May 11, 2017 - 494

Janganlah Kita Syaitankan Orang Lain — Yang Jahat MUNGKIN Bertaubat, Nasib Kita Tak Tentu Lagi!

Semuanya sudah tertulis di Luh Mahfuz. Kita hanya perlu hubungi 24434 untuk memohon pertolongan-Nya. Tidak perlu lemparan cerca nista, maki-hamun dan marah-marah.

 

 

Oleh: Asiah Mion 

 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com

 

 

 

KINI hati semakin kelesa hendak membuka ‘Facebook’.  Kalau tidak kerana urusan belajar, tidak kuasa untuk melayarinya. Manakan tidak, makin hari makin sarat kutukan caci niesta merajai facebook. Pantang dicuit melenting, pantang ditegur terus menembak dengan makian hamun. Kalau mengomen, tiada satu pun yang baik tentang seseorang itu.  Sehinggakan ‘nasihat’ juga berbau cerca, merendah-rendahkan orang. Ironinya, tukang-tukang komen tanpa diundang itu lebih sudu daripada kuah.

 

Pendekkan cerita, kalau hendak tengok orang perasan, Facebook ramai. Hendak tengok orang perasan bijak, Facebook ramai. Hendak tengok orang perasan baik, Facebook ramai. Hendak tengok orang perasan cantik, Facebook ramai. Hendak tengok orang perasan alim, Facebook ramai. Hendak tengok orang perasan dapat lesen masuk syurga, Facebook ramai. Hendak tengok orang serba pandai, Facebook tidak terbilang ramainya. Di Facebook semua ada, semuanya ramai, 'Mr dan Miss Know All' melimpah-ruah.

 

Sungguh menakutkan. Tersilap sikit dosa sudah tercipta di hujung jari. Namun kerana perasan tinggi melangit ramai terbuai terlupa untuk mencermin diri. Sewaktu membesar kami sering diingatkan, sebelum bercakap tengok diri sendiri sebab apabila satu telunjuk menuding ke arah orang lain, tiga jari lagi akan menuding balik ke arah diri sendiri. 

 

 

Kita kena nilai diri sendiri tiga kali ganda sebelum hendak menilai orang. Kerana kala kita menuding orang lain sebagai bodoh dan anjing, pada saat sama tiga jari akan menuding kita juga sebagai  bodoh dan anjing.

 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com

 

 

 

 

Tulislah Perkara yang Baik-baik Kalau Anda Bermain Facebook

Inilah keadilan Allah SWT.  Maka berhati-hatilah dengan jari anda tatkala menaip. Tulislah kata-kata bermanafaat untuk semua. Hentikan meng‘anjing’, mem‘bodoh’, meng‘keparat’, mem‘binatang, me‘mampus’, mem‘babi’, mem‘barua’ dan mem‘bangsat’kan orang. Kerana kata-kata itu akan terpalit di muka sendiri. 

 

Menurut Facebook, 18 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook dan lebih 81 peratus rakyat Malaysia melayari internet. Berdasarkan angka itu, Malaysia dikatakan antara pemimpin dalam dunia digital dan inovasi di Asia Tenggara, tetapi jauhilah menjadi pemimpin kepada perkara sia-sia yang memakan diri.

 

Pilihlah bahasa yang beradab. Kalau tiada kata-kata yang enak untuk didengar lebih baik diam. Jika ada yang menegur berlapang dadalah menerimanya. Janganlah marah jika ada meminta dipanggil Puan atau Kakak atau sebagainya. Kerana ia bukan sekadar gelaran, ia menunjukkan akhlak kita. 

 

Ajal maut datang tanpa mengira usia. Cuma beruntunglah mereka yang dapat hidup hingga ke usia tua. Ia suatu bonus anugerah Allah.  Dan seharusnya bonus itu kita gunakan untuk melipatgandakan pahala, mencari barakah dan mengelak menyebar fitnah dan menuai dosa. 

 

 

Siapa Kata Gelaran “Puan” Tak Boleh digunakan Kepada Wanita Bujang?

Bekas Pengarang saya, sasterawan Zaharah Nawawi pernah menegur seseorang kerana panggilan Cik dan Puan. Pesannya yang masih jelas di ingatan, panggilan Puan tidak terbatas untuk wanita berkahwin. Apabila seseorang wanita berkedudukan atau berpangkat, kita perlu memanggilnya Puan walaupun dia bujang dan masih muda.  Panggilan itu adalah tanda hormat kepada jawatannya. Dan seorang perempuan tua yang berkahwin juga harus dipanggil Puan walaupun dia tiada kedudukan. Panggilan itu adalah tanda hormat kepada usianya. 

 

Panggilan Cik lebih kepada mereka yang muda tanpa mengira sama ada bujang atau berkahwin. Oleh itu jangan marah apabila ada yang mahu dirinya dipanggil Puan. Baru-baru ini saya mendengar seorang pengurus muda mengetus, “Dia panggil aku Puan, tua sangat ke aku?” 

 

Jangan berasa hati apabila orang memanggil anda Puan meskipun masih bujang dan muda. Ia adalah sebagai tanda hormat. Beruntung anda dihormati kerana perasaan hormat orang terhadap kita tidak boleh diminta-minta. Ia datang dengan hati yang ikhlas. 

 

Rasa hormat juga tersirat di sebalik salam. Salam mempunyai ceritanya sendiri. Kalau mahu melihat di mana kedudukan kita di hati orang yang kita salam, lihatlah di mana mereka letakkan tangan selepas bersalam dengan kita. Kalau selepas bersalam mereka mencium tangan mereka, bermakna mereka cukup menghormati kita. Perbuatan ini dapat dilihat pabila bersalaman dengan  orang yang disegani seperti alim ulama. Ada membawa tangan menyapu ke kepala, ada ke hati, ada memegang lama tangan kanannya dan ada juga terus melepas jatuhkan tangan mereka ke bawah.

 

Semua ini menggambarkan tinggi rendah rasa hormat dan makna sesebuah salam. 

 

Janganlah Meng‘Awak-awakkan’ Orang Apabila Berurusan Formal, Nampak Sangat Kurang Adab

Suatu ketika dahulu heboh berita tingkah seorang artis mengawakkan sasterawan tua dari negara jiran. Bahasa melambangkan bangsa. Kami dahulu tidak membahasakan ‘awak’ terhadap orang yang tidak dikenali. Kosa kata awak hanya untuk kenalan rapat. Apabila bercakap berbual dengan seseorang, sama ada di depan mata, melalui telefon atau di laman maya panggilan awak kurang beradab. Penggunaan bahasa menunjukkan tinggi rendah adab dan akhlak kita. Sama ada seseorang itu pelanggan atau kenalan baru, mereka tidak layak diawakkan. 

 

Teringat rakan sekerja lama Hanafiah Samad, pabila ada orang datang bertanya, kalau sedang duduk bingkas dia bangun dan melayani orang itu sebagai Saudara. “Saudara hendak berjumpa siapa?   Kadang kala dia ber‘anda’. Ketika bercakap matanya memandang tepat pada wajah yang bertanya. 

 

Hari ini kosa kata saudara dan anda jarang diguna pakai. Orang sekarang atau lebih tepat generasi muda hari ini, lebih suka ber ‘aku-kau’. Ada kala penggunaan aku dan kau tidak sesuai pada tempatnya apatah lagi ketika bersiaran menemu bual tetamu di studio. 

 

Benar gelaran dan panggilan tidak membawa mati tetapi ia menunjukkan akhlak kita – sikap menghormati orang. Sama ada gelaran kurniaan atau gelaran profesional seperti Dr. dan Profesor, tiada salahnya kalau empunya diri minta dipanggil mengikut selayaknya. 

 

Tidak timbul soal gila gelaran atau pandang pangkat. Kalau berurusan rasmi cuba elakkan panggilan Pak Cik dan Mak Cik, gantikan dengan Encik dan Puan. Lebih manis dan tampak profesional. Hanya mereka yang rendah ilmunya akan beraku, berawak dan berengkau. 

 

Hari ini semakin banyak saya lihat anak kecil bercakap aku-kau dengan ibu dan ayah. Adakah kita sudah terlalu miskin bahasa dan panggilan sehingga anak kecil dibenarkan beraku kau dengan ibu ayah dan cikgu. Tidakkah panggilan Along, Angah, Uda, Andak, Alang, Acik, Busu dan saya itu lebih beradab dan sedap didengar daripada kita membiarkan anak-anak beraku kau dengan diri kita yang berpangkat ibu/ayah?

 

Perbetulkanlah dari sekarang sebelum termalu sendiri di kemudian hari.

 

 

Betulkah Orang Timur Penuh dengan Sopan Santun? Macam Palsu Je?

Sudah-sudahlah menjaja “kita orang Timur penuh sopan santun”, “kita umat Islam ada tata susila” padahal komunikasi sesama manusia rendah. Hari ini, daripada atas sampai ke bawah tanpa mengira latar belakang dan taraf pendidikan bahasa-bahasa kasar dan kesat sudah menguasai mulut mencemari tutur kata kita. Masyarakat sekarang seolah-olah sudah hilang peradaban bahasa dan iman dalam komunikasi, mereka bagaikan hilang pedoman dalam ghairah menyuarakan pandangan dan pendapat. 

 

“Sebenarnya orang Malaysia mengalami kejutan permodenan. Negara anda membangun terlalu cepat walhal rakyat belum bersedia, menyebabkan pembangunan sahsiah diri tertinggal jauh terkebelakang.” 

 

Apabila pembangunan negara dan diri tidak selari akhlak menjadi korban kemajuan. Lantas mencipta jurang yang menjunamkan nilai insaniah, menjadikan apa kita sekarang; jati diri lemah, budi bahasa melonggar, semangat kemasyarakatan menghilang lalu membentuk sikap individualistik, materialistik, kurang etika dan semangat patriotik menipis. 

 

Kesudahannya kita menutup kekurangan diri dengan berlagak superior. Menyalahkan orang lain dan menganggap diri sentiasa betul. Kuman di seberang laut nampak, gajah di bibit mata tak nampak. Pantang cabaran datang menguji, asyik merintih berkeluh kesah tewas dalam tekanan hidup. Cepat menyalahkan apa saja yang yang berlaku sekeliling kita – kerajaan, GST, sekolah, guru, majikan, masyarakat tanpa mahu berfikir sejenak apa sumbangan kita sehingga keadaan hidup semakin sukar. Berhentilah menzalimi diri sendiri!

 

“Statement bodoh, siapa hendak menzalimi diri sendiri.” Ramai menepis marah pandangan ini. Tidakkah Allah SWT menyuruh kita meminta kepada-Nya. Allah SWT menyediakan telefon hayat 24432, lima kali sehari untuk kita berkomunikasi dengan-Nya, menyatakan kesusahan kita dan meluahkan hasrat hati. 

 

 

‘Telefonlah’ Allah SWT Apabila Anda ditimpa Masalah dan Musibah

Suarakanlah rasa suka, marah, benci kamu dengan mengadu kepada-Nya. Mengapa kita perlu melepaskan rasa di saluran lain padahal Allah SWT adalah sebaik-baik perancang?

 

Orang yang berilmu berasa kerdil dengan nikmat Allah SWT, bersyukur minta diredai, diberkati dan dilimpahkan rahmat kerana hidayah milik Allah SWT. Kalau kita faham perencanaan Allah SWT kita akan lebih berlapang dada kerana orang yang kita benci menyampah meluat, yang kita bangsatkan dan laknati itu juga adalah ciptaan-Nya. 

 

Semua perkara yang berlaku dan akan berlaku sudah ditulis ketetapannya di Luh Mahfuz. Semuanya bersebab dan ada iktibar. Yang Allah SWT hendak lihat adalah hati kita, usaha kita, iman kita, tawakal kita dan kesabaran kita.

 

Justeru lihat kembali pada diri kita. Dikatakan 80 peratus umat Islam di Malaysia tidak bersolat. Walhal solat itu adalah peluang bercakap dengan Allah, waktu kita mengadu dengan Allah dan itulah juga waktu kita meminta kepada Allah SWT. Kalau kita tidak pernah menemui Allah, bagaimana Allah SWT hendak mengenali diri kita? Kalau kita tidak mengadu dengan Allah bagaimana Allah hendak meringankan hidup kita? Kalau kita tidak meminta dengan Allah bagaimana Allah hendak memberi kepada kita? Sebab segala-galanya datang daripada Allah. 

 

Kami pernah berjiran dengan sekeluarga perompak dari Utara. Jika dia melalui kawasan rumah kami dan nampak arwah bapa, dia pasti akan menyapa arwah bapa dan kadang kala mencangkung menghadap bapa saya yang sedang buat kerja. Walaupun jahatnya merompak tetapi masih wujud lagi rasa menghormati orang. 

 

Benarlah kata orang tua-tua, sejahat-jahat manusia masih ada lagi sekelumit kebaikan dalam dirinya. Oleh itu jangan kita syaitankan dan ibliskan manusia. Sebab kita tidak tahu penghujung hayat seseorang. 

 

 

Janganlah Sibuk Meng'Syaitan'kan Orang, Kita Pun Tak Tahu Apa Pengakhiran Hidup Kita

Orang tua-tua selalu mengingatkan, jangan terlalu banggakan di awal hidup sebab Allah menjemput di penghujung hidup. Tiada yang kekal stabil dalam diri kita waima iman sekalipun. Ada orang waktu mudanya bagus tetapi penghujung hidupnya lari jauh menyimpang. Ada orang hidup mudanya haru biru tetapi penghujung hidupnya kembali ke jalan Allah. Oleh itu jangan cepat bangga diri sebab tiada siapa tahu penghujung hidup mereka. Maka, sama-samalah kita berdoa agar kita semua mati dalam khusnul khotimah.

 

Biarlah kawan-kawan kita hendak jadi Arab, Jepun, Korea atau Mat Salleh sekalipun asalkan mereka berjalan atas landasan yang diredai Allah. Benar Arab tidak bererti Islam, tetapi Mat Salleh pun tidak semuanya buruk. Benar orang Islam tidak harus memuja orang Arab tetapi kita diwajibkan membaca Al-Quran mengikut tajwid dengan makraj huruf yang betul seperti yang diajarkan Jibrail kepada Nabi Muhamad SAW. Tidakkah bahasa Al-Quran itu adalah bahasa Arab? Apa salahnya mencontohi Barat daripada segi etika dan menjadi seperti Jepun atau Korea yang tinggi nilai jati diri dan semangat kemasyarakatannya?

 

Kita ambil yang baik tanpa perlu kutuk mengutuk keji mengeji. 

 

Kita perbaiki diri sebelum kita perbaiki masyarakat dan negara. Kerana kita semua adalah komuniti yang membentuk masyarakat. Saya kagum dengan peniaga pasar malam di Chiangmai. Sebaik habis pasar malam tiada sampah-sarap berselerakan. Tidak ada pekerja perbandaran tempatan datang untuk membersihkan sampah sarap seperti di pasar-pasar malam negara kita. Mereka meninggalkan tapak pasar malam bersih sebagaimana mereka datang. 

 

Semuanya bermula dengan sikap. Sikap tidak pentingkan diri sendiri, sikap bersama menjaga kebersihan, sikap tidak mahu menyusahkan orang sekalipun kerajaan. Tabik hormat saya kepada mereka.

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.