Dec 11, 2018 - 403

Kahwin Itu UJIAN Seumur Hidup — Sanggupkah Anda? BACA INI, Tepuklah Dada, Tanyalah Hati

Perkahwinan itu cinta. Perkahwinan itu barangkali bawa bahagia. Mungkin juga bawa sengsara. Yang nyata, kitalah penulis jalan ceritanya.

 

Oleh: Rosie Haslinda Nasir 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

BERKAHWIN dengan pasangan sejiwa itu semacam dikurnia syurga dunia. Tetapi yang menunggu kita suami isteri selepas tidur sebantal, adalah pancaroba dunia yang tidak terjangka, badai yang tidak dapat diteka dibaca. 

 

Sembilan tahun dulu misalannya, sewaktu cinta si dia menggerutup seperti lahar gunung berapi, ke lubang kubur lapis ketujuh pun dia sanggup temani, demi bukti cinta berahi. Namun mengapa sesudah bernikah, suami isteri saling tidak peduli, saling menjengkel dan menyakiti? Mengapa suami isteri berbalah-balah di media sosial sebelum sempat ke pintu Mahkamah Syariah? 

 

Berhati-hatilah dengan doa yang anda tadah dan raupkan ke wajah. Doa meminta-minta kehidupan yang mewah materi, doa meminta-minta dijodohi lelaki berpendidikan tinggi yang kita cintai separuh mati, doa minta segera ditamatkan fasa keandartuan.


Sumber foto: Shutterstock.com 

 

Kita Mungkin Lupa Untuk Bermohon Perkara Ini

Tetapi kita kadang-kadang terlupa meminta Tuhan memberikan kita lelaki yang ikhlas mendampingi kita. Kita lupa minta ditemukan dengan pasangan yang sanggup menerima segala buruk dan kehodohan keluarga kita. Kita lupa bermohon minta dijauhi daripada ditemukan dengan pasangan yang rupanya tertakdir menjadi duri di dalam daging. Sehingga si dia mencincang silaturahim kita dengan keluarga sedarah sedaging. 

 

Lantas kerana dia kita terlupa — mana ibu, mana ayah, mana saudara. Mana kaca, mana permata. 

 

Benarlah, apabila kita memasuki satu-satu perhubungan itu, kita sebenarnya memasuki satu lingkaran dunia lain. You are meeting another person’s persona. Dan lapisan-lapisan personaliti si dia yang selama ini tersembunyi dan dibisukan — akan terbuka. Lalu bergemuruh satu persatu. Kerahsiaan bertukar menjadi perkongsian. Ia barangkali baik, barangkali juga jelik. 

 

Ya, perkahwinan itu fasa pengujian seumur hidup. Penat dan kudrat, luka dan sembuh. Jangan sekali-kali mempersoal, siapa yang selalu berkorban, bilakah pula saatnya pengorbananku mendapat balasan? 

 

Dampingilah dia dengan ikhlas, buang yang keruh ambil yang jernih, kerana cinta itu tidak terbina dalam sehari, memperbaiki itu lebih mulia daripada memusnahi. 

 

Kerana ya, kecelakaan rumahtangga itu selalu datang dari dua perkara — a broken home. And a broken heart. 


Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.