Feb 07, 2017 - 779
Oleh: Afiza Kamarulzaman
Sumber foto: Shutterstock.com
KISAH ibu meroyan selepas beranak bukan isu baru tetapi hangat diperkatakan selepas kes ibu kelar anak berusia dua bulan yang baru berlaku beberapa hari yang lalu. Wanita tersebut membunuh anak sendiri yang baru berusia dua bulan dengan mengelar lehernya menggunakan sebilah pisau pemotong sayur di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas. Perintah tahanan reman terhadap wanita berusia 32 tahun itu telah pun dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Rusli Ahmad bagi membolehkan dia disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Soalnya di sini, bagaimanakah kita ingin menyalahkan wanita tersebut jika peristiwa hitam itu berlaku di luar sedarnya? Apatah lagi ketika dia sedang mengalami simptom ‘meroyan’ selepas melahirkan anak?
Sokongan suami amat penting dalam menstabilkan emosi isteri terutamanya selepas melalui proses kehamilan, kelahiran dan berpantang yang mencabar. Di sini kami sertakan 10 panduan berguna yang wajar dibaca dan difahami oleh para suami dan isteri. Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa berdarah ini.
Sumber foto: Shutterstock.com
BACA PANDUAN PENTING INI
10 Perkara Suami Mesti Bantu Isteri Selepas Bersalin:
PANDUAN 1
Siapkan kelengkapan asas ibu dan bayi. Jika ada yang keciciran, tolong pergi belikan tanpa perlu ibu berstoking masuk pasar raya.
PANDUAN 2
Bantu isteri menjaga bayi agar ibu punya waktu untuk menjaga diri sendiri juga. Seperti ketika isteri sedang mandi atau makan.
PANDUAN 3
Sekalipun bayi menyusu badan, sesekali bangun malam untuk menemani isteri menyusukan bayi sebagai tanda sokongan.
PANDUAN 4
Sila bawakan tukang urut untuk isteri.
PANDUAN 5
Ambil tahu dan bantu jadual penjagaan diri isteri seperti bertunku, pakai stokin, makan ubat dan sebagainya. Isteri pasti tidak culas jika suami yang mengingatkannya.
PANDUAN 6
Temani dan pimpin isteri yang terpaksa ke klinik ketika masih dalam pantang untuk rawatan susulan seperti anak terkena sakit kuning dan sebagainya.
PANDUAN 7
Tentu isteri sangat tersentuh hati kalau suami yang bawakan makan atau siapkan air mandinya. Bukan selalu.
PANDUAN 8
Berikan sokongan moral kepada isteri jika kelihatan emosi mereka kurang stabil. Tanyakan khabarnya seharian. Ada kala isteri tidak perlu sangat dibantu tapi cukup bersemangat jika suami 'buat-buat' ambil berat dengan luangkan masa berbual-bual dan bergurau-senda.
PANDUAN 9
Jika punya anak lain, tolonglah suami menjaga anak yang tua itu agar isteri boleh fokus kepada bayi yang baru lahir.
PANDUAN 10
Seletih atau sestres mana pun suami selepas balik ke rumah, mohon jangan dilepaskan kepada isteri. Tiada satu pun tugas suami di luar yang mampu menandingi pengorbanan isteri melahirkan satu nyawa di dunia ini. Hargai mereka walau hanya ketika 'tempoh berpantang' itu.