Oct 24, 2017 - 555

Kalau SUAMI itu ‘King’, ISTERI Itu ‘Queen’, Kenapa Isteri Seorang Buat Kerja Rumah SETENGAH MATI? Para Suami Tolong Baca

Betulkah perlambangan yang selalu kita dengar, kononnya ada istilah suami itu ‘king’ dalam rumahtangga? Kalau suami itu ‘king’, mestilah isterinya ‘queen’. Betul tak? Tapi mana ada ‘queen’ dikerah buat kerja-kerja rumah setengah mati?

 

 

Oleh: Miss Cherry ​

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

KALAULAH perkahwinan itu seindah kita membina pelamin. Secantik kita disolekkan kala menjadi ratu sehari. Sesuci saat akad dilafaz, ketika tangan suami dikucup, dahi isteri dicium, maka tidak akan ada pasangan yang naik turun mahkamah syariah. Meleraikan ikatan yang selama ini diikat mati. Lantas, haruslah sedar bahawa kisah benar sebuah cerita kahwin itu tidak seperti khayalan dongengan Cinderella atau Snow White. 

 

 

Miss Cherry kadang-kadang naik gerun mendengar kisah kahwin teman-teman. Ada yang indah itu, syukurlah. Kalau yang lara itu buat Miss Cherry terfikir sejenak, apakah maknanya sebuah perkahwinan yang mereka mengertikan? Kalau dulu, masa bercinta bukan main segala-galanya sempurna tentang diri pasangan tetapi selepas duduk serumah, tidur sekali, makan semeja, kenapa banyak pula koyak-rabaknya? 

 

 

Penat Isteri Bersambung-sambung, Dari Pejabat Sampai Rumah 

Miss Kay mengadu. Hidupnya penat. Seharian di tempat kerja. Balik mengisahkan hal anak-anak pula. Ambil dan hantar anak ke nursery dia juga uruskan. Bil-bil bulanan dia langsaikan. Makan minum dia sediakan. Habis suami buat apa selain bekerja 9am — 6pm? Duduk depan televisyen, arah anak dari jauh ‘jangan’, dan kemudian belek telefon. Itu sahaja. Hal lain langsung tidak ambil tahu. 

 

 

“Benarkah istilah suami ‘king’ dalam rumahtangga?” Tanya Miss Kay kepada Miss Cherry. Kalau suami itu ‘king’, mestilah isterinya ‘queen’. Mana ada ‘queen’ dikerah buat kerja-kerja rumah setengah mati? 

 

 

Cerita kawan lelaki Miss Cherry pula, Mr. M, isterinya suri rumah. Sengaja dia suruh isterinya berhenti selepas dapat anak kedua, supaya boleh fokus pada urusan rumahtangga. Tapi, lain pula jadinya. Kerja di dapurnya hanya masak nasi. Lauk dibeli. Kain baju dihantar ke dobi. Anak-anak dibiar berdaki. 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

Ligat ‘Update’ Media Sosial, Anak dan Suami Semua Terpelanting! 

Kerjanya sibuk dengan ‘update’ laman sosial. Tidak cukup dengan kata-kata hikmah, dibuatnya tutorial mekap pula. Diberi duit belanja bulanan, yang dibeli hanya baju, kasut dan barang mekap sahaja. Makin lama, makin menjadi-jadi. Ditegur asyik lari. Letih Mr. M. Apa nak buat tersalah cari, maka meranalah diri. 

 

Jujurnya, siapalah yang berkahwin mahukan kehidupan dalam bahtera penuh dengan sengsara? Ada pula yang dapat suami kaki pukul, main kayu tiga, malas bekerja. Tak kurang juga yang beristerikan perempuan pemalas, curang, pemboros, main bomoh dan sebagainya. Macam-macam kerenah dalam hidup berpasangan. 

 

 

Baru Kahwin Molek, Lama-lama Jadi Jelik 

Kadang-kadang, di awal perkahwinan semuanya molek belaka. Tetapi, selepas melalui satu demi satu perjalanan dan destinasi, ada kala pasangan berubah dek pengaruh sekeliling. Faktor ekonomi, orang ketiga, bebanan kerja, stres, hasutan keluarga, kawan-kawan dan pelbagai lagi.

 

Sebab itu ada orang kata perkahwinan ini umpama ‘perjudian’. Macam main judi. Belum tahu untung nasib si pemain. Adakah menang atau rugi? Hati manusia umpama pantai. Boleh berubah setiap kali air bah. Kalau hari ini katanya sayang, jangan terkejut esok-esok kena tendang. Kalau semalam katanya kasih, jangan sedih kalau hari ini engkau diusir. Jangan pula rasa, kita sudah cukup sempurna apabila mampu mensejahterakan rumahtangga bertahun-tahun lamanya kerana mungkin untung nasib kamu tidak diuji seperti pasangan yang gagal mempertahankan hubungan.

 

 

Bercerai Akhirnya Sebab Suami Tak Sanggup Pertahankan Isteri Daripada Serangan Keluarganya  

“Sekurang-kurangnya aku tak terus menipu diri sendiri. Biarlah apa pun orang mahu melabelkan aku. Nak kata aku isteri yang jahat? Bodoh? Katalah apa pun, yang penting dengan perceraian ini buat aku lebih tenang dan kuat,” luah Miss Bee tentang perceraiannya dek bekas suaminya yang asyik melebihkan abang, kakak, adik di kampung sehingga dirinya menjadi mangsa fitnah tanpa suami membela dirinya. 

 

 

Hurmmm… Tarik nafas panjang Miss Cherry mendengarkan segala isu rumahtangga teman-teman. Buat adik-adik yang akan berkahwin, ingatlah persediaan kahwin bukan hanya tentang pelamin, gaun, mekap, berinai kecil, berinai besar atau kad kahwin, tetapi ia tentang sebuah pelayaran hidup yang akan menjadi penentu hidupmu ke ‘syurga’ atau ‘neraka’. Maka; waspada dan tanyalah imanmu. 

 

 

“Marriage is; sharing life with your best friend,

enjoying the journey along the way

and arriving at every destination… together.”

— Fawn Weaver 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Dari Suri Rumah Sepenuh Masa, Kini Dia Jurufoto Taraf DUNIA! Ini RAHSIA Suksesnya, Anda Perlu Baca

  • Seterus →

    “Tahniah, Puan...” — Puas Ikhtiar, Wanita Ini Akhirnya HAMIL Cara IVF Selepas 9 Tahun Menunggu, Doanya Makbul, Allahu!