Jun 21, 2019 - 33

Mengapa Syawal Ini Begitu Banyak Hati WANITA yang TERLUKA? — Kaum Hawa Harus Baca ini!

Isteri, ibu dan anak. Semuanya makan hati berulam jantung dek perilaku insan lain. Ditalakkan suami, dipinggirkan anak tunggal lelaki dan perilaku ibu tiri yang semakin memperlihatkan sikapnya..

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

Intrend hati wanita

Kredit foto: Google 

 

 

SELAYAKNYA Syawal, bulan yang mulia lagi bermakna buat umat Islam dirai dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan keinsafan. Bersyukur kerana masih diberi kesempatan oleh-Nya dilanjutkan usia juga dikurniakan kesihatan hingga bisa menyempurnakan amalan berpuasa.

 

Bergembira kerana berjaya mengharungi ujian mengekang segala macam nafsu sepanjang Ramadan selain berkesempatan menyambut Aidilfitri bersama yang tersayang.

 

Menginsafi kekhilafan diri apabila pintu taubat terbuka seluas-luasnya dalam bulan penuh rahmat dan berkat ini untuk terus mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Itulah yang sewajarnya. Itulah yang seharusnya difikirkan lantas dilaksanakan sebaik mungkin.

 

Namun ujian Allah itu akan tetap hadir dan takkan pernah berakhir. Diberikan ujian kepada hamba-Nya yang mampu menggalas dan menghadapinya.

 

Dan bercakap mengenai ujian dan dugaan, hati ibulah yang paling rapuh juga harus bisa ampuh melaluinya. Cebisan kisah-kisah ini adalah sebahagian daripada realiti kehidupan yang berlaku dalam masyarakat kita.

 

Bisa juga terjadi kepada ahli keluarga, saudara-mara bahkan rakan taulan kita sendiri.

 

 

intrend wanita 2

Kredit foto: Google 

 

 

KISAH 1 -  LARA IBU DI PAGI RAYA

Usai pemergian suami tercinta hampir 10 tahun lalu, tiada apa yang menggembirakan hati si ibu untuk meraikan Aidilfitri bersama anak-anak, menantu-menantu dan cucu tersayang.

 

Sudahlah anak tidak ramai, hanya empat orang sahaja. Tetapi penceritaan setiap seorang daripada mereka, bagaikan 10 orang lagaknya. Daripada perihal tanah pusaka, hatinya menjeruk rasa untuk memiliki rumah yang sudah diusahakan bersama Allahyarham suami. Namun soal lain pula timbul.

 

Rajuk hatinya dibawa bersama. Mahu tinggal seorang diri di rumah usang itu tetapi anak-anak membantah. Alasan mereka juga rasional, siapa pula yang akan menjenguk andai sakit pening, makan dan pakai perlu dipikul sendirian.

 

Cuba berbalas hujah dengan anak-anak, namun kalah jua dek pujuk rayu mereka. Lantas tinggallah si ibu di rumah anak sulungnya (Kak Long). Mujur dan syukur kerana menantu sulung amat memahami dan mengambil berat perihalnya.

 

Tidak pernah berkira jauh sekali terasa hati. Kedatangan ibu mertua disambut dengan tangan terbuka. Itu perihal anak sulung.

 

Anak kedua (Kak Ngah) pula tidak banyak menimbulkan isu dalam keluarga. Begitu juga dengan anak ketiga (Kak Lang). Walau bernikah dengan duda, makan dan pakai anak-anaknya tetap terjaga.

 

Mungkin ada satu dua perkara yang menjadi pertikaian. Tetapi biasalah, itu adat hidup berumahtangga. Hinggalah perihal anak bongsu yang juga anak lelaki tunggal dalam keluarga.

 

Kira-kira dua tahun bernikah bersama suri hati pilihannya, sedikit demi sedikit menampakkan perubahan. Banyak melebihkan si isteri, dalam diam si si ibu memendam rasa. Perlahan-lahan dia memujuk hati, yalah baru berkahwin.

 

Belum mampu mengimbangi sebaiknya. Jauh di sudut hati ibu, mula terdetik. Acap kali si menantu datang bersua meluangkan masa, tidak betah untuk berlama-lama. Jika dahulu boleh bermalam, tetapi kini tidak lagi.

 

Dan perihal perubahan anak lelaki tunggal ini turut menjadi bahan perbualan sesama mereka adik-beradik.

 

Kak Long mahu ‘one-to-one’ kerana emak mereka mula jauh hati dengan perilaku si anak bongsu. “Terlalu ikutkan sangat kata bini. Memanglah bini dia anak sulung; habis aku ni pun anak sulung juga.

 

Boleh saja berbagi kasih sayang dan perhatian ipar duai yang menderu-deru datang ke rumah,” ujar Kak Long meluah rasa yang terpendam. Kak Ngah juga memahami kerana mengikut perkiraannya, hanya minggu terakhir Ramadan sahaja mereka sekeluarga berkumpul berbuka puasa di rumah Kak Long.

 

Bukan soal jarak yang menjadi ukuran kerana masing-masing tinggal berhampiran.

 

Dan pagi Raya itu, usai bersalam-salaman memohon kemaafan sesama mereka, si ibu pun bersuara. “Adik tak berayapun lagi dengan Mak,” tuturnya singkat. Kak Long, Kak Ngah dan Kak Lang masing-masing memainkan peranan.

 

Merangkul erat tubuh si ibu seeratnya. Mengusap perlahan meredakan kesedihan yang selama ini lama terpendam. “Jangan sampai keluar yang tak elok dari mulut Mak.

 

Selama ini Mak doakan yang baik-baik untuk semua anak-menantu-cucu Mak. Tapi kalau dah yang bongsu buat macam ni… Mak terima sajalah. Tapi jangan sampai dia menyesal nanti sudahlah,” teresak-esak mereka menangis mendengarkan kata-kata si ibu.

 

“Sudah-sudahlah Mak. Tak perlu fikirkan sangat. Kalau dia datang tahulah apa Kak Long nak buat,” ujar Kak Long.

 

Wahai si anak, waima kamu sudah berkeluarga sekaipun tanggungjawab kepada kedua ibu bapa tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut.

 

Dalam Hadis Bukhari, seorang lelaki pernah datang berjumpa dan bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W maksudnya,  “Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?” Jawab Baginda “Ibu kamu” “Selepas itu?” “Ibu kamu” “Selepas itu?” “Ibu kamu” Kali keempat lelaki itu bertanya, “Selepas itu?” Jawab Nabi “Ayah kamu”.

 

Inilah darjat figura bergelar ibu. Betapa tingginya martabat ibu dari perspektif Islam. Walau sejauh mana seseorang itu pergi, berjayanya dia kerana berkat doa daripada ibu.

 

Ambilllah kesempatan ini untuk perbaiki dan muhasabah diri. Selagi dikurniakan kudrat, diberikan masa dan kesihatan genggam erat jari jemarinya memohon restu dan kemaafan sebelum dia dijemput-Nya.

 

 

 

Intrend hati 3

Kredit foto: Google 

 

 

 

KISAH 2 - GUGUR TALAK SYAWAL KETIGA

Hampir enam bulan rupanya si suami memendam rasa. Cuba menyembunyikan fiilnya yang bermain kayu tiga. Dan si suami durjana ini juga sudah punya anak, tiga orang yang masih kecil semuanya.

 

Segalanya berlaku gara-gara bekas teman wanita yang sudahpun berkahwin dan mempunya cahaya mata. Mengadu dan mencurah rasa, meluahkan isi hati mengenai perihal rumah tangga sendiri dengan bekas teman lelaki yang juga berstatus suami orang nyata membawa bahana dalam rumah tangga.

 

Bukan sahaja ia perihal yang tidak sihat tetapi bercerita kepada orang yang salah pincanglah segala-galanya. Bermula dengan luahan rasa lantas secara tidak langsung menggamit memori lama hanya menambahkan luka.

 

Bagi mereka mungkin sesuatu yang manis lagi indah tetapi hati isteri mana yang bisa menerima semua ini dengan penuh redha? 

 

Lebih menambah luka, si isteri juga sudah mengenali orang ketiga sementelahan mereka dan rakan-rakan lain mulai rapat. Apabila si isteri dapat menghidu sesuatu yang tidak kena, maka bermulalah segala drama.

 

Mulalah timbul isu isteri tidak pandai melayan suami, kasar dalam tutur kata, tidak menghormati mertua dan bermacam-macam alasan berbangkit yang sengaja dijadikan isu demi menyalahkan si isteri.

 

Bermuram durjalah si isteri. Makan hati hingga tubuh cengkung, kurus melidi.

 

Pelbagai usaha dan cara dilakukan si isteri untuk menyelamatkan bahtera yang semakin hari semakin condong hala tujunya. Namun si suami masih berdegil. Tetap dan nekad mengikut firasat hati dan perasaan yang membelenggu diri.

 

Tidak mahu lagi menduakan cinta, membohongi diri sendiri katanya. Kena ‘mandrem’? Barangkali tetapi tidak pula si isteri menyiasat sejauh itu. Cukuplah sudah bersemuka, bertemu empat mata dengan orang ketiga yang meretakkan rumah tangga mereka.

 

Meluahkan isi hati yang terpendam. Namun demikian, keutuhan cinta silam mereka lebih kuat daripada lafaz ijab dan kabul yang sudah memasuki enam tahun lamanya. Luka di hati isteri tidak mampu ditanggung lagi.

 

Cuba bertahan memandangkan masih dalam suasana beraya. Cekal dan sabar seolah-olah tiada apa yang berlaku. Masih mampu lagi mengukir senyum kala berfoto raya bersama keluarga mertua.

 

Walhal luka di hati, remuk-redam rasanya, jiwa dan raganya bagaikan ditoreh-toreh, disiat-siat satu persatu. Di dalam benaknya hanya memikirkan tiga cahaya mata yang terlalu kerdil untuk menaakul semuanya.

 

Dan tanggal Syawal ketiga yang lalu memusnahkan semuanya. Pabila si suami memilih untuk bersama yang lain. Yang masih haram baginya daripada isterinya yang halal serba-serbi.

 

Si suami nekad melafazkan kalimat yang disambut hilai tawa dan sorakan gembira syaitan durjana. Dan yang tinggal kini hanyalah saat untuk memaktubkan segala.

 

Tuntutan nafkah bekas isteri, nafkah anak-anak, hak penjagaan, harta sepencarian dan pelbagai perihal berkait dengan hukum syarak.

 

Mungkin si suami bisa menarik nafas lega. Langkah kaki tidak lagi tersangkut dek soalan bertubi-tubi si isteri ke mana perginya hingga lewat malam atau mengapa kerap kali outstation.

 

Namun wahai suami, beringatlah dan takutlah kamu akan kifarah daripada Allah. Bahawasanya setiap perlakuan baik dan buruk seseorang itu, pasti akan mendapat balasan.

 

Hukuman, pembalasan dan azab Allah itu akan tiba dari jalan yang tidak disangka-sangka, maha dahsyat. Keseronokan, kenikmatan yang singkat itu akan luput dek masa dan hawa nafsu.

 

Kembalilah ke jalan Allah. Sedarlah…bangkitlah dari ‘lena’mu. Usah hanyut dibuai asmaradana yang membutakan mata, menulikan telinga dan membisukan semua deria.

 

Pandanglah dan renunglah sedalamnya kepada tiga pasang mata kecil yang mahukan kedua ibu ayahnya. Bertaubatlah sebelum ajal menjemputmu.

 

 

Intrend hati 5

Kredit foto: Google

 

 

 

KISAH 3 – ALAHAI SI IBU TIRI

40 hari selepas kematian isteri, si ayah mengambil keputusan untuk bernikah buat kali kedua. Dek kerana punya masalah penglihatan, ia banyak membataskan pergerakan dan menghalang si ayah.

 

Pendek kata, kala berjalan memerlukan seseorang untuk memimpin tangannya. Tidak mahu menyusahkan anak-anak, itu alasan mutlak mengapa si ayah memilih untuk berkahwin walaupun usia melebihi separuh abad.

 

Anak-anak pula masing-masing sudah punya keluarga sendiri. Mulanya anak-anak membantah kerana menyifatkan masih mampu menjaga makan dan pakai si ayah sementelahan jarak rumah si ayah dan anak hanya sepelaung sahaja.

 

Namun si ayah masih berkeras. Sunyi katanya tinggal di rumah seorang diri. Dipelawa anak sulung untuk tinggal bersama memandangkan rumahnya paling hampir namun ditolak si ayah.

 

Tidak mahu bertegang urat, diikuti jua kehendak si ayah yang mahu memperisterikan ibu tunggal yang berusia sekitar 60-an. Usai Aidiladha tahun lalu terpatrilah ikatan sehidup semati, lafaz ijab dan kabul mereka.

 

Ya, perkahwinan pasangan warga emas bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kita. Sudah menjadi kebiasaan. Dan menjadi kebiasaan juga status ibu tiri dipandang serong walau tidak semua ibu tiri berhaluan kiri.

 

Minggu berganti minggu, bulan beralih bulan semakin menampakkan susuk sebenar tingkah si ibu tiri. Jika awal perkahwinan dahulu berjalan berpimpin tangan (sementelahan suaminya punya masalah penglihatan) tetapi kini tidak lagi.

 

Makan pakai suami juga asal boleh saja dilakukan. Cincai, senang cerita. Hinggalah membawa kepada beberapa insiden. Salah satu yang paling terkesan apabila si anak sulung membeli kuih keria, yang juga salah satu kuih kegemaran si ayah buat juadah berbuka.

 

Di hantar ke rumah si ayah dan ketika itu si ibu tiri tiada di rumah.

 

Sepanjang Ramadan, mereka memilih berbuka puasa di masjid bagi memudahkan menunaikan solat sunat tarawih setelah itu. Dan usai pulang ke rumah, si ayah teruja mahu menjamah seketul dua kuih keria yang di hantar anak sulung petang tadi.

 

Namun kata si ibu tiri, kuih tersebut sudah basi lantas dibuangnya. Remuk-redam hati si anak apabila si ayah menelefon memberitahu kuih itu dibuang ibu tiri dek kerana basi.

 

Walhal, kuih itu bukanlah sejenis kuih yang mudah basi.

 

Antara insiden lain, si ibu tiri enggan mengikut suaminya beraya ke rumah sanak saudara atas alasan kurang sihat. Sedangkan beberapa jam sebelumnya ligat ke sana sini, beraya ke rumah jiran tetangga.

 

Mukanya masam mencuka kala anak-anak dan menantu serta cucu tiba di rumahnya mahu menjemput ayah mereka. Dan oleh kerana sudah lama memendam rasa, anak-anak seakan ‘tak kuasa’ mahu memujuk ibu tiri mereka.

 

Malah lebih membangkitkan kemarahan apabila anak-anak mendapat tahu si ibu tiri pernah menyuarakan kebimbangannya andai ditakdirkan suaminya dijemput Ilahi terlebih dahulu.

 

“Macam mana hak saya kalau abang tiada nanti? Mana saya nak duduk? Bila kita nak ke Amanah Raya? Abang ada letak nama saya ke dalam wasiat?” soal si isteri. Lantas jawab si suami, “Cubalah percaya dan bersangka baik dengan Allah.

 

Kalau ‘abang’ pergi dulu, Yah tawakal saja dengan Allah. Kalau anak-anak abang tak boleh tolong, berserah saja kepada Allah. Kalau susah sangat duduk aje di rumah orang-orang tua.

 

Abang tak terfikir pun nak letak nama Yah dalam surat wasiat lagi. Habis selama ini Yah kahwin dengan abang sebab apa?” lebih kurang begitulah butirnya.

 

Betapa hati manusia ini berbolak-balik, berubah-ubah. Niat mengahwini seseorang harus diperbetulkan sedari awal. Bukan berpaksikan kepada harta benda dan apa jua yang bersifat fizikal semata-mata.

 

Hidup ini terlalu singkat untuk diisi dengan perihal yang memeningkan kepala, merumitkan keadaan, merosakkan hubungan dan banyak lagi. Insafi kelemahan dan kekurangan diri, cuba perbaiki dan tingkatkan amal ibadat buat bekalan di alam sana.       

 

 

Intrend hati 6

                  Kredit foto: Google

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.