Sep 20, 2018 - 111

Sebumbung Dengan Mentua, Apa Yang Payahnya? — Ini PANDUAN Buat Anda Anda, Mesti Baca!

Kenapa ya orang kita kalau cakap perihal sebumbung dengan mentua, pasti banyak yang negatif daripada positif. Banyak tengok drama kot? Lihat saja filem-filem Hindi, boleh dikatakan semuanya tinggal sebumbung.

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

Tidak dinafikan ada yang bermasam muka tidak kurang juga hingga berkongsi minat sama. Namun asam garam hidup sebagai menantu dan mentua, saya percaya masing-masing punya pengalaman tersendiri.

 

Ada yang ‘suam-suam kuku’ sahaja malah hingga ada yang akrab persis BFF! Biar apapun warna yang melatari hubungan anda dengan mentua, pastikan ia disimbahi dengan kasih sayang, saling hormat-menghormati, persefahaman yang jitu dan keikhlasan yang tidak bertepi.

 

Buat mereka yang tinggal sebumbung dengan mertua, InTrend kongsikan tips ‘awetkan’ hubungan kalian agar kekal jernih dan dijadikan suri teladan buat rujukan anak-anak.

 

 

 

 

 

Usah Lokek Hulur Duit Belanja

Adat menumpang, perlulah ada persefahaman dan tolak ansur antara kedua-dua belah pihak. Kalau ya pun mak mentua cakap, “Buatlah macam rumah sendiri, jangan malu-malu.” Tapi… Janganlah ambil kesempatan atau salah faham pula okey! Beringat-ingatlah juga semua yang ada di rumahnya bukan percuma.

 

Lantaran itu, janganlah berkira sangat duit yang ada tu. Kalau tidak mampu hulur selepuk duit, apa kata asingkan terlebih dahulu dalam RM100 ke RM200 daripada gaji, mengikut kemampuan masing-masing.

 

Hulurkan kepada mentua buat duit belanja dapur atau bil elektrik, bil air dan lain-lain. Atau jika tidak mahu hulurkan duit sekalipun, anda juga boleh belikan barang keperluan dapur, barang basah dan sebagainya.

 

Jenama apa? Oh, perhatikan apa yang ada dalam cabinet atau almari di dapur. Tidaklah nanti tersalah beli pula, okey!

 

 

 

 

Ringan Tulang

Oh, ini lebih ditujukan kepada menantu perempuan. Kenapa? Jika anda menantu perempuan, maka tanggungjawab itu lebih berganda. Almaklumlah perempuan, bab-bab kerja rumah ini tergalas di bahu kita.

 

Daripada memasak, membasuh, mengemas dan segala macam kerja rumah sudah sebati dengan kaum wanita. Janganlah pula anda buat semua kerja-kerja rumah hanya kerana mahu tunjuk bagus atau rajin di mata mentua.

 

Tetapi itulah natijahnya, perempuan dan kerja-kerja rumah berpisah tiada. Justeru itu, janganlah bangun hingga matahari naik kepala jika itu yang menjadi kelaziman anda ya!

 

Rajin-rajinkan diri masuk ke dapur, membantu apa-apa yang patut. Jika tidak handal mempamerkan aksi di dapur, apa kata anda jadi pemandunya, temani ke pasar membeli barang keperluan untuk diisi dalam peti sejuk tu?

 

Selain dapat mengeratkan hubungan, anda juga boleh belajar kenal jenis-jenis ikan, apa yang menjadi kegemaran mentua dan banyak lagilah!

 

Atau boleh juga cuba ini. Bantu mentua mengemas rumah, menyapu, mengemop lantai, mencui tingkap, menyidai atau melipat baju atau apa jua kerja-kerja yang bisa dilakukan untuk meringankan tugas mentua. Barulah jadi menantu dari syurga! Hahaha…

 

 

 

 

 

 

Ambil Hati Mentua

Kalau anda pandai ambil hati pasangan, takkanlah tak pandai ambil hati mentua pula? Jika kalian suami isteri punya perancangan untuk bercuti bersama anak-anak, apa kata bawa juga mentua bersama.

 

Tinggalkan seketika rutin di rumah yang sudah menjadi kelaziman. Sesekali ambil angin, menjamu mata melihat tempat orang (jika ke luar negara lagilah bagus!) pasti menenangkan perasaan. Jangan pula senyap-senyap tempah bilik penginapan di hotel, tup-tup muat naik di media sosial. Pasti sentap hati mentua.

 

Jika Jika bercuti mungkin memerlukan bajet yang besar, mulakan dengan kecil-kecilan. Misalnya, sesekali bawa mentua pergi makan di restoran atau mana-mana sahaja asalkan di luar. Tidak salah anda belanja makan, malah makin melimpah ruah rezeki anda tanpa disedari.

 

Jika tiba ualng tahun perkahwinan atau hari lahir mentua, janganlah buat ‘dek’ saja. Apalah sangat sesekali tunjukkan bahawa paling penting cipta kenangan selagi hayat mereka masih ada. Cubalah!

 

 

 

Mentua Bukan Maid Okey!

Janganlah ‘perkudakan’ mentua untuk lakukan semua kerja. Benar itu rumahnya tetapi tidak salah jika anda meminta izin terlebih dahulu untuk membantunya melakukan kerja-kerja rumah.

 

Teliti dan kaji cara atau teknik yang sering dia lakukan untuk sesuatu rutin. Perhatikan bagaimana langkah atau stail dia.

 

Tidaklah nanti anda kecil hati andai mak mentua yang melakukannya semula dek kerana tidak berpuas hati dengan cara anda, hahaha…

 

 

 

 

 

Hormati Mentua Selayaknya

Benar, mentua bukan ibu yang mengandungkan dan melahirkan anda. Tetapi darjatnya sebagai ibu kepada suami atau isteri anda wajib dihormati dan ditaati selagi apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan ajaran agama.

 

Muliakan mereka, layani mereka seperti ibu bapa kandung kita sendiri. Bukan harta yang menjadi ukuran untuk ‘membeli jiwa’ mentua. Tetapi perhatian, kasih sayang dan masa yang diluangkan dapat dimanfaatkan bersama. Itu lebih berharga untuk mencipta kenangan buat bekalan di hari mendatang.

 

 

 

  

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.