Jul 02, 2019 - 172

Manjakan Diri di Spa, Disolek, Berbaju Label Terkenal, Raya Paling Gembira Buat Mak Cik Ina…

InTrend Insani, Episod 2 kali ini menyantuni Mak Cik Ina yang berjualan di kaki lima setiap hari dari jam 10 pagi ke 10malam.

 

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

Intrend insani 1

Kredit foto: InTrend Malaysia 

 

 

ANTARA ramai-ramai insan yang kurang berkemampuan yang duduk di kaki lima jejantas Terminal Bersepadu Selatan (TBS), mata kami tertarik dengan susuk tubuh seorang mak cik ini. Orangnya nampak kemas, manis tersenyum sentiasa dan paling penting dia tidak duduk saja menadah tangan.

 

Dia berjualan dengan hamparan kain dibentang yang disusun teratur barangan seperti stoking, tali pinggang dan inner tangan. Kami mendekatinya baik-baik. Agak risau jika kedatangan dan lamaran kami disalah anggap.

 

Namun, seperti mana wajahnya yang lembut, tutur katanya juga menyejukkan hati. Berbudi-bahasa dan mudah didekati.

 

 

 

Intrend insani 2

Kredit foto: InTrend Malaysia 

 

 

 

Tidak Mahu Susahkan Anak-Anak

Memperkenalkan dirinya sebagai Mak Cik Ina, nama sebenarnya ialah Ku Rashina Ku Mansor dan berusia 58 tahun.  Mak Cik Ina berasal dari Jitra, Kedah dan sudah berhijrak ke Kuala Lumpur sejak era 80-an lagi.

 

Mempunyai enam orang anak dan kini Mak Cik Ina tinggal bersama anak sulungnya di Puchong.

 

Rutin harian Mak Cik Ina bermula seawal pagi. Dia perlu bergegas ke stesen LRT berdekatan untuk terus ke TBS. Kebiasaannya, Mak Cik Ina akan mula membuka ruang niaganya pada jam 10 pagi.

 

Duduk bersahaja menunggu rezeki yang ada pasang surutnya. Adat orang berniaga, rezeki itu tidak dapat diramal. Ada kala, dalam sehari Mak Cik Ina boleh dapat sehingga ratusan ringgit, ada masanya pulang dengan tangan kosong.

 

 

 

Intrend insani 3

Kredit foto: InTrend Malaysia 

 

 

“Semuanya bergantung kepada rezeki yang telah Allah tetapkan,” tutur Mak Cik Ina dengan senyuman tak pernah lekang di bibir.

 

Saat ditanya tentang anak-anak, Mak Cik Ina menjelaskan bahawa anak-anak memang tidak membenarkannya berniaga sebegitu tetapi Mak Cik Ina berdegil. Menurutnya, dia sudah biasa pegang duit sendiri, sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan anak-anak.

 

Lagipun, dari muda lagi Mak Cik Ina sudah biasa berniaga, maka jika duduk saja di rumah, ia lebih meresahkannya.

 

Kalau dulu, di Kedah Mak Cik Ina amat terkenal dengan perniagaan bihun sup. Dan kemudian, dia membuat jualan goreng-goreng. Namun, ceritanya, selepas kemalangan kakinya sudah tidak kuat lagi untuk berdiri lama-lama. Maka, perniagaan sebegini sahajalah yang mampu dilakukannya.

 

 

 

intrend insani 4

Kredit foto: InTrend Malaysia 

 

 

 

Jom, Cuti Sehari Mak Cik, Kita ke Spa

Bukan main teruja Mak Cik Ina apabila InTrend mengusulkan untuk membawanya ke spa membelai diri. Katanya, seumur hidupnya tidak pernah dapat peluang ke spa. Tambahnya, “Manalah mampu. Spa tu mahal tapi teringin tu ada,” buat kami ketawa dengan celotehnya.

 

InTrend berbesar hati apabila pihak Mustika Ratu sudi menaja pakej spa untuk Mak Cik Ina. Kami membawa Mak Cik Ina ke Taman Seri Royal Heritage, Kuala Lumpur untuk melakukan pakej rawatan berurut, lulur badan, totok wajah, refleksologi dan manicure.

 

Rawatan-rawatan ini sangat bagus untuk mengembalikan tenaga dan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah (kerana Mak Cik Ina kerap duduk di atas simen dalam jangka masa yang lama), memberikan rehat yang berkualiti dan meredakan tekanan kepada Mak Cik Ina.

 

Rawatan di sini bertaraf lima bintang! Mak Cik Ina sendiri mengakui yang dia berasakan bagaikan tuan puteri saat dilayan sebegitu rupa. Dirapikan dari hujung rambut hingga hujung kaki.

 

 

 

Intrend insani 5

Kredit foto: InTrend Malaysia 

 

 

 

Solekan Minimalis Serikan Wajah

Jurusolek, Noor Diana menggalas tugas menyolekkan Mak Cik Ina pada hari itu. Kata Mak Cik Ina, dia sudah lama dia tidak bersolek. Selalunya hanya berbedak talkum. Terkedip-kedip matanya kala Diana menyapukan pembayang mata, maskara dan celak.

 

Untuk solekan ini, Diana memilih solekan yang tipis dan natural sahaja, sesuai dengan usia dan kondisi kulit Mak Cik Ina.

 

Paling penting, penggunaan pelembap sebelum memulakan solekan kerana faktor usia yang menyebabkan kulit Mak Cik Ina sedikit kendur. Namun, menurut Diana, pada usia begini sebenarnya kulit Mak Cik Ina boleh dikategorikan sebagai dalam keadaan baik, masih mulus dan tidak terlalu menua.

 

Bedak yang tipis disapukan untuk lapisan asas. Untuk wajah wanita berusia, elakkan sapuan terlalu tebal kerana ia akan buat kanvas jadi bercapuk disebabkan oleh keduatan yang muncul.

 

Buat mata, pemilihan warna-warna tanah seperti coklat untuk bentuk kelopak mata. Pemerah pipi dan gincu juga daripada famili rona manis. Usai solekan, Mak Cik Ina terkesima melihat wajahnya di cermin.

 

Senyum simpul dia, bagaikan melihat orang lain!

 

 

 

Baju Raya Baru

Siap semuanya, kami bawa Mak Cik Ina ke destinasi terakhir, butik Modvier, Bangsar untuk memilih busana Raya baru. Mak Cik Ina diberi pilihan untuk memilih sendiri baju dan tudungnya dan turut diiringi pembantu Modvier yang berkongsi pendapat.

 

Pada mulanya, Mak Cik Ina mahukan kurung biasa sahaja, segan katanya. Namun, setelah mencuba beberapa helaian, akhirnya Mak Cik Ina setuju dengan baju kurung moden rona biru pekat dan tudung bawal berjalur.

 

Ia membuatkan Mak Cik Ina Nampak lebih muda dan menyerlah di Hari Raya.

 

Sebelum mengakhiri episod kami, pihak InTrend berbesar hati menyumbangkan sejumlah wang tunai kepada Mak Cik Ina sebagai tanda penghargaan. Walaupun tidak sebanyak mana, diharapkan ia dapat membantu Mak Ina menambahkan stok jualannya nanti.

    

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.