Jun 29, 2018 - 225

“Tengok Mat Saleh Tu, Dah Tua Pun Romantik. Pegang Tangan, Suap-menyuap!” — LELAKI MELAYU Mohon Baca Cerita Ini

Bukannya menuding jari kepada kaum Adam. Tetapi kalau ada perkara yang membawa kebaikan yang boleh dicontohi daripada budaya lain, kenapa tidak kita meneladaninya?

 

Oleh: Raden Suntiwijaya 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

RADEN  hembus nafas perlahan-lahan, terasa nyaman pagi ini. Hujan renyai yang membasahi kawasan sekitar Seni Mont Kiara membuatkan suasana begitu tenang sekali. Jika dahulu kala hidup bujang, pasti waktu-waktu begini Raden tarik selimut untuk sambung tidur. Tetapi selepas berkahwin, rutin itu tidak lagi Raden lakukan. Kerana Umi sering berpesan agar fiil yang tidak elok waktu zaman anak dara jangan terbawa-bawa selepas berkahwin. 

 

Bukan mahu berlakon atau acah-acah baik tetapi kata Umi biarlah kita korbankan dan buang jauh-jauh tabiat buruk perlahan-lahan. Kerana ini adalah waktunya untuk mencari titik keserasian bagi pasangan yang baru menempuh gerbang perkahwinan. 

 

Apabila Naz meletakkan tuala di atas katil kala mahu bersiap ke pejabat pun mata Raden sudah terasa sakitnya. Dan apabila ditegur jawapan terlupa adalah alasan paling selamat. Oh, inilah one of the true colors suami Raden. Itu belum masuk bab tidak menutup pintu bilik air sebelum tidur. Dan banyak lagi perkara rutin Naz yang Raden sedari. 

 

 

 

Bukannya Nak Buka Aib Kaum Adam, Tapi…

Dan tanpa disedari apabila Raden mengeluh tentang habitnya, terdetik rasa mahu menceritakan kepada rakan-rakan terdekat. Bukan mahu membuka aib tetapi lebih kepada sekadar mahu bertanya, apakah itu sesuatu yang normal bagi kaum Adam ataupun tidak. 

 

Namun usai Raden membuat timbang-tara, biarkan sahaja Raden simpan. Tiada keperluan untuk Raden berkongsi, bertanya, apatah lagi memuat naik status di media sosial. Sudah tentu tidak rasional. 

 

Usai solat Subuh Raden terus melakukan rutin biasa. Membasuh pakaian, mengemas rumah dan menyediakan sarapan. Sengaja Raden hidangkan sarapan di balkoni. Biar nyaman apabila makan bertemankan panorama indah langit yang terbentang. Tidak lama kemudian, kelibat Naz muncul sambil menguntum senyum. 

 

“Senyum lain macam nampak? Mesti ada apa-apa ni?” Soal Raden serkap jarang. 

 

“Eh, mana ada. Takkanlah nak senyum untuk isteri pun tak boleh?” Balas Naz pula. Dan kami pun bersarapan. Sengaja Raden memasak nasi lemak untuk sajian sepanjang hari. Malas pula mahu memasak dua tiga kali. 

 

Naz menyambung, “Lepas ni kita keluar nak tak?” “Nak pergi ke mana?” Soal Raden.

 

“Entahlah. I pun tak tahu. Ataupun kita pergi bercuti ke mana-mana ke?” Ujarnya lagi. “You ni dah kenapa? Macam tak tentu arah aje. Kalau nak pergi bercuti kenalah rancang awal-awal. I tak sukalah terjah aje. Hotel pun tak booked, tahu-tahu aje nak pergi bercuti. You ni kan...” 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

Sikit-sikit Relaks, Sikit-sikit ‘Chill’, Sakitnya Hati Orang Perempuan

Belum sempat Raden berleter dia bingkas menyambung, “Alah, relaks sayang. Sekali-sekala kita tak perlu nak rancang beria-ia sangat. Just go! Lagipun bukan susah sangat, you just pack baju dan I akan call tanya mana- mana hotel yang available. Bukannya kita nak pergi bercuti luar negara jauh-jauh pun. Chill sayang,” terangnya bersungguh sambil memegang kepala Raden.

 

Seperkara mengenai Naz yang tidak berapa Raden senangi kerana sejak dahulu Raden sudah terbiasa untuk merancang lebih awal. Tidak kiralah, sama ada ia berkaitan dengan kerja ataupun soal peribadi. Raden tidak suka melakukan kerja pada saat akhir kerana ia akan membuatkan Raden berasa tidak selesa, terkejar-kejar dan lain-lain. 

 

Kenapa Orang Lelaki Tak Suka Merancang? Suka Buat Kerja ‘Last Minute’?

Namun bersuamikan lelaki sepertinya membuatkan Raden perlu berlapang dada. Ada-ada sahaja yang mahu dilakukan tanpa perancangan awal. Namun Raden ikutkan sahaja percutian mengejut yang tidak sampai beberapa jam dibuat. “Okey, I dah call buat reservation. Kita pergi Melaka okey!” Ujarnya teruja. 

 

Selepas hampir dua jam mengemas pakaian, bertolaklah kami ke Melaka. Mujur cuti persekolahan belum bermula, maka kami tidak perlu bersesak-sesak dengan orang ramai terutamanya untuk ke lokasi yang menjadi tumpuan ramai. 

 

Kami tiba di Philea Resort selepas hampir dua jam memandu. Dan memandangkan tidak ramai pelancong tempatan, maka kami manfaatkan waktu yang ada untuk meninjau segenap ruang di resort ini. 

 

Kata Naz, “Anggap aje ini pre-honeymoon kita ya. The real one I akan sediakan yang terbaik untuk you,” ujarnya bersungguh. Usai solat dan berehat seketika, kami menikmati makan malam romantis ala-ala candle light dinner. Sempat mata Raden mengerling, ada beberapa pasangan suami isteri warga emas dari negara asing meluangkan masa makan berdua seperti kami. 

 

Rupa-rupanya Lelaki Melayu Juga Simpan Impian Bina ‘Relationship Goals’ 

Dan seakan-akan memahami gerak mata Raden yang ralit melihat mereka, dia bersuara sambil berdehem, “Kalau ya pun suka tengok mat saleh tu janganlah sampai diaorang perasan,” tutur Naz seraya menghirup minumannya. 

 

“I suka tengok. Relationship goals. Ada sesuatu yang kita perlu contohi mat saleh ni sebenarnya. Tengok tu, dah tua pun romantik lagi. Pegang tangan, suap-menyuap,” jelas Raden. 

 

Lantas teringat Raden kepada arwah Walid. Dia seorang lelaki gentleman yang selalu mendahulukan semuanya untuk Umi. Kata Dewi dahulu, ketika Umi dalam tempoh berpantang melahirkan Ratna, arwah yang membantu menguruskan rumahtangga. Handal memasak di dapur, tangkas mengemas, ringan tulang membantu itu dan ini. 

 

Malah hingga akhir hayatnya arwah sentiasa menjaga keperluan Umi. Sediakan semua buat tinggalan agar Umi tidak perlu melalui detik sukar meneruskan kehidupan tanpa kehadirannya lagi. Romantik? Sudah pasti kata Umi. 

 

Raden ceritakan kepada Naz segalanya mengenai arwah Walid yang sentiasa tersemat dalam ingatan. Tidak pernah angkat tangan jauh sekali meninggi suara kepada Umi membuatkan arwah disayangi semua orang. 

 

“Tujuan I cerita pada you bukanlah mahu you ubah apa-apa. Cuma I mahu kita macam tu. Walau sudah beranak-pinak dan ada cucu-cicit tetap romantik. Tak malu nak pegang tangan walaupun dah kedut, kendur. Yalah, kata orang sekarang baru kahwin memang romantik. Tunggulah bila sudah ada anak nanti. Suami jalan ke depan isteri tertinggal dan terkial-kial di belakang. Itu belum masuk bab pergi pasar lagi. Kalau sekarang rajinlah mahu temankan I. Habis nanti lama-lama, beri alasan biar I aje yang pergi. You duduk rumah tengok anak. Atau paling tidak pun, you bawa tapi tunggu dalam kereta dengan alasan susah dapat parking,” berjeda-jeda mulut Raden berleter. 

 

 

Kita yang Suka Fikir Negatif atau Lelaki yang Suka Ambil Mudah?

Seraya dia menggenggam erat jari-jemari Raden dan berkata, “Dah habis? Puas berleter? Sudah-sudahlah tu. Jangan direka cerita yang belum tentu jadi atau tidak. Cuba fikir positif, bersangka baik. You are what you are thinking. Kalau fikir perkara yang positif, insya-Allah hasilnya juga akan positif,” ulasnya pula. 

 

Raden hanya duduk diam membisu. Betapa dia seorang yang positif dan sememangnya ditakdirkan untuk mengemudi hidup Raden. Mungkin jua dek kerana sudah terlalu banyak dimomokkan dengan cerita rumahtangga daripada teman dan kenalan Raden sebelum ini, sehinggakan ada ketikanya pemikiran Raden terlalu sempit dan menjurus ke satu hala sahaja. 

 

Masih ada banyak jalan dan ruang yang belum Raden terokai untuk perbaiki dan perhalusi. “Sejak I mula kenal rapat dengan you, I perhatikan soal ini aje yang you masih belum berubah. Selalu syak yang bukan-bukan, fikir terlalu jauh tentang soal yang belum jadi atau tidak. I tahu you terlalu takut kalau apa yang you fikir terutamanya perihal negatif akan terjadi kepada kita, kan? I merayu sayang, tolonglah belajar untuk ubah cara you berfikir demi kebaikan diri you juga. Bukan semata-mata untuk I. Tapi untuk kehidupan kita. Masih jauh lagi dan banyak yang kita akan tempuh. Macam mana I mahu terus ke depan kalau you masih suka fikir yang bukan-bukan?” 

 

Ada benarnya kata Naz. Dan Raden percaya mungkin itu juga yang dipraktikkan sesiapa jika mahu hidup bahagia. Perlu ada kesepakatan, bersangka baik dan persefahaman antara suami dan isteri untuk melalui pelbagai ujian mendatang. 

 

“Nanti I ajar you macam mana nak fikir positif. I hantar you pergi kursus ke, kem motivasi ke,” ujarnya sambil disambut dengan tawa kecil Raden. Dalam hati kecil Raden berbisik, apalah salahnya jika Raden korbankan sedikit untuk meraih yang jauh lebih banyak daripada itu bukan? Pasti berbaloi hasilnya. 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Dato’ Sri Aliff Syukri Muat Naik Video Isteri Bersalin — Ini Reaksi Spontan Rakyat Malaysia

  • Seterus →

    Kenapa Orang Zaman Sekarang Tak Boleh Hidup Tanpa Telefon Pintar?