Jan 14, 2017 - 16105

“Kereta dan Motosikal Kami Pernah ditarik Pada Hari Bapa” — Datin Ira Ghani dan Prof. Ibrahim, Kini Pembina Legasi Aura Seri

"Dalam hidup berumahtangga, janganlah cari kesempurnaan, maka sempurnalah rumahtangga itu.”

 

Oleh: Norhaizan Ahmad

 

 

 

Sumber foto: Instagram @datiniraghani

 

 

 

MESKI pesanan itu ringkas bunyinya, namun ia membawa maksud yang cukup mendalam dalam kehidupan berumahtangga. Bagi pasangan Profesor Datuk Dr. Ibrahim Ahmad dan Datin Norzaina Ghani atau lebih mesra disapa sebagai Ira Ghani, dugaan besar pada awal perkahwinan mereka telah menguatkan lagi ikatan suci yang dibina. Justeru, mereka memohon kepada bakal pengantin baru pada hari ini agar menitikberatkan persedian mental berbanding material sebelum tibanya hari bahagia manakala pasangan suami isteri disaran mencari titik persefahaman bagi menjamin kerukunan rumahtangga.

 

Kepincangan dalam perhubungan membuatkan peratusan pasangan bercerai meski baru setahun dua mendirikan rumahtangga semakin tinggi. Ini cukup membimbangkan! Sementelahan ada individuyang membelanjakan hingga ratusan ribu ringgit untuk majlis perkahwinan gilang-gemilang tetapi rumahtangganya tidak bertahan hingga ke jannah! Kenapa?

 

Berkongsi cerita sama InTrend, Prof. Ibrahim yang berasal dari Sungai Petani, Kedah mengakui yang dirinya pernah tidak bekerja beberapa bulan selepas berkahwin, pernah menumpang di rumah orang tua juga teman-teman, malah menebalkan muka menjejakkan kaki ke pajak gadai semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup berumahtangga.

 

Namun semua yang berlaku adalah ujian buat mereka berdua untuk menjadi lebih ‘kuat’ dan tabah berdepan cabaran hidup. Apa kata kita selusuri detik pahit manis mereka sebagai suami- isteri untuk dijadikan pedoman. 

 

 

 

 

Bersusah-susah Dahulu...

Menurut Datin Ira, mereka bertemu ketika kedua-duanya bekerja di sebuah hotel lima bintang di Pulau Pinang sekitar 1998. Pada ketika itu, Prof. Ibrahim memegang jawatan sebagai ketua dan Ira yang baru masuk bekerja mendapat perhatian daripada Prof. Ibrahim.

 

“Baru dua hari bekerja, saya demam. Bukan apa pun, cuma demam sebab tak boleh bercakap, suara tak keluar. Disebabkan tugas saya perlu berkomunikasi dengan tetamu hotel maka ini menyukarkan saya melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja. Sebagai ketua, Prof. banyak mengambil berat dengan membawa saya berjumpa doktor. Biarpun dia baik dengan saya namun saya menghormatinya sebagai ketua dan tidak pernah terniat mahu mengambil peluang mendekatinya,” ujar Ira ramah.

 

Tambah Ira lagi, selepas mendapat cuti sakit dia bercadang pulang ke kampungnya di Bagan Serai, Perak. Ketika itu, Prof Ibrahim bersungguh-sungguh mahu menghantarnya meski dia menolak disebabkan malu kerana dia pekerja baru, juga bimbang dengan tanggapan keluarga dan orang kampung kerana membawa balik seorang lelaki yang baru dikenali. Dek kerana sikap Prof. Ibrahim yang matang dan pandai mengambil hati maka keluarga Ira menerima dengan hati terbuka. 

 

 

 

❤🌹 #auraseri #iraghani #PRODIA

A photo posted by DIG (@datiniraghani) on

 

 

Daripada situ, hubungan kami menjadi rapat. Dua minggu selepas itu, Prof. hantar rombongan meminang. Saya bagi tempoh dua tahun kerana waktu itu umur saya baru 20, masih terlalu muda dan saya pun belum bersedia untuk berkahwin. Namun, kita hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Selepas tiga bulan bertunang, kami bernikah.”

 

“Majlis perkahwinan dibuat ala kadar sahaja. Buat yang wajib, ada duit mas kahwin dan hantaran. Kami hanya mampu sewa baju pengantin dengan harga RM150. Pelamin saya jahit sendiri untuk jimatkan kos. Yang sedihnya kala majlis bertandang di Sungai Petani, pelamin pun tak ada, setakat duduk atas kerusi biasa- biasa,” jelas Ira lagi. 

 

 

 

 

Bagaimanapun tambah Ira, ujian pertama bermula apabila suaminya mengambil keputusan berhenti kerja kerana tidak mahu makan gaji, sebaliknya hendak memulakan perniagaan. Tetapi masalahnya, Prof. Ibrahim tidak tahu di mana hendak bermula dan perniagaan apa yang hendak dijalankan. Bulan demi bulan Prof. Ibrahim tidak bekerja dan pelbagai masalah mula timbul sehingga mereka suami isteri hilang punca untuk mencari sesuap nasi.

 

Saya berhenti kerja makan gaji kerana saya ada impian untuk jadi orang yang berjaya. Saya sedar akan potensi diri yang akan lebih berjaya jikalau bekerja sendiri berbanding makan gaji. Namun rezeki tidak datang bergolek. Terlalu banyak keperitan yang terpaksa kami lalui pada awal perkahwinan dulu.

 

Bermacam-macam jenis perniagaan saya dah buat seperti menjual insurans, jualan langsung, jual Kodak, jual kain baju dari rumah ke rumah macam orang Benggali, jual lidi sate dan sebagainya. Pendek kata, bermacam-macam kerja sudah saya buat namun rezeki masih belum memihak kepada saya,” jelas Prof. Ibrahim dalam nada sebak mengingatkan kesusahan yang pernah dilalui bersama isteri. 

 

 

 

Dinner with My Son... @gz.03 love u so much 😘😘😘😎😍😍 #auraseri #iraghani #love #myson #mylove

A photo posted by DIG (@datiniraghani) on

 

 

Dugaan Silih Berganti, Tapi Setia Bertakhta di Hati 

Selepas berkahwin pasangan ini menumpang teduh di rumah keluarga Ira di Bagan Serai. Adat duduk menumpang, mula-mula orang suka tetapi lama-kelamaan orang naik benci apatah lagi Prof. dan Ira tidak ada pekerjaan tetap. Sebaik habis berpantang 44 hari anak pertama, keluarga Ira memberi kata putus kepadanya sama ada mahu memilih keluarga ataupun suami. Jikalau Ira memilih untuk mengikut suami, dia perlu keluar dari rumah orang tuanya segera.

 

“Pada hari raya keempat kami bungkus kain baju dan keluar dari rumah emak saya, kemudian menumpang pula di rumah mak mentua di Kedah. Meski keluarga mentua menyambut kedatangan kami dengan baik namun saya bertekad mengajak suami untuk berpindah kerana tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’. Kemudian kami menumpang di rumah kawan di Taiping.”

 

Selepas berpindah menumpang dari satu rumah ke satu  rumah, kami bertekad menyewa rumah. Kesukaran hidup kami ketika itu hanya Tuhan yang tahu. Kami gadai semua barang kemas dan mulakan perniagaan menjual produk kesihatan. Selain itu, suami mula merawat pesakit menggunakan kaedah alternatif menggunakan aromaterapi, aura, tenaga dan sebagainya,” ujar Ira. 

 

 

 

 

Biarpun melalui kehidupan yang sukar, namun Prof. Ibrahim dan Ira tidak pernah berputus asa. Melalui segala keperitan membuatkan hubungan mereka semakin erat. Bagi Ira, sebagai isteri dia kena senantiasa percaya apa sahaja yang suami lakukan sekali gus mendorong pasangan untuk lebih berusaha. Apa yang penting bagi mereka, “Kita kena berani ambil risiko dalam hidup ini jika mahu berjaya suatu hari nanti.”

 

Turning point bagi diri saya untuk membuat perubahan 360 darjah berlaku pada Hari Bapa apabila kereta dan motosikal saya ditarik pihak berkenaan kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan. Hati saya bagai dirobek ketika itu kerana tiada apa yang mampu saya berikan kepada keluarga saya,” jelas Prof. Ibrahim dalam nada sebak sambil matanya berkaca-kaca. 

 

 

 

 

Berhijrah Membawa Tuah dan Bahagia 

“Selepas bertahun menanggung keperitan hidup akhirnya kami ambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib pada 2003. Dengan bermodalkan sedikit wang, kami memulakan perniagaan Aura Seri dan kursus motivasi secara kecil-kecilan. Pada awalnya tidak ramai yang mengetahui mengenai kursus motivasi yang dijalankan, namun lama-kelamaan ia mendapat sambutan hangat hasil bantuan beberapa teman media.”

 

“Justeru, kami berdua seboleh-bolehnya tidak akan menolak permintaan pihak media untuk ditemu bual. Kami bukannya gila glamor seperti yang orang sangka kerana wajah kerap terpampang di majalah, keluar di surat khabar juga televisyen, tetapi semua ini dilakukan sebagai tanda penghargaan kami kepada pihak media yang banyak membantu. Tanpa mereka siapalah kami,” jelas Ira panjang lebar. 

 

 

 

 

Bakat yang ada tidak dipersiakan dan hari ini setelah 11 tahun, Prof. Ibrahim yang merupakan pengasas program Millionaire Mindpower dan pemilik syarikat Dr. Ibrahim Training & Consultancy amat bersyukur kerana limpahan rezeki yang dikurniakan.

 

Tambah Prof. Ibrahim, “Saya minta kepada suami-suami di Malaysia supaya membantu pasangan masing-masing agar sama-sama berjaya. Janganlah
kita seorang sahaja yang terkenal, tetapi isteri dibiar terperuk di dapur. Raikanlah pengorbanan isteri dengan mengenal pasti kelebihan dan kekurangannya, bantu dia untuk menyerlah, insya-Allah kebahagiaan akan berganda.” 

 

 

 

Puan Rozana In The House... #auraseri #DIG #iraghani #KeranaAnisa #tudungkoleksiariani tqsm

A photo posted by DIG (@datiniraghani) on

 

 

Sementara Ira pula kini yang dahulunya tidak mengetahuiapa-apa mengenai imej dan penampilan diri merupakan pengasas Aura Seri Spa and Beauty dan mampu memberikan kursus imej serta penampilan kepada beribu-ribu wanita. Kerana kesungguhannya,Ira dianugerahkan Anugerah Personaliti dan Imej Terbaik 2011 daripada Universiti Teknologi Mara dan Anugerah Usahawan Muda 2011 oleh Universiti Malaya. Ira juga merupakan finalis Wanita Ikon 2005, Mentor Program Peruncitan Bumiputera Mara lima tahun berturut-turut dari 2007 hingga 2011.

 

Hasil perkahwinan selama 16 tahun, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Danish Irfan dan Muhammad Danish Roshan. Prof. Ibrahim mengakhiri perbualan dengan berkata, kemanisan hidup berumahtangga mereka adalah kerana mereka sama-sama pernah hidup susah, sama-sama senang, saling mengingati dan saling menghormati. Dan, itulah rencah untuk rumahtangga yang bahagia. 

 

 

 

Love my family so much 💖💕❤💋😙😘😚😍 #auraseri #iraghani #DIG #myfamily #love

A photo posted by DIG (@datiniraghani) on

 

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.