May 07, 2017 - 649

Ini yang Adik THAQIF Cuba Beritahu Namun Sayang, Kita Tidak Mendengarnya

Pemergian adik Thaqif ke rahmatullah dalam situasi menyayat hati, adalah satu peringatan dan pengajaran untuk kita. Terpulang — sama ada kita mahu menyematnya dalam fikir dan hati, atau membiarkan ia lupus bersama masa yang takkan berputar kembali.

 

 

Oleh: Rosie Haslinda Nasir 

 

 

 

 

 

 

 

BERPULANG menujui Putrajaya pada hari yang direnyai hujan, fikiran saya yang baru bebas dari kamar pejabat tiba-tiba bergetar kembali apabila ruang udara BFM 89.9 yang berlegar di dalam kereta, berkocah dengan begitu banyak panggilan telefon pendengar. Isunya sangat hangat. Saya pasti anda tentu masih teringat-ingat akan kes Adik Mohamad Thaqif Mohd Gaddafi, pelajar tahfiz yang telah kembali menemui pencipta-Nya, dalam keadaan yang amat menyayat hati. 

 

Salah seorang pemanggil menceritakan, bagaimana dia telah ditarik keluar dan diselamatkan daripada kemurungan melampau sepanjang pengajiannya di sekolah tahfiz. “Saya tak dapat membayangkan apa akan terjadi jika saya masih berada di situ,” katanya, “Tidak mustahil, saya akan ditimpa nasib sama seperti Adik Thaqif.”

 

Betapa setelah dia diangkat ke dakapan Ilahi, Adik Thaqif diberikan kemuliaan dunia yang sangat luar biasa. Manusia tanpa mengira ras, bangsa dan agama,  dari seluruh pelusuk negara,  berlapang hati mengirimkan kasih sayang bukan kepalang dalam berbagai-bagai bentuk doa dan tafakur. Pusaranya diharumi putik-putik kemboja putih, disejukkan dengan rampaian Surah Yaasin, diziarahi manusia berbilang darjat dan pangkat. Marhaen dan kelas pertengahan datang merenungi dan menangisi kematiannya. Insan aristokrat mencemar duli ingin menyaksi kubur seorang syuhada kecil yang telah terkorban kerana suaranya yang tidak didengari.  

 

Persoalannya di sini, apakah kes Adik Thaqif akan menjadi kes yang terakhir seumpamanya? Apakah mungkin selepas ini, beberapa bulan atau tahun selepas ini, kita akan sekali lagi melompat dari sofa empuk dan terhenyak kembali kerana terperanjat dengan satu, dua, atau lebih banyak kes penderaan akibat sifat kehaiwanan manusia?

 

Pada hari Jumaat yang mulia, kedua-dua belah kaki AdikThaqif terpaksa dikudungkan akibat jangkitan kuman dan darah beku. Apakah kita akan terus menunggu untuk berlaku satu lagi peristiwa berdarah anak-anak yang dianiaya oleh pihak yang telah diamanahkan untuk menjaga kebajikannya?

 

 

 

 

 

 

 

Ibu Bapa Perlu Mendengar Janji Ikhlas Anaknya 

Salah seorang pemanggil BFM 89.9 petang itu, yang telah membuat saya tercenung sambil memandu, adalah seorang wanita Cina. Katanya, “Saya dan suami telah memutuskan untuk menghantar anak lelaki kami belajar di United Kingdom, kerana kami mampu, dan kami mahukan pendidikan yang terbaik buatnya,” ujarnya, menyambung, “Dan apabila saya memberitakan keputusan muktamad itu kepada anak lelaki kami, dia terdiam buat beberapa ketika.”

 

Tahukah anda, apakah yang telah dijawab oleh budak lelaki yang baru berusia 11 (atau 12) itu? “Baiklah, kalau itu keputusan mama. Tapi apabila saya sudah besar nanti, apabila mama dan papa sudah tua, saya akan hantar mama dan papa ke rumah orang tua. Saya berjanji.”

 

Wanita Cina itu tidak menunggu lama untuk membatalkan segalanya. Anak lelaki polos itu akhirnya belajar di sebuah sekolah antarabangsa di kota Kuala Lumpur. Peristiwa konfrontasi ibu-anak itu telah berlaku 11 tahun yang lalu. Wanita itu tidak sekali-kali sesal dengan keputusannya ‘mendengar’ kata-kata anaknya. 

 

 

 

 

 

 

Apakah yang Boleh Kita Pelajari Daripada Peristiwa Pemergian Adik Thaqif Ini?

Setiap ibu bapa — saya dan anda — kita seharusnya mengajar dan melatih deria kita, agar menjadi pendengar yang lebih baik. Kita harus belajar mendengar dan membeda — yang mana keluh derita, yang mana bisik hati sengsara. Curhat hati yang menangis saban malam, tangan kecil yang menadah doa kepada Allah SWT pada hening malam yang gemersik sunyi — haruslah didengari. Surat curhat  yang berkajang-kajang hanya akan menjadi memori paling kerikil,dan nasi pasti menjadi bubur, jika saya dan anda — tidak belajar daripada peristiwa ini. 

 

Adik Thaqif, tamsil kejadian ini terlalu besar. Betapa ini satu isyarat betapa doa adik-adik kecil lain yang menangis dalam hati kerana tidak mampu bersuara, telah Allah dengari. Dia mengangkatnya bersama tidurmu yang paling rahap. 

 

AL-FATIHAH. 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.