May 01, 2017 - 750

DIARI CIK CANTIK: Hijabi Zaman Sekarang Makin Pelik — Bangga Pakai Label Tapi Tudung Terjungkit, Dada Tertonjol!

Ya, macam-macam perangai hijabi zaman ini. Beli tudung mahal sebab nak menunjuk, “Aku mampu!” Bertudung litup tutup aurat tapi mulut jahat ‘tak ingat’. Inikah hijabi Malaysia gelombang baru?

 

 

Oleh: Miss Cherry 

 

Sumber foto: Shutterstock.com

 

 

 

 

PABILA bertempik-tempik orang buat gila di depan kedai Tudung Fareeda suatu masa dulu, Miss Cherry naik angin. Bukan kepada pemilik label tetapi orang yang datangnya tak dipaksa, perginya tak dihalau! Rata-rata menyalahkan pemilik kedai, sedangkan yang datang semuanya bukan anak bawah umur yang tak berakal. Mak bapak budak yang tentu dapat bezakan rasa malu dan tidak. Rasa panas berhimpit-himpit. Rasa selesakah membeli cara begitu?

 

Miss Cherry kalau nak beli tepung pun ambil masa lima minit untuk buat keputusan muktamad tepung label mana mahu dibawa pulang? Itu pun ke pasar raya paling tak ramai orang, barulah tenang macam di tepian pantai. Kalau ke Masjid India pun Miss Cherry sudah rasakan deritanya, inikan pula berhimpit berpeluh ketiak bertolak-tolak; hanya untuk sehelai tudung?

 

Adakah benar penangannya label itu? Atau orang kita ini sengaja suka kalau disogok dengan suasana begitu, ingin jadi antara yang terlibat? Tambah-tambah dalam dunia viral sekarang, semua mahu menjadi pelapor dan peneraju berita sensasi. 

 

Tapi menurut kata pemiliknya pula, yang datang itu rata-rata peniaga juga yang akan menjual semula edisi terhad koleksi tersebut. Ermm… ada logiknya. Sebab itu Miss Cherry tengok yang bersesak-sesak itu pun bukannya semua bertudung Fareeda, ada pula abang-abang macam bouncer. Takkanlah nak hadiah kepada emak sampai sanggup jadi lagu tu, kan?

 

 

Kenapa Perangai Para Hijabi Kita Zaman Sekarang Makin Pelik-pelik?

Okey, Miss Cherry cuba letakkan diri Miss Cherry di tempat mereka. Katakanlah Miss Cherry teringin benar baju H&M latest collection, edisi terhad pula tu. Apa rasanya setelah lama menunggu, akhirnya Miss Cherry miliki dan dapat sarungkannya? Mungkin itulah yang mereka rasa. 

 

Tapi… tapi… untuk memiliki baju H&M latest collection, edisi terhad itu Miss Cherry tidak perlu sampai berasak-asak, bawa toto tidur depan butik H&M atau ambil nombor. Oh, Miss Cherry masih belum boleh hadamkannya! 

 

Makin pelik hijabista-hijabista kita sekarang. Adakah ini yang dikatakan apabila fesyen melebihi objektif syariat? Sedangkan Islam itu menuntut umatnya bersederhana apatah lagi dalam menutup aurat. Kenapa menyeksa diri sampai begitu sedangkan kamu punya pilihan lain yang berfungsi serupa?

 

Patutlah sekarang orang berlumba-lumba nak buat bisnes tudung. Orang dah tak minat dengan perniagaan ala-ala, “Tan Sri, kita dapat projek satu juta” atau “Datuk, hari ini melawat site di Hartamas ya…”

 

Itu semua lakonan drama Melayu era 90-an. Sekarang perniagaan itu hanya sesuai dalam skrip drama TV saja, realitinya orang sekarang nak kaya, jual tudung sudah. Lakunya bukan seringgit dua, mencecah jutaan ringgit! Jadi, Miss Cherry tak hairanlah sekarang ini artis pun bukan main lincah terbitkan label tudung sendiri. Seminggu bertudung, esoknya sudah lancarkan tudung begitu begini. Ada juga ‘jual dulu, pakai kemudian’. Hahaha... Tak apa, Miss Cherry sokong juga. Berniaga sajalah asalkan mencari rezeki halal, ya tak?

 

 

Nak Berfesyen dan Berlabel Tak Salah, Tapi Syariat Jangan Tercicir

Apa pun konsepnya, pesan Miss Cherry berfesyen-berfesyen juga, syariat jangan tercicir. Jangan pentingkan label sahaja, sedangkan potongannya menjungkit ke dada. Jangan fikirkan material semata, sedangkan tipisnya tebal lagi kulit bawang. Jangan lebihkan rekaannya, sedangkan ratusan ringgit terbazir membawa kepada pemborosan. Membazirkan amalan syaitan! 

 

Jadi, kalau sudah memilih untuk berhijab, hijabkan sekali nafsu diri. Jadilah hijabi yang bijak. Yang memutuskan sesuatu menggunakan akal. Tentu lebih manis. Sudahlah bertudung, mengikut syariat, sopan, pandai pula berfikir. Barulah nak selfie, tak rugi like!

 

Akhir kata, ingin Miss Cherry tegaskan, jangan salah faham dengan apa yang Miss Cherry lontarkan tadi. Miss Cherry sayang hijabi-hijabi semua, sudah manis bertudung. Sudah terlaksana satu perintah. Jadi jangan contengkan dengan sedikit calar.

 

Tidak salah berfesyen. Perempuan mana tidak suka terlihat cantik dan bersiap? Tetapi, yang cantik pada mata kamu belum tentu cantik di mata orang dan paling penting di mata yang di atas sana. 

 

Kita ni umpama duta agama. Ke mana pergi dengan sehelai kain di atas kepala itu membawa pelbagai mesej bukan sahaja kepada yang Islam malah yang bukan Islam. Jadi, bersantai sudah dalam berfesyen, okey? Kalau sudah molek, terserlahlah nanti daripada budi yang cantik.      

 

“Fashion is not something that exists in dresses only. Fashion is in the sky, in the street, fashion has to do with ideas, that way we live, what is happening.” – Coco Chanel

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.