Aug 05, 2016 - 1964

Rahsia Gelap Orang Lawa yang Buat Anda Mengaku, "Betul Wehh... Aku Pernah Jumpa Perempuan Macam Ni!"

Bukan anti orang cantik atau lawa. Tidak sama sekali. Kami tak iri. Kami senang berwajah kemot atau dituduh comot. Mmm, tapiii...


Teks: Dr. Mohd Faizal Musa 



 

BEGINI, ada kawan saya seorang. Perempuan. Dia mendakwa dirinya tidak cantik. Kategori biasa-biasa. Kulit pun tak putih cerah, apatah lagi merah-merah. Kemudian dia tidak pandai melawa sangat. Ada juga kilogram di sana sini, lemak situ, lemak sini.
 

Pendek kata, dia mengaku tak cantik.


Dia selalu menekankan yang dia tidak ayu atau jelita. Tapi cukup sempurna dan dia bersyukur.

Pun pada saya, semua orang dijadikan oleh Maha Pencipta di muka bumi ini serba serbi sempurna. Dan jika ada pun kekurangan, Yang Maha Mengetahui menjadikannya dengan sebab musabab yang sukar kita cerna dalam kehidupan kita yang fana ini. Sebagai contoh, ada seorang teman yang inginkan anak lelaki. Terlalu inginkan. Kerana yang ada tujuh itu semuanya perempuan. Oleh kerana dipaksa, direncana dan dibuat sungguh-sungguh, berolehlah mereka anak lelaki. Akan tetapi, Yang Maha Menentukan menjadikan anak itu sedikit bermasalah kesihatan. Ada penyakit jantung berlubang. Barulah dia menginsafi diri mengapa selama ini Yang Maha Kaya mempayahkan keadaan.

Kembali kepada soal tidak cantik dan mengakui diri dalam jenis atau pesen itu. Baguslah sedar diri. Kerana sedar diri itu satu ciri yang membanggakan. Susah juga kalau tidak sedar diri maka terhegeh-hegeh mempromosi.
 

Contohnya mengurat suami orang, dengan mengutus e-mel berani berbunyi: Just curious, what’s your stand on polygamy.


Eh eh, tak ada gempa bumi, tak ada siklon, tak ada tsunami, tak ada kurap, tak ada panau tidak semena-mena teraju pula soalan tersebut kepada suami orang. Kan mencari nahas.

Okey, persoalannya ialah kawan saya yang kurang cantik, atau mengakui diri hodoh itu berasa rimas dengan kawan-kawannya yang cantik. Tak. Dia bukan iri hati. Cemburu. Dengki. Tak bersyukur. Bukan. Tak semua itu. Dia sedar diri, seperti yang saya katakan sebelumnya. 
 

Isunya adalah, kenapa perempuan cantik mesti (tidak semua) pengotor? 


Ooooo.

Ada dua tiga kes dibangkitkan. Perihal seorang kawan lamanya yang cantik dan kini telah berjaya sebagai model ternama.

 

Gulp.


Dulu sewaktu di kampus pun dia (model ini) sudah menjala minat ramai. Malah ada ustaz terleleh sungguh air liur melihat senyumnya yang kalau dilemparkan nescaya gelepar digigit. Akan tetapi, rahsia hitamnya adalah dia sering melemparkan stokin busuk, anak tudung masam, bungkusan kacang botol, botol air mineral kosong ke bawah katilnya yang memang berhabuk dan bernyamuk itu. 


Sumber: Rclbeauty101    


Sebagai teman sebilik memanglah sakit hati. Kalau untuk keluar dating, bersolek dan berhiasnya makan jam, mungkin hari, bahkan dekad dan kurun. Namun demikian bila bab kebersihan sentiasalah gagal. Oleh kerana teman saya yang mengaku tidak cantik itu jenis rimas dengan sampah sarap dan bencikan kekotoran. Maka dia pun mengambil inisiatif untuk membersihkannya.
 

Bila itu terjadi, yang cantik itu perasan pula yang hodoh itu babu atau amah, atau bibik.


Dititah diperintah pula bucu mana yang harus disapu dan dilap. Menyakitkan hati dan rasa. Kesengsaraan buat jiwa.

Yang cantik itu pun lulus universiti dan berkahwin dengan ahli perniagaan menghampiri usia 50 tahun dan beranak satu. Pendekkan cerita. Klise. Dia bercerai. Bila dia muncul semula dalam hidup teman saya yang mengaku tidak cantik itu, dia sudah pun membuka butik (dengan duit bekas suaminya) dan satu hari yang sekonyong-konyong tidak terik tidak mendung; dia telah menyinggah di apartmen teman saya tersebut. Dia membawa anak kecilnya. Setahun usia. Main-main dengan anaknya yang comel itu tiba-tiba budak itu pret pret prettttt.


Oooooo Ooooo. Model jelita itu membawa ke tandas.


Kebetulan bibiknya balik Surabaya kerana ada kematian. Memang dia tidak biasa membasuh najis anak. Kukunya pun panjang. Setelah disap sap sap, ditukarlah pampers baharu. Eh eh kejap, lampin lama yang berlumur kotoran itu di mana? Diletak di sebelah rak berus gigi teman saya yang mengakui diri tidak cantik itu. Serpih najis anak di dalam sinki tempat teman saya itu biasanya membuihkan muka dengan busa busa jenama mahal. Setelah makan minum, lepak dan berbual; yang lawa itu pun pulang. Kawan saya yang hodoh ini pun mengemas pinggan mangkuk. Setelah lelah dan berpeluh dia pun masuk kamar kecil untuk mandi dan taraaaaa...


Ada lalat atau langau menghurung dengan bau yang intan payung penuh gemala citra kesuma.


Justeru ampun katanya. Dia tidak boleh masuk atau cocok dengan perempuan lawa. Memang dia tidak pukul semua perempuan cantik sama rata begitu. Akan tetapi terlalu banyak kes dan insidennya memanglah begitu.

Sebetulnya, pengalaman teman saya yang mengakui tidak cantik itu hampir sama dengan saya sendiri. Ada seorang kawan lelaki yang kacak ketika bujang dahulu. Orangnya putih merah. Ada bulu-bulu halus di muka (juga di dada). Senyumnya adoiii kerana giginya tersusun dan bibirnya merah. Kalau dia ketawa kecil sambil tergigit hujung bibir ramailah anak dara dan janda yang garu ketiak walaupun tidak gatal. Dia pun pandai bergaya dan kalau bercakap terbitlah ayat-ayat romans.
 

Okey, rahsianya... 


Kerana kami tinggal serumah; seluar dalam tidak berbasuh yang dikitar semula. Stokin yang pakai buang selalunya. Berus gigi yang bulunya penyek keras macam penyapu lidi. Dan katil, ranjangnya, cadar dan pembalut bantalnya... ia adalah himbau memori tempat tidur buruh paksa membina rel keretapi di Burma ketika zaman penaklukan Jepun dahulu. 

Jadi untuk keluar bertemu wanita? Dia akan pancit minyak wangi. Semerbak Ya Jibril Ya Mikail. Seterika baju sampai tiada satu pun garis, berminyak rambut yang pacak terpacak dan kemudian kuang kuang; pinjam ‘sen’ dengan saya. 


Selalunya begitu.


Sumber: Top Media 
 

Pernah setelah kami melepasi zaman kampus dia datang menyinggah di rumah. Oh perangainya masih sama. Dia meminjam tandas saya. Dipancutnya ditala tidak kena. Kemudian masih ada sisa tertinggal terapung berkerak-kerak.
 

Kita juga yang tak kacak ini terpaksa tolong menekan hayun flush.


Untuk mereka yang kategori tidak lawa atau tampan seperti kami, memang ada sedikit trauma dengan orang yang dijeniskan cantik dan segak begini. Bukanlah kami ingin mengherdik kerana tidak beroleh nikmat Tuhan menjadi wanita atau pria yang ayu dan jambu. Kami senang berwajah buruk begini. Kami hanya menuntut tolonglah diperhatikan kebersihan. 


Cantik atau kacak datang dengan kebersihan.


Bahkan kebersihan itu bahagian yang penting dari iman. Dalam agama Islam, kebersihan amat nyata. Basuh itu ini. Mandi itu ini. Wuduk dan sebagainya. Malah saat Eropah di zaman gelap, negeri-negeri di bawah empayar Islam sudah ada hamam atau sauna mandi untuk orang awam. Saya berpendapat tradisi oriental pun mengutamakan kebersihan. Orang Jepun sebagai contoh ada onsen.
 

Bukan anti orang cantik atau lawa. Tidak sama sekali. Kami tak iri.


Kami senang berwajah kemot atau dituduh comot. Kami hanya dikurniai Tuhan mencintai kebersihan luar dan dalam. Sepertinya kami menghormati kalian yang sungguh sedap dipandang, hormatilah kami yang sungguh tertib dan rapi dalam hal kebersihan.

Kebersihan mestilah dibiasakan. Ia adalah rutin. Setan dan iblis sukakan kekotoran. Makanya walau pun muka lawa, dek kerana syaitan bertenggek maka seringlah terhala terjurus kepada bahagian-bahagian lain yang menambah dosa lagi.


Ini pesanan ikhlas.


Moga tidak terlalu tersinggung.



 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    "Ini yang Terjadi Apabila Team Tak Perform..."

  • Seterus →

    “Kucing Juga Satu Tanggungjawab!” — 10 Tentang Kucing yang Mungkin Anda Tidak Tahu