May 29, 2018 - 3544

Budak Sekarang Tiada Adab, Datang Rumah Orang BUAT ONAR — Emak Bapak Senyum Aje, Allah!

Ya, kalaulah kita punya keberanian untuk cuit bahu anak itu dan bertanya, “Adab mana, adab?” Agak-agaknya, meloncat tak emak bapaknya?

 

Teks: Miss Cherry 

 

 

Sumber foto: Instagram @_chefwan58

 

 

 

BAGAIMANA sambutan lebaran kalian pada tahun lalu? Ada yang menangis hujung bucu katil kerana berat badan naik berganda. Sayang sungguh, ketika Ramadan berat badan turun lima kilo, akhirnya di hujung Syawal naik ‘qada’ tujuh kilo. 

 

 

Tak kurang juga merana jiwa apabila jerawat naik satu muka dek makan tak berpantang. Kuah kacang, makanan bersantan, bergoreng, berminyak habis dibedal, sampai kulit muka menjadi mangsa. Tidak mengapalah, raya kan setahun hanya sekali. Waktu-waktu tidak beraya itu, bolehlah diluangkan untuk menjaga kembali kulit wajah dan badanmu. Ermmm…. Kesimpulannya, beringatlah ya.

 

Untuk yang berjaya mengawal segala ‘nasfu serakah’ itu, tahniah Miss Cherry ucapkan. Dan, yang lebih pentingnya lagi sekalung tahniah yang lebih besar Miss Cherry ingin berikan kepada mereka yang berjaya beraya dengan ‘sesuci di hening subuh sunyi’. Hahaha…

 

 

 

Bila Chef Wan Belasah Ibu Bapa Malaysia di Media Sosial

Apalah maksud Miss Cherry ini? Bukan apa, antara banyak-banyak isu yang terpapar sepanjang Syawal tahun lalu, Miss Cherry tertarik dengan status yang dimuat naik oleh Chef Wan tentang adab masyarakat kita apabila beraya ke rumah orang. 

 

 

Majoriti netizen menyokong pendapat Chef berkenaan yang menyelar perilaku tetamu yang tidak pandai bawa diri apabila bertandang ke rumah orang. Anak-anak dibiar mengotorkan sofa, berlarian macam disampuk langsuir, makanan diambil tidak dimakan dan pelbagai lagi yang dilontarkan Chef Wan secara jujur. 

 

 

Pada pengamatan Miss Cherry, kenyataan itu ada baiknya yang perlu diambil. Kalau mungkin agak ‘ekstrem’ untuk budaya kita, tidak mengapa kita abaikan saja. Yang penting, kita perlu tahu membawa diri sebagai tetamu yang bertamu. Bukan tetamu yang buat tuan rumah jemu! 

 

 

 

 

Betul Tetamu Bawa Berkat, Tapi Kalau Datang Rumah Orang Bawa Bencana, Apa Cerita?

Ada yang kata tetamu kan pembawa berkat ke dalam rumah. Seharusnya dilayan dan dimuliakan sebaik mungkin. Benar. Tetapi, tuan rumah juga manusia biasa, ada laras sabarnya. Dan, Islam pun ada menggariskan panduan kita sebagai tetamu. Apa yang patut dan tidak untuk seorang tetamu dalam bertandang ke rumah orang. Bagi Miss Cherry sendiri, untuk membentuk generasi masa depan yang baik dan bertamadun, ia perlu dimulakan dari rumah sendiri dan rumah orang. 

 

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk membentuk adab anak-anak. Bukan guru atau rakan-rakan mereka. Bukan! Ketika mereka kecil, pengaruh hidup mereka 100 peratus bergantung kepada apa yang ditunjuk dan diasuh oleh kedua-dua ibu bapa. Mungkin… mungkin mereka akan berubah apabila sudah dewasa dan bercampur dengan orang luar tetapi apa pun yang berlaku pada masa mendatang, bukan lagi kuasa kita sebagai penjaga. 

 

Yang penting, ketika masih di bawah payung jagaan kita sebagai ibu bapa, kita sudah berjaya melunaskan didikan yang terbaik untuk mereka yang belum dipengaruhi oleh apa-apa atau siapa-siapa. 

 

Budak Sekarang Pelik dan Berani Lain Macam

Kadang-kadang Miss Cherry naik takut dengan keberanian melampau budak sekarang yang ada kala di luar jangkauan akal. Ada budak sekolah sudah berani merokok di kawasan awam (mungkin sudah berlaku bertahun-tahun dulu juga), ada yang berani pukul cikgu, lawan mak bapa, menjadi samseng sesama rakan sebaya, dan pelbagai lagilah yang kalau kita dulu pada usia mereka nak angkat muka bercakap dengan orang tua pun tidak mampu!

 

Bezanya juga beraya cara anak sekarang, sudah berani minta sendiri duit raya kepada tuan rumah. Memberi komen makanan yang dihidangkan tidak enak. Kerusi yang diduduk tidak empuk. 

 

Ada juga anak-anak yang berani menukar channel televisyen yang sudah dipasang tuan rumah. Lebih havoc lagi, yang masuk ke bilik tuan rumah tanpa izin terus melompat ke katil. Aduhai…Dan ibu bapa terus duduk makan minum gelak tawa tanpa rasa bersalah. Tidak ditegur anaknya mahupun memohon maaf kepada tuan rumah. Malah, boleh senyum tengok gelagat anak yang dirasakan ‘lucu’ dan ‘comel’. 

 

 

Sumber foto: Instagram @_chefwan58

 

 

Memang Mulut Berlapik dan Bermanis, Tapi Hakikatnya…

Mak dan ayah, percayalah tiada seorang pun tuan rumah yang sukakan situasi itu walaupun di mulutnya berkata, “Eh tak apalah, budak-budak…” 

 

Sekiranya, sebagai mak dan ayah tidak mampu mengawal situasi itu, bagi Miss Cherry ada baiknya bangun dan minta diri sahaja. Ingatlah, kita juga sebagai tetamu perlu ada limitasi untuk duduk berlama-lama di rumah orang. 

 

Ajarlah anak adab bertamu. Daripada mula masuk, meletakkan kasut dengan betul, sehinggalah bersalaman dengan tuan rumah, duduk baik-baik, tunggu dijemput makan dan akhiri dengan ucapan terima kasih. Maka, tidak perlu si polan nanti berbisik… “Adab mana adab?”

 

“Human behavior flows from

three main sources;

desire, emotion and knowledge.”

— Plato  

    

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.