Aug 06, 2016 - 153

“Subuh-subuh di Bandaraya Brussels dan Saya Sedikit Lagi Mahu Pelangkung Kepala Dia!” — Anda Pasti Terkejut Apa Terjadi Selepas Itu…

Tidak semuanya tenang di bumi orang, kadang-kadang ada emosi yang terlepas. Mengembara bersama orang lain, sentiasa ada musibahnya, seperti ada jarum yang sengaja dicucuk...

Oleh: Saharil Hasrin Sanin

 

Sumber: http://primarycarerecruitment.ie


SAYA jadi benci betul dengan dia, meluap-luap macam api, mahu meletup macam bom atom, rasanya. Di sekeliling kami adalah kabut musim bunga, lembut dan putih dan menyelimut bumi tenang dan dingin, seolah kapas; dan di dalam kepala saya adalah yang buruk-buruk sahaja.
 

Subuh-subuh di Bandaraya Brussels dan saya sedikit lagi mahu pelangkung kepala dia.


Kami bertiga, saya dan Azlan dan Ikhwan. Tiba di Brussels awal pagi dan kami cepat-cepat menempah bilik hotel murah, mempamerkan senyum dan kad pelajar di kaunter untuk mendapat diskaun. Duduk sekejap di katil masing-masing dan kemudian kami bertelagah. Semua mahu menjadi ketua. Saling tidak mahu bertolak ansur. Perkara biasa, saya sudah mengagak dari awal.

Bila bercuti dengan orang lain, memang payah untuk membuat keputusan. Semua orang mempunyai destinasi masing-masing, tempat yang mahu dilawat, tempat yang mahu dihindar. Maka kami bertengkar. (Tetapi, sebenarnya, kalau difikirkan semula sekarang ini, pertelagahan di dalam bilik hotel subuh-subuh di Brussels itu adalah pertelagahan biasa sahaja, tetapi saya yang tidak pasal-pasal naik marah meluap luar biasa.) 
 

Ketika itu saya masih budak. Saya ada masalah hormon agaknya.


Azlan mahu ke Mini Eropah (lebih kurang macam Mini Malaysia, tetapi dengan bangunan-bangunan Eropah seperti Colloseum dan Big Ben). Yang paling vokal minta dituruti adalah Ikhwan, dia mahu ke Manneken Piss. Saya pula mahu melihat Atomica. Azlan, akhirnya, seperti pak turut tidak mampu membuat keputusan, tidak tahu mahu menyokong siapa. Mini Eropah pun jadi hambar, dia hilang minat.

Hati saya meluap.


Selepas saya pelangkung Ikhwan, saya akan pelangkung kepala dia pula.


“Atomica!” kata saya. “Atomica!” Berulang-ulang macam bahalul. Sebenarnya, tempat itu, namanya bukan Atomica pun, tetapi Atomium; ketika itu saya tidak tahu. Ia adalah satu bangunan pelik (kalau ia boleh dipanggil bangunan) yang dibentuk daripada struktur bebola, setiap satu biji menyimbolkan atom karbon. Sejak dari budak lagi, setelah melihat gambarnya dalam majalah – pelik dan unik, seperti bangunan dalam cereka sains – saya sudah berangan-angan mahu menjejakkan kaki, melihat di hadapan mata. “Atomica!” kata saya, belum habis lagi bahalulnya.

Atomium dibina pada tahun 1958 sempena Ekspo Dunia, kononnya mahu melawan Menara Eiffel di Paris. Direka bentuk oleh arkitek Belgium bernama Andre Waterkeyn, Atomium sebenarnya dirancang mahu dimusnahkan selepas 6 bulan berlangsungnya Ekspo Dunia. Tetapi, sampai sekarang ia masih tegak berdiri, menjadi simbol sejarah bandaraya Brussels, seperti Menara Eiffel untuk Paris juga. Tujuan asal pembinaannya, untuk menyaingi Eiffel, sekarang ini, sedikit sebanyak, sudah tercapai.

Akhirnya, keputusan pun tersimpul. Kami ke Manneken Piss.
 

Perasaan tidak puas hati dalam benak saya, Tuhan sahajalah yang tahu.


Saya beritahu mereka saya mahu berpecah tetapi saya sebenarnya tidak berani. Keluar dari bilik hotel, kami berjalan bertiga, meredah kabut sambil menundukkan kepala. Matahari baru mahu terbit, tetapi cahayanya tidak langsung memberi haba. Walaupun memakai kot tebal, di tengah-tengah musim bunga, dipancar bilah cahaya matahari, tetapi sejuk tetap juga sampai ke tulang.

Saya memasang muka monyok, dan bila Azlan memandang saya, dia tersengih separuh memerli, lalu saya kata: “Atomica!”

 

Saya belum puas hati.


Dalam dingin yang menggigit, kami melangkah ke Manneken Piss, berpandukan peta daripada hotel. Saya separuh menggigil walaupun hati saya panas, terasa seperti sedang bersiar-siar dalam peti sejuk. Kami berhenti sekali-sekala, di hadapan Istana Besar, kedai-kedai yang masih tutup, bangunan-bangunan lama, melihat-lihat, mengambil gambar foto. Brussels adalah bandar tua, banyak binaan bersejarah berdekad-dekad usianya, lorong-lorong sempit, seni bina lama, bangunan-bangunan besar dan gah, dipelihara dan diperindahkan, dipasang neon dan papan tanda reka bentuk kontemporari dan futuristik. Kadang-kadang saya berasa seperti tersesat dalam fairytale moden pula.

“Manneken Piss!” Kata Ikhwan lagi, sebenarnya separuh mahu mengejek saya. Dan satu blok kemudian, kami pun tiba, dan ia pun timbul menyeringai di hadapan mata. Manneken Piss itu, ertinya, Budak Kecil Kencing, lebih kurang, daripada perkataan piss pun sudah dapat mengagak.


Dengan megahnya, dia kencing di hadapan kami.


Sumber: viajesdeeuropa.com


Begini keadaannya: Budak lelaki kecil, masih bayi agaknya, sedang berbogel dan berdiri, dan membuang air kecil di khalayak ramai, memancut memercik terus ke dalam kolam, dan ada segelintir orang akan menadah airnya di dalam cawan, atau dalam telapak tangan, sambil ketawa geli hati, ketawa separuh malu, kemudian meneguknya. Selamat datang ke Brussels, Belgium, wahai para pengunjung sekalian.
 

Nah, baja urea ini, jemputlah minum. Jangan segan-segan.


Tetapi, sebenarnya ia patung sahaja, diukir oleh Jerome Dequesnoy daripada gangsa, air yang dia pancutkan adalah air biasa sahaja (menyegarkan bila saya rasa, tetapi, kemudiannya, saya seperti tidak sedap perut pula – mungkin kencing budak itu berbakteria) (dikatakan, versi asalnya dulu, ia memancutkan arak). Sebenarnya, Manneken Piss adalah satu lagi simbol utama bandaraya Brussels, selain Atomium.

Waktu ini, dalam zaman globalisasi sekarang ini, di mana-mana sahaja, kamu boleh jumpa patung replika atau gambar atau sticker Manneken Piss, atau Piss lain yang lebih kurang dengannya (Jeanneke Piss adalah versi perempuan, dia tidak melakukannya sambil berdiri, tetapi mencangkung). Budak Kecil Kencing ini, dia sudah popular sekarang.


Di hadapannya, memeluk tubuh kesejukan, Azlan berkata: “Kecilnya budak ni. Daripada gambar, ingatkan besar.”


Ikhwan: “Jangan cakap kuat-kuat, nanti kalau dia dengar, dia kecil hati.”
 

Saya: “Atomica!”


Mengikut lagenda asal-usul patung pancuran itu, dulu, pada tahun 1142, ketika daerah Brabant sedang berperang dengan Berthouts, Duke Godfried II yang mengetuai pasukan Brabant telah meletakkan seorang bayi di dalam bakul dan menggantungkannya tinggi-tinggi di atas dahan pokok. Tujuannya, kononnya, adalah untuk memberi semangat kepada pasukan yang dia ketuai (bukan untuk menyeksa bayi itu).


Tetapi, ketika pasukan Berthouts melintas di bawah pokok itu, mereka tiba-tiba dikencingi oleh bayi tersebut, menyebabkan mereka lari terkejut.


Pasukan Brabant memenangi pertelingkahan. Perang ditamatkan oleh urea. Ini asal-usul perang biologi, kiranya.

Rancangannya, kami akan berada di Belgium sebentar sahaja, mungkin sehari sahaja, dalam perjalanan mahu menjelajah ke negara lain. Belgium adalah negara yang kecil dan masa kami suntuk, cuti tidak boleh diambil terlalu lama, jadi kami perlu mencatu masa, memilih mahu melihat tempat-tempat yang utama sahaja. Sebab itulah keputusan menjadi penting, dan pertelagahan jadi zahir. Saya pun sudah mengagak.
 

Bagaimana kami mahu mencatu masa yang tinggal sedikit, kalau kepala kami lain-lain kehendaknya?


Belgium terletak di utara Eropah, pertembungan beberapa budaya yang datang melimpah dari seluruh Eropah: Peranchis di selatan, Belanda di utara, dan Jerman di timur. (Negara kecil, Luxemburg, terselit di tenggara). Banyak lebuh raya utama Eropah menyimpang dan bersatu, berpusat di sini. Di atas Brussels pula adalah Laut Utara, jika diseberangi akan terus ke United Kingdom.

Lokasi negara ini adalah strategik, pusat kacuhan beberapa tamadun Eropah, digaul dengan sejarah menjadi satu budaya unik kepunyaan sendiri. Sebab itulah, Brussels, selain menjadi ibu kota Belgium, juga adalah ibu kota seluruh Kesatuan Eropah, secara tidak rasmi. Banyak ibu pejapat persatuan dunia serta perhubungan diplomasi terletak di sini, termasuk NATO. Diplomasi adalah darah yang mengalir di urat jalan Brussels.
 

Kami bertiga pula, di antara kami, langsung tidak ada diplomasi.


Masing-masing dengan kedegilan sendiri. “Kita ke Mini Eropah, ya?” kata Azlan, selepas melihat Manneken Piss yang comel kecil dan tidak beradab itu; dan Ikhwan, dia serta-merta mengangguk setuju, menyengih pada saya. Dua lawan satu. Saya rasa semacam dayus kerana tidak ada orang yang menyebelahi saya.

Sebelum menaiki keretapi (LRT garisan A1 menghala ke Heysel, berpandukan peta transportasi bekalan hotel), kami pergi ke pasaraya terdekat (selain mencatu masa, kami juga mencatu wang, tidak membeli sarapan di restoran, sekadar roti dan waffle segera dan makanan ringan di pasaraya). Ketika itu, kedai-kedai pesisir jalan sudah mula dibuka, kami dengar tingkah meningkah keriut besi pagar kedai sedang dilerai. Matahari semakin cerah, dan suasana semakin bising, dan udara pun semakin terasa hangatnya.

Perjalanan keretapi dari tengah-tengah kota Brussels ke lokasi Mini Eropah tidak mengambil masa yang lama. Dan bila kami tiba sahaja, masing-masing terus keluar. Saya hampir merusuh kerana mahu cepat. Fikir saya, jika cepat, tentu sempat untuk menyambung trip ke Atomica hari itu juga (ketika itu saya masih belum tahu nama sebetulnya adalah Atomium).
 

Dan bila saya keluar dari stesen keretapi, saya serta-merta nampak ia, tersergam besar di hadapan mata: Atomica!


Sumber: Joanna Lukasiewicz    


Tingginya adalah 103 meter, sebenarnya dibina meniru bentuk satu unit kristal besi (ferum) jika diperhatikan di bawah mikroskop dan diperbesarkan 165 bilion kali. Ia nampak futuristik dan retro sekaligus, teguh dan rapuh sekaligus. Bebola lapisan aluminium yang menjadi strukturnya seperti mereput, berdaki dengan karat dan lumut, saya rasa takjub ia masih boleh berdiri setelah sekian lama.
 

Di belakang, saya dengar Azlan ketawa. Dia kata: “Ta-daa!”


Sebenarnya Mini Eropah dan Atomium cuma bersebelahan sahaja, Azlan sudah tahu dari awal, sengaja mahu mempermainkan saya. Kami terus pergi ke dasar binaan, meninjau-ninjau. Saya masuk ke dalam gerbang, serta-merta rasa segan bila menyedari ejaannya berakhir dengan ‘um’, bukan ‘ca’ (bukankah ‘ca’ membuatkan kita rasa lebih teruja?), mencari-cari harga admission (tidak ingat harga tiket ketika itu, tetapi sekarang ini lebih kurang 5 atau 6 Euro), kemudian membayar, tidak sabar mahu masuk mengalami. Sebaik tiket dikerat, kami disumbat beramai-ramai bersama pelawat lain ke dalam satu lif. Hati saya kembang ketika itu, saya tidak ingat orang lain lagi. Macam-macam yang saya bayangkan.
 

Kemudian, lif segera melonjak ke bebola paling atas.


Tetapi, sebenarnya, tidak ada apa sangat di dalam bebola Atomium itu, cuma pameran barang-barang teknologi bersejarah dan komik-komik futuristik retro dan alat-alat perkakasan dan gajet lama sahaja. Bau ruang-ruangnya pun macam bau sejarah, bau sesuatu yang sudah berusia. Yang menakjubkan adalah seni binanya, di dalamnya hanya diisi sejarah retro. Dari satu bebola (baca: bilik) ke satu bebola, dihubungi dengan tangga dan eskalator, dan diletakkan tingkap-tingkap kecil untuk melihat luar. Saya cukup takjub dengan segalanya, tetapi saya sebenarnya mengharap lebih.

Hari sudah melanjut ke petang bila kami keluar, di wajah saya adalah rasa puas. Kami segera ke Mini Eropah, tetapi tidak lama. Kami bergambar dengan monumen-monumen Eropah dalam bentuk mini, dibina daripada besi dan konkrit dan patung-patung manusia kenit ukiran kayu: Colloseum Rom, kincir angin Belanda, Menara Eiffel Paris, Menara Condong Pisa. 


“Nasib baik kau tak berpecah,” kata Azlan. “Tak payah nak bergaduh, semua pun sempat kita lihat.”


Telinga saya terasa semacam panas. 
 

Sumber: Eugene Perutskiy    

Menghampiri senja, kami segera ke stesen Metro, menaiki keretapi mahu ke bandar semula, mahu mencari makan mengalas perut, dan mahu berehat di bilik hotel. Sepanjang hari kami telah berjalan dan berkelahi, perut diisi dengan entah apa-apa yang mampu dibeli, penat dan laparnya terasa serta-merta di penghujungnya. Di dalam keretapi, Azlan tiba-tiba menyoal, “Esok nak pergi mana? Kita ke Luxemburg?”


“Jeanneke Piss!” kata Ikhwan, separuh melonjak.


Saya seperti tidak percaya telinga saya tetapi Ikhwan mengulang sekali lagi. Dia terus-menerus mengulang, seperti budak meminta dibelikan mainan. Lama kemudiannya, baru saya sedar dia sengaja mahu menyakitkan hati, mahu berjenaka dengan saya, tetapi ketika itu, saya jadi benci betul dengan dia.

Meluap-luap macam api, mahu meletup macam bom atom, rasanya.
 

FAKTA KEMBARA ANDA PERLU AMBIL TAHU

Bandaraya tempat saya berada ini adalah BRUSSELS, ibu kota Belgium, dan ibu kota tidak rasmi seluruh Kesatuan Eropah. Ia terletak betul-betul di tengah-tengah negara Belgium dan di tengah-tengah prasarana pengangkutan seluruh Eropah Utara. Maka, jika dari barat mahu ke timur, ke Belanda contohnya, kebarangkaliannya besar kamu akan melalui bandar ini. Singgah sebentar, kamu tidak akan rugi.


SEJARAH BANDAR 
Nama Brussels datang daripada Bahasa Belanda kuno Brucsella. Suku kata bruc bererti lembah, manakala sella bererti rumah. Pada awal sejarahnya, Brussels dimasukkan ke dalam daerah Belanda, dipanggil Belanda Selatan. Direkodkan, ia sudah berpindah tangan berkali-kali, daripada jajahan Monarki Jerman kepada Peranchis, hingga kemerdekaannya pada 1830, selepas Revolusi Belgium. Ketika ini, Brussels menjadi kota simbolik pemerintahan seluruh Eropah, sehingga kadangkala, ia diberi nama timangan “The Cockpit of Europe.”


GEOGRAFI & DEMOGRAFI
Belgium dikepit oleh Laut Utara, Peranchis, Belanda, Jerman, dan Luxemburg; keluasannya lebih kurang 30 ribu kilometer persegi. Di tengah-tengahnya terletak ibu kota Brussels. Penduduk Brussels berjumlah lebih sejuta orang, tempat ini adalah antara daerah industri paling padat di seluruh Eropah, kepadatan penduduk lebih kurang 342 orang bagi setiap kilometer persegi. Ia diisi oleh kacuhan orang pelbagai bangsa, memeriahkannya dengan pelbagai budaya. Kadang-kadang takjub juga melihat mereka, masing-masing seperti membuat hal sendiri.

BAHASA
Belgium adalah negara bilingual, separuh rakyatnya boleh berbahasa Belanda (majoritinya di daerah Flemish), manakala separuh lagi berbahasa Peranchis (di daerah Walloon), serta, ada sebilangan juga rakyatnya yang boleh berbahasa Jerman. Setiap bahasa seolah-olah mempunyai kewujudan sendiri, diwakili oleh universiti, akhbar, dan organisasi sendiri. Namun, seperti biasa di seluruh Eropah, di tempat-tempat wisata, selalunya Bahasa Inggeris ditutur dan difahami. Jadi janganlah risau sangat mahu mempertaruhkan Bahasa Peranchis kamu yang berterabur itu.


DUDUK & LAWAT
Hotel amat banyak di sini, bagi sebuah bandaraya berkepadatan tinggi, kamu tidak akan sukar mencari bilik mengikut bajet kamu. Jika bersiar, sudah tentu, lawatlah Atomium, antara binaan lama terpelik di seluruh Eropah. Ambil gambar di hadapannya dan beritahu orang kamu sebenarnya melawat planet lain. Dan, alang-alang ke sana, ambil masa juga bersiar-siar di Taman Mini Eropah. Jika ke tengah-tengah bandar, lawatlah Istana Besar (Grand Palace), terutama waktu malam, ketika ia penuh gemilang disimbah lampu terang-benderang. Lawati juga budak yang sentiasa membuang air kecil itu, Manneken Piss. Muzium-muzium yang terkenal termasuk Musées Royaux d’Art et d’historie (Muzium Seni dan Sejarah) dan Musée du Cinema (Muzium Perfileman).


BELANJA
Jika kamu tidak tahu, shopping mall pertama di dunia ini terletak di Brussels, dipanggil Galleries Royales St-Hubert, ia telah dibuka pada tahun 1847, mengandungi pelbagai jenis butik, kedai-kedai buku, kafe dan restoran, serta panggung teater dan wayang gambar (tonton Man Bites Dog, antara filem kegemaran saya, dibikin oleh orang sini). Jika mahu berbelanja dengan jimat, cuba ke Pasar Kutu (flea market) di Marche-aux-Puces di Place du Jeu de Balle. Ia menjual pelbagai keunikan, dengan harga-harga murah dan rendah yang dalam kemampuan.

PENGANGKUTAN
Lapangan terbang utama adalah Zaventem, dari situ ada keretapi yang kerap (setiap 15 minit) yang boleh membawa kamu ke tengah-tengah kota Brussels  (tiket 3 Euro, perjalanan kurang setengah jam). Brussels mempunyai 3 garisan Metro, dan beberapa laluan Tram. Dapatkan peta laluan di hotel kamu, atau di mana-mana pusat pelancongan, dan ikut sahaja laluannya. Adalah mudah untuk ke mana-mana di bandaraya ini. Dan jika kamu sesat, ia sebenarnya lebih baik – kamu akan melihat sesuatu yang tidak tersangka.


MAKAN
Sayur brussels sprouts, kamu mesti sudah agak, berasal dari sini (rasalah, kalau belum merasainya; dan jika memasak sendiri, jangan terlalu lama, nanti pahit), tetapi, percayakah kamu, fries dan waffle juga sebenarnya berasal dari Belgium? (Saya tidak beberapa percaya). Jika rajin dan mahu mencuba, pesanlah gauffre leigoise (waffle dengan gula karamel) yang sedap dan manis, kedai-kedai kecil berdekatan dengan Istana Besar menjual antara resepi yang terlazat. Menu kentang goreng yang popular adalah frites avec mayonnaise (kentang goreng dengan mayonis).

SEBAGAI PENUTUP, SEDIKIT AMARAN
Jika mahu ke Atomium, pastikan ia telah dibuka. Binaan ini sebenarnya telah ditutup kepada pengunjung sejak Mac 2004 untuk dipulihkan dan dicantikkan semula. Kulit dinding bebolanya ditukar daripada aluminium yang sudah berdaki kepada stainless steel yang berkilat. Kamu periksalah dahulu. 

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.