Oct 07, 2014 - 24

Suamiku Psiko...

Kalau kahwin paksa sekalipun atau perkahwinan itu dirancang oleh ibu bapa, tidak seharusnya seorang suami itu memberi layanan buruk terhadap isterinya.

Suami-psyco-(1).jpg
Hawa yang dijadikan daripada tulang rusuk Adam seharusnya dilindungi dan dibelai dengan kasih sayang sejati, bukannya dikhianati. 
 
 
Kisah isteri kena sepak terajang dek kerana menegur kesalahan kecil yang dilakukan suami sudah acap kali didengar. Kadangkala Raden pun tak faham dengan situasi rumahtangga zaman sekarang terutamanya sikap suami yang seakan-akan mengalami sakit mental dalam mengemudi  ‘perjalanan’ seorang isteri bagi membentuk  sebuah keluarga bahagia, bukannya menjanjikan sengsara neraka. Yang buat Raden berasa ‘hairan bin ajaib’ adalah kerana perkahwinan bagi kebanyakan pasangan pada hari ini berlandaskan kepada cinta, jadi kenapa isu isteri didera harus terjadi? Kalau kahwin paksa sekalipun atau perkahwinan itu dirancang oleh ibu bapa, tidak seharusnya seorang suami itu memberi layanan buruk terhadap isterinya. Jadi, di mana silapnya institusi perkahwinan pada zaman moden ini?
 
Al-kisah kawan Raden yang telah berumahtangga dengan seorang pemuda tampan, bagai bulan jatuh ke riba. Bukan sahaja molek paras rupa, malah datang daripada keluarga berada. Pendek kata ramai dalam kalangan rakan-rakan Raden yang cemburu melihat dirinya dipinang lelaki sebegitu. Namun, rakan-rakan tidak tahu kisah sebenar selepas dia bergelar isteri.
 
Ditipu dek ketampanan rupa paras, hakikatnya suami dia kaki pukul ala tinju heavyweight macam yang biasa kamu tengok di kaca televisyen, WWF tu! Salah sikit kena pukul, lambat menyahut panggilannya kena terajang, masak tak sedap dibalingnya dengan pinggan. Macam mana badan isteri nak tahan? Lebam sana, lebam sini. Baru nak kebah rasa sakit sebab dipukul semalam, hari ini bibir pula pecah dan berdarah sebab kena ‘makan’ penampar. Kesiankan?
 
Satu lagi faktor yang membuatkan suaminya mudah naik berang apabila tiada wang di tangan. Ditambah dengan sikapnya yang malas bekerja, sudah tentu ini memburukkan lagi keadaan. Walaupun dia datang daripada keluarga berada, tapi kalau dah malas memanjang, orang tua mana nak taja kehidupan rumahtangga anak yang sebegini, bak kata orang negeri, “Buek perabih boreh je!”.
 
Si suami hanya akan bekerja kalau duit dah habis, nak beli sekotok rokok pun tak boleh. Adakala minta anak-anak merayu dengan empunya kedai runcit setakat nak berhutang harga rokok sekotak dua. Ada sekali, anaknya balik dengan tangan kosong sebab tuan kedai kata, “Cakap sama ayah, budak bawah umur 18 tahun tak boleh beli rokok.” Dush! Sekali anak pun kena tumbuk da… rupa-rupanya bab dera mendera bukan setakat isteri yang rasa. Anak-anak pun turut jadi mangsa.
 
Jikalau si suami ada duit, dia tidak lokek kongsi sama anak isteri. Dibelikan juga barang-barang keperluan dapur, cuma apabila tidak berduit saja si suami naik gila. Pun begitu, dalam setahun berapa kali sangatlah si suami berduit pun? Nak tak nak isteri kena berhempas-pulas menggalas tanggungjawab menyara keluarga. Siang malam asyik fikir nak cari duit, nak besarkan dan sekolahkan mereka. Sudahlah penat bekerja, balik rumah kena terajang ‘kaw kaw’ sebab hidangan malam belum disiapkan. Si suami panas baran sementelah dia kelaparan, lalu tubuh isteri terima penangan.
 
Insiden yang menimpa diri dan anak-anak membuat si isteri berfikir panjang, “Mungkinkah suamiku sakit mental?” Kemungkinan itu mungkin juga benar apabila suaminya pernah dihantar ke Rumah Bahagia Tanjung Rambutan. Ini berlaku apabila pada satu hari yang muram, ketika itu si suami demam (ala buat-buat demam sebab malas nak pergi kerja) dan melepek di kamar tidur sepanjang hari hingga ke senja. Tiba-tiba ibunya datang menyerang kerana si anak aka si suami tidak memulangkan wang yang dipinjam seperti dijanjikan. Leteran si ibu yang berdentam-dentum bagaikan guruh di langit membuatkan si suami hilang sabar lalu mengambil sebilah parang dan berlagak mahu menetak ibunya sendiri. Apalagi, melolong ketakutan orang tua tu lari ke rumah jiran sambil menjerit, “Anak aku dah gila! Anak aku dah gila!”. Melihat keadaan itu, jiran tetangga mengambil tindakan. Lalu datanglah sebuah van diikuti dengan beberapa orang pekerja pusat pemulihan lalu membawa si suami ke sana.
 
Hampir seminggu si suami ditahan, namun dia kemudiannya dilepaskan kerana hasil pemeriksaan membuktikan bahawa dia waras akal fikiran. Pulang sahaja ke rumah, si suami naik berang dengan si isteri kerana tidak mempertahankan tindakannya ketika ibunya sendiri menyerang. Hah! Baru kau tahu rasanya macam mana kalau kena serang ya!  
 
  
 
Hukum Memukul Pasangan
 
Apa-apa jenis keganasan adalah tidak direstui oleh ajaran Islam. Kitab suci al-Quran amat menekankan kasih sayang, kehalusan budi dan keadilan dalam perhubungan antara anggota keluarga dan melarang segala bentuk kezaliman. Rasulullah s.a.w juga telah bersabda bahawa, “Yang paling baik dalam kalangan kamu adalah mereka yang paling sopan terhadap isterinya.”
 
Perbuatan suami yang memukul isteri dianggap sebagai suatu penganiayaan dan salah di bawah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Sekiranya suami disabit kesalahan menganiayai isterinya maka beliau boleh dihukum denda hingga RM1,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali (Seksyen 127 Akta).  

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik: