Oct 15, 2014 - 6

Lelaki Atau Perempuan, Siapa Paling Hebat?

Berlainan gender bukan bermaksud kita perlu ‘berperang’ dalam meneruskan kelangsungan hidup. Sebaliknya perbezaan ini akan lebih mengeratkan lagi hubungan kamu

 


Berlainan gender bukan bermaksud kita perlu ‘berperang’ dalam meneruskan kelangsungan hidup. Sebaliknya perbezaan ini akan lebih mengeratkan lagi hubungan kamu, bisa menerbitkan kasih sayang sekali gus membenihkan harapan memiliki zuriat yang boleh kita letakkan harapan untuk membentuk generasi masa depan. Pun begitu, hakikatnya berbeza kerana saban hari kita mendengar kesaksamaan gender masih lagi dipertikaikan, kenapa?

 Walau diberi ‘ruang’ yang sama, wanita yang bijak tahu di mana duduk letaknya diri mereka, jauh sesekali meminta yang lebih dalam memperjuangkan masa depan mereka. Justeru, kaum lelaki yang diangkat sebagai nakhoda hendaklah bijak memainkan peranan mengemudi kehidupan. Jangan dibiarkan isu kesaksamaan gender ini membuatkan kamu boleh lepas tangan dalam melaksanakan tanggungjawab. Nanti kredibiliti dirimu bisa dipertikaikan pabila lebih ramai wanita berani tampil ke hadapan.

Ingatlah, wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk lelaki untuk dilindungi, bukan disakiti! Ini bagi memastikan hidup lelaki dan wanita dapat diteruskan dengan aman.

 

BERKASIH SAYANG PEREMPUAN

Dalam bab perhubungan, lebih 40% wanita mengatakan pasangannya memiliki ciri-ciri romantik, lantas membuatkan dirinya cukup bahagia kerana bisa meraih kasih sayang, dapat dibelai dan dimanja. Sehubungan itu, lebih 43% wanita akan

mengucapkan, “Saya cinta awak” sebagai membalas ucapan pasangannya. Malah, keinginan wanita dalam menjalin hubungan mesra mendorong mereka memilih calon paling cocok, yang memahami dirinya juga mencintainya. Atas faktor itu, hampir 55% wanita mengatakan bahawa mereka tidak berasa sama sekali ditekan oleh keluarga mahupun masyarakat untuk menikah. Kerana lazimnya

mereka mendapat pasangan seperti yang diharapkan. Tetapi 36% daripada mereka mengatakan mereka tidak akan menjalani hubungan dengan seseorang lelaki kecuali dia akan menjadi suami yang berpotensi. Pun begitu, hampir 20% wanita pernah diputuskan hubungan oleh pasangan melalui e-mel, chatting atau SMS.

 

BERKASIH SAYANG LELAKI

Bagi kaum Adam pula, 75% menyatakan dirinya cukup romantik walhal mereka kurang prihatin terhadap kehendak pasangannya, betul tak? Oleh itu, maka tidak hairanlah jikalau 18% lelaki mengatakan, “Saya cinta awak” hanya agar pasangannya boleh diajak berasmara. 

Lebih ‘tragis’ kerana 20% tidak pernah mengatakan bahawa yang diucapkannya itu ikhlas, ops! Lelaki turut memberi perhatian dalam soal perkahwinan apabila hanya 33% lelaki mengambil keputusan tidak meneruskan hubungan kecuali mereka berasa pasangannya itu calon isteri terbaik.

Dan 80% lelaki percaya bahawa memutuskan hubungan harus dilakukan secara bersemuka, dan bukannya menerusi SMS ataupun e-mel. Tak gentleman langsung! Kesimpulannya, dalam bab berkasih sayang, kaum wanita dilihat lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan mereka. Dalam mencari titik keserasian, kamu berdua haruslah bijak menyesuaikan diri agar bisa diterima.

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik: