Apr 15, 2017 - 787
Oleh: Norhaizan Ahmad
Sumber foto: Shutterstock.com
KEMALANGAN. Siapa pun tidak akan pernah menjangkakan bila ia akan berlaku. Esok, lusa atau sekejap lagi. Sebagai pemandu, InTrenders disarankan mengambil polisi insurans kenderaan yang mencapai piawaian dan benar-benar membantu anda kala ditimpa kesusahan.
InTrend kongsikan LIMA perkara yang perlu anda ketahui sebelum mengambil polisi insurans kenderaan ataupun sebelum memperbaharui cukai jalan (road tax) kenderaan di dalam nota polisi insurans sebelum ini.
Sumber foto: Shutterstock.com
PANDUAN 1
Jumlah Perlindungan Insurans Perlu Mencukupi
Sebaik-baiknya InTrenders perlu mengambil perlindungan insurans kenderaan berdasarkan harga pasaran. Sekiranya anda mengambil perlindungan di bawah harga pasaran, lazimnya akan menimbulkan masalah ketika membuat tuntutan. Misalnya, kereta MyVi anda sepatutnya dilindungi dengan harga pasaran RM50,000 tetapi anda hanya mengambil perlindungan RM40,000. Maka apabila berlaku tuntutan kelak, anda hanya layak 80 peratus sahaja daripada nilai tuntutan. Sekiranya jumlah kerosakan RM10,000, anda hanya layak membuat tuntutan RM8,000 manakala yang selebihnya (RM2,000) anda perlu bayar sendiri.
PANDUAN 2
Ambil Polisi Perlindungan Menyeluruh
Anda disarankan mengambil polisi perlindungan menyeluruh atau comprehensive. Jika mengambil perlindungan pihak ketiga (third party claim), akan menyukarkan anda tatkala membuat tuntutan nanti.
PANDUAN 3
Perlindungan Asas Hanya Untuk Badan Serta Enjin Kereta Sahaja
Disebabkan cermin kereta paling berisiko untuk retak atau pecah, maka anda digalakkan untuk mengambil polisi tambahan untuk cermin kereta. Ini akan meringankan beban anda sekiranya cermin hadapan kereta retak disebabkan batu-batu kecil yang jatuh dari lori misalnya.
PANDUAN 4
Perlindungan Tambahan Untuk Pemandu Kedua
Perlindungan untuk pemandu kedua (second driver) lazimnya diberikan secara percuma. Ya, anda perlu menamakan pemandu kedua bagi memudahkan proses tuntutan sekiranya kemalangan berlaku ketika pemandu kedua yang membawa kenderaan. Selalunya pemandu kedua adalah pasangan anda. Jika tidak, seandainya pemandu lain yang membawa kereta dan berlaku kemalangan, prosesnya agak rumit dan kemungkinan akan dikenakan bayaran tambahan.
PANDUAN 5
Ambil Nombor Telefon Ejen Insurans Atau Talian 'Hotline' Syarikat Insurans
Langkah penting ini bertujuan untuk memastikan nombor-nombor ini mudah dihubungi apabila berlaku kemalangan. Ia bagi memudahkan proses tuntutan.