Jun 11, 2018 - 867

Bila Nafsu Suami Orang Bercas-cas Pada Isteri Orang, Wanita ULAR API! — KISAH BENAR Ini Buat Ramai Terkesima

Kadang-kadang, memang seronok membaca perkiraan Zodiak Cina ini. Ia tahyul. Tapi secara kebetulan, banyak pula yang terkena dan mengena. Kami ada kisah benar untuk anda.

 

 

Teks: Rosie Haslinda Nasir 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

BANYAK orang malah banyak juga sumber bahan bacaan berkaitan hal-hal zodiak dan astrologi memaktubkan bahawa, insan yang lahir dalam Tahun Naga adalah cantik jelita berparas rupawan (jika dia seorang perempuan, ehem, betulkah?) dan kacak tampan menggetar perasaan (jika dia seorang lelaki). 

 

Eiii, benarkah? 

 

Berwaspadalah dengan apa yang anda baca. Kedua-dua nilai ini — menjadi jasad yang elok lagi molek secara badani — bukanlah jaminan cinta kita dan dia tidak akan pernah goncang hingga penghujung hayat nanti. Kerana dikatakan lelaki itu memiliki sembilan akal dan satu nafsu. Manakala wanita pula didenyutkan oleh satu akal dan sembilan nafsu. 

 

Yang benar, penyatuan cinta itu, seharusnya dibangunkan oleh banyak faktor terimbang toleransi, kesefahaman tingkat rohaniah, tarikan besi berani hubungan badaniah, ekonomi yang saling dipersetujui, pertembungan emosi yang saling melengkapi, rumpun famili yang serba mengerti dan menghormati; juga kekurangan-kekurangan serta kelebihan-kelebihan suami isteri yang merawat cela masing-masing. Lalu akhirnya, mengangkat darjat pasangan ke satu makam manusiawi yang lebih tinggi. 

 

Bukankah SEMUA yang di atas antara tujuan sebenar kita menyerahkan jiwa raga sewaktu kita bersetuju untuk dikahwini? 

 

 

Betulkah Orang Tahun Monyet Boleh Rentung Kena Sembur Dengan Naga Api?

Saya, dalam putaran roda zodiak Cina, dimaktubkan sebagai seekor Naga — Naga Api. Manakala suami digalurkan sebagai Monyet Tanah! Mungkinkah Monyet Tanah ini hangus rentung dilahar Naga Api? 

 

Kerana dalam banyak segi; sikap, kecenderungan dan tingkah-laku Naga Api, memberi banyak kesamaan dengan babak kehidupan saya yang sebenar. Tidak saya ketahui apakah sekadar kebetulan atau kerana pengaruh bintang dan bulan? Naga Api dikatakan antara zodiak paling digeruni dalam Astrologi Cina, dinyatakan sebagai bercita-cita tinggi, berkobar-kobar, pantas, perfectionist. 

 

Namun Naga Api cenderung membuat keputusan yang salah jika sedang marah. Maka mungkin inilah keindahan jodoh takdir Allah yang menyatukan saya dengan Monyet Tanah — yang dikatakan sebidang bahu yang baik untuk bersandar dan menangis, disebut-sebut sebagai insan yang boleh dipercayai, bersifat menyejukkan, memiliki daya ingatan serta fokus yang sukar digugat. 

 

Kebetulan yang sangat benar! 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

Bila Isteri Ular Api Main Asmara Dengan Suami Orang, Si Kambing Api! 

Kenalan seorang sahabat saya memberitahu, isterinya (berzodiak Ular Api), sedang hangat bermain asmara dengan lelaki sejabatan di pejabat kerajaan. Kekasih gelapnya itu lelaki berkarisma, bergred tinggi, bukan calang-calang bicaranya jika masuk mempengerusi mesyuarat tertinggi. 

 

Cinta terlarang yang dibajakan isteri orang ini tidak bertepuk sebelah tangan. Kerana rupanya nafsu suami orang yang berbintang Kambing Api yang sudah tertumpul itu; bercas-cas dengan maraknya setiap kali terpandangkan si wanita Ular Api! 

 

Aduh, aduh. Wanita Ular Api itu sedikit lagi terjerlus ke ranjang bersama kekasih gelap. Mujur suami Ular Api cepat menyedari lantas segera membawa isterinya lari, terbang jauh ke kota Dubai.

 

“Kita dianjurkan agar tidak takut untuk berhijrah. Maka inilah pengorbanan dan hijrahku, untuk menyelamatkan perkahwinan kami,” kata suami wanita Ular Api yang berbintang Babi Logam. 

 

Ya, seperti terserlah seluas-luasnya karisma Babi Logam, yang dimaktubkan sebagai manusia yang tegap pada luaran, cermat, bijak menyimpan perasaan, tidak mudah tunduk pada emosi. Ternyata Ular Api yang ekstrovert, handal memujuk rayu, pandai mencairkan hati lelaki; pun akhirnya berserah pasrah kepada suami. 

 

 

Setapak Lagi Wanita Ular Api Terlanjur ke Ranjang

Wanita Ular Api kembali ke pangkal jalan perkahwinan, menarik semula kakinya yang hampir terlanjur ke ranjang orang lain, bermuhasabah. Kini khabarnya dia orang penting dalam organisasi keagamaan yang aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan, dalam dan luar negara. 

 

Begitulah, sekali air bah, sekali pantai berubah. 

 

Ya, tidak kiralah jika kita ini seekor Harimau Logam dan si dia seekor Arnab Air yang mudah berkecaian di celah kuku dan taring kita. 

 

Seharusnya perkahwinan itu membawa rahmat hijrah tidak terbanding. Perkahwinan itu mewaraskan keanehan-keanehan kita, perkahwinan itu menjinakkan perilaku liar zaman bujangan, malah perkahwinan itu menundukkan kesombongan dan kemandirian kita kerana barangkali kehidupan lalu sebagai wanita solo telah berlangsung terlalu lama, sehingga hati kita menjadi keras seperti batu. 

 

Ya, perkahwinan itu rumah indah. 

 

Tangan kitalah yang menghias atau mengotorkannya. 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.