Jan 24, 2019 - 767

Bukan Minta Percaya, TAPI Zodiak Cina Anjurkan Kita Supaya Ketahui Kekuatan & Kelemahan Diri

Setiap daripada kita mempunyai kelemahan yang boleh dikukuhkan, malah memiliki bakat yang boleh diangkat, diperhebat lalu membawa kita terbang tinggi. Zodiak Cina ada rahsia karakter anda itu.

Teks: Rosie Haslinda Nasir

 


 

JENDELA 2018 baharu sahaja kita tutup tidak sampai sebulan yang lalu. Seperti kelaziman, saya percaya ramai antara anda telah pun merangkum azam dan resolusi tahun baharu. Anda barangkali memahatkan azam ingin menjadi manusia yang lebih produktif misalannya. Anda mungkin mahu menjana lebih banyak wang, ingin menjadi pelajar cemerlang, ingin menimba ilmu menambah kemahiran baru, atau anda mungkin juga berharap dapat mengurus masa dengan lebih baik dan bermacam lagi.  

 

Namun, sebelum anda menjuak azam dan resolusi dengan sebegitu tinggi dan hebat sekali, pernahkah anda bersandar sejenak, bertenang lantas berfikir: “Apakah saya mengenali kelemahan dan kekuatan diri saya? Apakah kerapuhan nilai diri yang harus saya perbaiki supaya tahun 2019 menjadi lebih baik buat saya? Apakah sisi rohani serta jasmani yang boleh saya gilap, yang mampu memantulkan sinar gemilang pada aura diri saya sepanjang tahun 2019 ini?”

 

Saya ingin mengajak anda melihat ke dalam diri. Saya mahu anda meneliti kelemahan diri (ingat, tiada manusia yang serba sempurna) bahkan mengamati juga kekuatan diri daripada perspektif yang amat menarik, iaitu Zodiak Cina. 

 

Tahukah anda, sesetengah masyarakat Cina memanggilnya sebagai Huang Li atau Kalendar Kuning? Ada juga sebahagian orang Cina merujuknya berdasarkan kodifikasi dan interpretasi alam meteorogikal dan kosmologikal era Dinasti Qing iaitu Tong Shu. Ya, bunyinya kedengaran agak kompleks. Namun saya fikir, satu perkara mudah yang amat menarik lagi kreatif mengenai Zodiak Cina adalah kecenderungannya mengalu-alukan setiap individu agar mengasah kelebihan dan menggilap potensi diri, agar ia bersinar gemilang, berupaya membawa personaliti kita ke satu tingkat lebih tinggi. 

 

Bukan sahaja kelebihan, ia juga menyarankan kita agar merawat, memperbaiki dan mengurus sebarang nilai kurang elok lalu menangani unsur-unsur negatif lahiriah dalam diri, agar kita menjadi lebih bersedia untuk berhadapan dengan apa jua cabaran hidup kita.  

 

Zodiak Cina secara umumnya mengajak kita untuk mengenali sifat, sikap, tingkah laku, kelakuan, kecenderungan, jalur pemikiran, kepantasan gerak firasat serta jati diri kita berdasarkan karakter 12 haiwan yang terkandung dalam roda zodiaknya. 

 

 

Rahsia di Sebalik 12 Watak Haiwan yang Unik Dalam Zodiak Cina

Untuk pengetahuan anda, terdapat 12 watak haiwan yang membina pusingan Zodiak Cina. Kuda, Tikus, Lembu, Harimau, Arnab, Naga, Ular, Kambing, Monyet, Ayam, Anjing dan Babi merupakan 12 watak-watak unik yang muncul bergilir-gilir setiap 12 tahun. Lebih istimewa, 12 watak-watak haiwan unik ini terbahagi pula kepada lima unsur yang berlainan iaitu unsur Logam, Air, Kayu, Api dan Tanah.

 

Selepas Tahun Ular (2013), tahun 2014 menyaksikan Tahun Kuda mengambil alih. Menurut budaya dan kepercayaan masyarakat Cina, Kuda merupakan simbol ketangkasan, kepantasan, ketekunan, bahkan lambang sifat kebangsawanan. Individu yang dilahirkan pada Tahun Kuda dikatakan pintar, cerdas, bijak berkata-kata malah memiliki daya pengaruh yang kuat terhadap masayarakat sekelilingnya. 

 

Tahun ini — 2019 — menyaksikan Tahun Babi mengemudi putaran zodiak ini. Astrologi Cina menyuratkan bahawa tahun 2019 merupakan tahun yang baik untuk membuat duit, juga untuk membuat pelaburan. Ia tahun yang membawa kegembiraan, persahabatan dan kasih sayang. Dikatakan juga manusia yang bernaung di bawah zodiak Tahun Babi berpeluang untuk menyerlahkan bakat dan pengalamannya untuk banyak perkara yang membawa kemajuan dalam kehidupan. Sebagai contoh, segmen perniagaan dan keusahawanan dipercayai antara jendela baik untuk bintang Tahun Babi menjana pendapatan dan mengembangkan ekonomi. 

 

Begitulah indahnya tafsiran-tafsiran Zodiak Cina. 

 


 

Zodiak Cina Menyarankan Kita Supaya Selalu Berwaspada 

Tetapi ingatlah, kecil dan kerdil tidak bermaksud kita tidak berdaya. Besar dan agam tidak pula bererti kita gagah bak gergasi dan selamanya mendominasi. Dua belas pusingan tahun-tahun haiwan dalam Zodiak Cina ini sebenarnya mengajak kita saling bercermin. Ia mengajak kita melihat ke dalam diri. Malah, ia menyeru kita agar menganalisa kekuatan dan kelemahan diri, menyarankan agar kita lebih pintar dan cekap mengurus jangkaan-jangkaan hidup berdasarkan reaksi. 

 

Ia adalah seni tafsiran personaliti yang menganjurkan kita agar menjadi manusia yang lebih sensitif terhadap isu semasa dan alam sekeliling, malah menganjurkan kita agar menjadi manusia yang tahu menggunakan kebijakan pada tempat, waktu dan insan yang bersesuaian. 

 

Ingatlah, pada kebanyakan waktu, kita sering terlupa untuk melihat ke dalam diri, memikirkan kembali akan tindak-tanduk dan sikap kita yang terdahulu, apatah lagi merancang masa depan dengan rinci. Namun tafsiran Zodiak Cina mengajak kita agar lebih berhati-hati dan berwaspada. Ia merangsang kita agar menjadi perencana hidup yang lebih cermat bahkan tahu memanfaatkan potensi diri untuk hasil yang luar biasa.  

 

TAHUKAH ANDA? 

Jika Anda dilahirkan Pada Tahun 1996…

Individu yang lahir pada Tahun Tikus Api (1996) dikatakan bersifat spontan, menyukai cabaran baru walaupun ia sukar atau berat. Dia juga dikatakan selalu bersemangat, periang dan kerap menjadi penghibur teman-teman. 

    

Jika Anda dilahirkan  Pada Tahun 1997…

Tahukah anda, jika anda dilahirkan pada tahun 1997, maka anda merupakan Lembu Api? Lembu Api dikatakan dilahirkan dengan bakat kepimpinan semula jadi yang agak hebat, selalu dilantik sebagai orang penting di tempat kerja atau institusi pengajian. Meski menyerlah sebagai pemimpin, Lembu Api agak degil dan kurang suka mendengar pendapat orang lain. 

 

Jika Anda dilahirkan Pada Tahun 1998…

Insan yang lahir pada tahun 1998 bernaung di bawah zodiak Harimau Tanah. Satu sikap terpuji yang amat menonjol pada individu Harimau Tanah adalah sifatnya yang selalu berpijak di bumi nyata. Walaupun cita-citanya besar, Harimau Tanah realistik, tidak suka berangan-angan, bahkan selalu menimbang tara sesuatu isu itu daripada semua perspektif sebelum membulatkan keputusannya. Seorang yang gigih dan fokus apabila bekerja.   

 

Jika Anda dilahirkan Pada Tahun 1999…

Jika anda dilahirkan pada tahun 1999, maka anda bernaung di bawah zodiak Arnab Tanah. Tahukah anda, Arnab Tanah dikatakan jujur dan tidak pandai bermuka-muka? Namun, Arnab Tanah harus mengambil pendekatan berhati-hati apabila berbicara kerana ada masanya, nasihat yang keluar daripada mulut Arnab Tanah agak bisa sehingga menghiris perasaan orang lain. 

 

Jika Anda dilahirkan Pada Tahun 2000…

Bukan sahaja zodiak paling hebat antara 12 karakter haiwan-haiwan dalam Zodiak Cina, tahun 2000 menyaksikan kelahiran individu-individu ‘kental’ yang bernaung di bawah zodiak Naga Logam. Ya, mereka yang dilahirkan sebagai Naga Logam dikatakan bersemangat waja, bertekad tinggi dan berpegang teguh pada prinsip hidup. Naga Logam tidak takut berdepan lawan. Amat berbakat sebagai pemimpin sejati. 

 

Jika Anda dilahirkan Pada Tahun 2001…

Tahun 2001 merupakan tahun kelahiran individu yang berlindung di bawah zodiak Ular Logam. Ular Logam amat komited mencapai matlamat hidup. Tidak berputus asa, beriltizam tinggi, berani berjuang, malah sanggup berkorban apa sahaja untuk menggapai impian hidupnya. Dia juga dikatakan menyukai kemewahan. 

 

 

INI SIFAT & ZODIAK PERSONALITI TERKENAL YANG ANDA PERLU TAHU 

Ada beberapa personaliti ternama dunia yang bernaung di bawah karakter-karakter Zodiak Cina ini. Sangat menarik kerana setiap zodiak ini mempamerkan aura diri yang berbeza. Siapa mereka? Mungkinkah imej jati diri ini terpancar pada diri anda juga?  

 

    

 

Personaliti Tahun Tikus

Tahun Kelahiran: 1948, 1960, 1972, 1984, 1996, 2008

Siapa? Cameron Diaz, Louis Armstrong, William Shakespeare, Hugh Grant 

Kekuatan Diri: Bercita-cita tinggi 

 

 

Personaliti Tahun Lembu

Tahun Kelahiran: 1949, 1961, 1973, 1985, 1997, 2009

Siapa? Barack Obama, Margaret Thatcher, Puteri Diana, Charlie Chaplin   

Kekuatan Diri: Penyabar dalam mencapai sesuatu perkara yang diusahakan

 


 

Personaliti Tahun Harimau

Tahun Kelahiran: 1950, 1962, 1974, 1986, 1998, 2010

Siapa? Marilyn Monroe, Tom Cruise, Queen Elizabeth II, Ludwig van Beethoven 

Kekuatan Diri: Agresif, berani dan bersemangat dalam perjuangan 

 


 

Personaliti Tahun Arnab

Tahun Kelahiran: 1951, 1963, 1975, 1987, 1999, 2011

Siapa? Whitney Houston, Brad Pitt, Angelina Jolie, Albert Einstein 

Kekuatan Diri: Pemalu tetapi berbakat, bertanggungjawab dan selalu membuat kejutan tidak dijangka 

 

 

Personaliti Tahun Naga

Tahun Kelahiran: 1952, 1964, 1976, 1988, 2000, 2012

Siapa? Keanu Reeves, John Lennon, Martin Luther King

Kekuatan Diri: Bersemangat, berbara dan selalu berkobar-kobar dalam mencapai cita-cita 

 


 

Personaliti Tahun Ular

Tahun Kelahiran: 1953, 1965, 1977, 1989, 2001, 2013

Siapa? Taylor Swift, Oprah Winfrey, Pierce Brosnan, Abraham Lincoln  

Kekuatan Diri: Bijak, selalu waspada dan cermat dalam menyusun strategi 

 


 

Personaliti Tahun Kuda

Tahun Kelahiran: 1954, 1966, 1978, 1990, 2002, 2014

Siapa? Kristen Stewart, Jackie Chan, John Travolta, Neil Armstrong  

Kekuatan Diri: Popular dan pandai menarik perhatian ramai 

 


 

Personaliti Tahun Kambing

Tahun Kelahiran: 1955, 1967, 1979, 1991, 2003, 2015

Siapa? Julia Roberts, Bill Gates, Leonardo da Vinci 

Kekuatan Diri: Kreatif, inovatif dan menyukai perkara baharu 

 


 

Personaliti Tahun Monyet

Tahun Kelahiran: 1956, 1968, 1980, 1992, 2004, 2016

Siapa? Christina Aguilera, Will Smith, Tom Hanks

Kekuatan Diri: Cerdas, pantas dan cergas

 


 

Personaliti Tahun Ayam

Tahun Kelahiran: 1957, 1969, 1981, 1993, 2005, 2017

Siapa? Jessica Alba, Eric Clapton, Nancy Reagan 

Kekuatan Diri: Berjiwa perintis dan bertekad tinggi meneroka cabaran baharu 

 


 

Personaliti Tahun Anjing

Tahun Kelahiran: 1958, 1970, 1982, 1994, 2006, 2018

Siapa? Madonna, Sharon Stone, Elvis Presley, Bill Clinton, George W Bush 

Kekuatan Diri: Setia kepada yang insan yang disayangi 

 


 

Personaliti Tahun Babi

Tahun Kelahiran: 1959, 1971, 1983, 1995, 2007, 2019,

Siapa? Steven Spielberg, Wynona Ryder, Arnold Schwarzenegger 

Kekuatan Diri: Berhati mulia dan selalu rela mendahulukan orang lain 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.