May 31, 2019 - 114

10 ‘Attitude’ Jangan Buat Bila Dah Berkumpul Ramai-Ramai — No 5 Tu Mesti Ramai Yang Buat Juga!

Biasalah, apabila sesekali balik kampung berkumpul rumah Mak atau singgah rumah saudara-mara, pelbagai kerenah yang mula keluar. Pastikan kamu jangan buat semua ni.

 

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

Intrend 1

 

 

 

1. Jangan Berlagak Diva

Apabila dah berkumpul adik-beradik, saudara-mara, jangan bawa perangai diva. Kamu bos ke, CEO ke, Pengarah ke, kalau dah sampai ke kampung, lupakan semua jawatan itu. Nanti orang meluat!

 

 

2. Jangan Tunjuk Sangat Pemalas Tu

Semua kena turun buat kerja, tolong ringan tulang. Kalau perempuan, jenguklah dapur walaupun masak air tak pernah. Yang lelaki jangan semedang lari kedai mamak jumpa kawan, tolonglah apa yang patut. Tak salah berlakon rajin walaupun tak.

 

 

3. Jangan Main ‘Cop-Cop’

Kalau balik rumah Mak atau tumpang rumah saudara, jangan macam  buat booking hotel. Boleh pilih bilik mana, makanan apa, jam berapa nak guna itu, ini?

Bawalah sedar diri, sesekali balik beraya, tinggalkan sekejap keselesaan seperti di rumah sendiri. Senang kata, masuk kandang kambing mengembek...

 

 

4. Jangan Cepat ‘Koyak’

Apabila dah berkumpul ramai-ramai, berborak itu ini, ada kala terlebih bicara, terlepas kata. Perkara macam ni tak boleh dielakkan, kadang-kadang berlaku tanpa niat terutamanya daripada generasi veteran.

 

Bagi kita yang muda-muda ini, jangan cepat melatah. Anggaplah itu cara mereka mendekatkan diri mereka dengan kita. Chill sikit. Jangan asyik nak menyentap saja.

 

 

 

5. Jangan Asyik Dengan Telefon

Boleh, tak salah mahu menatap telefon itu. Kadang-kadang ada email penting nak dibalas atau Whatsapp kawan-kawan di pejabat yang perlu dijawab tetapi biarlah berbatas. Kalau yang tak penting, setakat nak ‘update’ perkembangan terkini, nanti-nanti pun boleh.

 

Kamu bukannya artis pun yang followers duduk tunggu update terkini. Mereka pun ada life sendiri. Jadi, sebaiknya lebihkan perhatian kepada ‘manusia’ yang memang wujud di depan mata itu dulu.

 

 

 

Intrend 2

Sumber foto: Shutterstock 

 

 

 

6. Jangan ‘Meleweh-Leweh’

Faham ke tidak apa meleweh-leweh tu? Sikap cuai, lalai. Ada sesetengah orang terutamanya perempuan yang ada anak terlalu taasub nak berborak sehingga terlupa ada anak kecil berderet.

 

Maka, macam-macamlah kejadian yang dilakukan si anak dek ibunya entah di mana. Jadi, Mak-Mak tingkatkan kecekapan dalam mengendalikan anak-anak dan pada masa yang sama membantu apa yang patut.

 

Jangan pula dijadikan alasan ada anak kecil, tak boleh nak turun ke dapur. Para suami pun, tolonglah juga tengokkan anak itu ya.

 

 

 

7. Jangan Kedekut/Berkira

Bukan sahaja bab duit, benda-benda lain pun belajarlah untuk berkongsi. Apa salah untuk satu hari itu, kamu angkat tangan untuk menaja makan tengah hari dengan membeli barang-barang basah untuk dimasak.

 

Atau, kalau ada anak-anak buah mahu guna kereta, jangan berkira untuk pinjamkan kereta kamu. Soal takut kereta kena langgar ke apa, ingatlah itu semua harta dunia, pasti hati ikhlas. Hehehe..

 

 

 

8. Jangan Suka Main Tinggal-Tinggal

Maksudnya, kalau sudah makan, janganlah tinggal saja pinggan itu di atas meja. Kalau minum, letak cawan merata. Mana ada pelayan restoran yang nak kutip semua itu.

 

Begitu juga kalau anak pakai lampin pakai buang, pastikan dibungkus elok dan dibuang terus ke tong sampah. Jangan  main selit di sudut hujung tandas!

 

 

 

9. Jangan Nak ‘Conquer’ Semua

Jangan pentingkan diri. Ada orang, semua benda dia nak buat macam dia punya seorang. Contohnya remote tv. Dua puluh empat jam di tangan dia, sampaikan orang lain tidak boleh nak tukar saluran lain. Begitu juga kalau menggunakan tandas dan sebagainya.

 

 

 

10. Jangan Balik Kibas-Kibas Punggung Saja

Apabila sudah masa untuk balik, meninggalkan rumah orang, janganlah beredar begitu saja. Bukan setakat, bersalam, cium-cium pipi, pastikan juga keadaan rumah ditinggalkan dalam keadaan baik terutamanya yang ada anak kecil.

 

Kalau ada air yang ditumpahkan, mohon lapkan. Kalau sofa dah senget, kembalikan ke asal. Barulah tuan rumah rasa tak menyesal menjemput.

 

 

 

*Selamat Hari Raya, semoga Raya kita mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kita dan membekaskan kenangan indah, bukan jadi porak-peranda.

 

 

 

Intrend 3

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.