia, fesyen hari ini yang harus diwariskan buat anak-anak adalah fesyen paling tradisional, gaya hidup yang paling bernilai iaitu – berhenti melakukan penganiayaan dan bertegas dengan kasih sayang. Kita perlu lebih ramah, mensifar balah; kita mesti berkasih jangan menyisih. Saat ada yang berasa di penjuru dan tidak dinilai dengan saksama, akan ada yang melawan dan bangkit melakukan di luar duga.

Terlalu banyak titik hitam di dunia. Dalam dunia seni lukis, hitam bukanlah warna. Ia adalah; kegelapan. Tidakkah pelangi lebih indah? Memilih warna-warni bererti kita memilih untuk menerima kepelbagaian, diversiti, dan menolak segala ketunggalan dan keseragaman. Bukankah itu kekuatan kita selama ini, di nusa bertuah ini? Ayuh, tatkala bulan yang menuntut semangat patriotik dan kebangsaan daripada kita, sudah tiba masanya mengesan manis bersama, bukan pahit kelat yang dicari. Aku merasakan, sudah waktu untuk kita menjadikan hari ini juga titik permulaan supaya kita lebih mendengar antara satu sama lain;

maksudku mendengar dan memahami. Bukan sahaja sekadar mendengar untuk menjawab. Sudah kalanya kita menjadi ramah dan bukan balah; kita wajar berkasih bukan bersisih. Kita mesti melihat jiran, teman sekerja, saudara, ahli famili malah orang di jalanan sebagai manusia, insan yang mesti dikasih. Kita tidak tahu bila saatnya kita perlu menulis belasungkawa, atau tergagap melafaz takziah kepada orang dekat. Itu akan menjadikan keadaan sukar. Saat sudah terlambat. Sayang sekali.

Mampukah kita menukar?

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik: