Jun 19, 2018 - 122

10 Perkara N0-NO-NO Buat Mak Ayah Yang Bawa Anak Kecil Beraya

Tidak kiralah sama ada beraya di kampung ataupun berkunjung ke rumah sanak saudara, sebagai ibu bapa anda harus awasi tingkah laku si kecil. Bukan apa, tidaklah nanti jatuh air muka kita; ya tak?

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

“Alah, biasalah budak-budak… Tak apa, tak kisah.” “Sementara nak besar tu, biarlah aje lah. Lama-lama nanti pandailah dia.” “Budak kecil lagi, apa sangatlah yang dia tahu.” Mungkin itu sesetengah kata-kata yang acap kali kita dengar dalam soal mendidik, menegur dan mengajar anak kecil terutama dalam membentuk sahsiah diri dan tingkah laku.

 

Sementelah di musim perayaan ini, apa kata persiapkan moraliti anak-anak agar lebih behave jika pergi beraya ke rumah saudara-mara.

 

Dan 10 perkara ini haruslah diberi perhatian ibu bapa agar anak-anak tidak bikin onar ketika pergi beraya.

 

 

 

1. Hormati Tuan Rumah

Biasakan dan ajarkan anak yang masih kecil agar menghormati tuan rumah. Paling mudah adalah menghulurkan tangan untuk bersalam-salaman, cium tangan dan seangkatan dengannya.

 

Sekurang-kurangnya tuan rumah berlapang dada menyambut tetamu untuk meraikan kehadiran anda seisi keluarga.

 

 

2. Jangan Buka Sampul Raya di Hadapan Tuan Rumah

Entah mengapa, rata-rata kanak-kanak era kini boleh dikatakan materialistik sifatnya. “Alah, singgit je?” Alahai… pasti terkulat-kulat tuan rumah jika itu yang terkeluar daripada mulut tetamu kecil ini. Ingatkan anak-anak kita agar memahami konsep bersyukur dengan pemberian yang diterima.

 

Usahlah mengungkit dan berkira kerana hakikatnya kemampuan seseorang itu ada limitasinya.

 

 

 

 

 

 

 

3. Larang Anak Jadi Tuan Rumah!

Tidak kiralah berapa usia anak anda, janganlah pula membiarkan si comel itu ‘selesa’ melanyak sofa tuan rumah, terlompat-lompat sana-sini, baring di hadapan televisyen dan sebagainya. 

 

Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendisiplinkan anak-anak sejak kecil lagi. Jika tidak, tiadalah pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, tak gitu?

 

 

 

4. Jangan Meminta Yang Tiada

Apa jua yang terhidang di atas meja itulah rezeki kalian. Perlu diingat, pengisian amalan dan pendekatan Hari Raya adalah saling kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan seumpama dengannya untuk mengeratkan tali silaturahim. 

 

Bukannya ‘melantak’ semahu-mahunya. Justeru, apa yang tuan rumah sediakan, terima dengan berlapang dada. Jika ia tidak menepati selera anak anda, apa kata beri mereka makan secukupnya sebelum keluar beraya. Kenyang perut mereka, tidaklah mereka buat hal!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

5. Jangan Biarkan Si Kecil Bebas Bergerak

Awasi pergerakan si kecil anda. Lebih-lebih lagi yang aktif ke sana-sini. Janganlah pula dibiarkan mereka mengusik atau menyentuh barang-barang perhiasan terumanya yang berunsurkan kaca. 

 

Apatah lagi jika mahal harganya, collectable items atau dibeli di luar negara; tidakkah haru-biru mahu menggantinya? Berpada-padalah jika mahu membiarkan mereka bermain ya.

 

 

 

6. Masuk Bilik? It’s a no-no thing okey!

Seperkara lagi, pantau tingkah laku anak anda terutamanya mereka yang ‘rajin’ meninjau ruang dalam rumah. Jangan sesekali biarkan si comel anda sewenang-wenang membuka pintu bilik rumah orang pula ya. 

 

Bilik adalah ruang privasi dan garis sempadan yang harus dihormati semua. Alangkah tidak manis di pandangan mata tuan rumah. Tidaklah nanti terbit dalam hati tuan rumah, “Eh budak ni, mak bapak dia tak ajar anak ke adab datang rumah orang?” Ish… ‘Makan dalam’ tu.

 

 

 

 

 

 

 

 

7. Jaga Kebersihan

Sedari kecil lah aspek kebersihan harus ditekankan. Benar, sudah lumrah si kecil akan meninggalkan sisa makanan bersepah-sepah. Tetapi tiada salahnya jika anda sebagai ibu bapa mengajar mereka untuk membersihkan sendiri sisa makanan yang tertinggal. 

 

Misalnya kertas pembalut kuih raya, serdak biskut raya dan seangkatan dengannya. Atau jika anak masih kecil, ibu bapalah yang memainkan peranan. Ambillah tisu untuk mengelap sisa air yang tertumpah misalnya. 

 

Dan percayalah, jika anak anda melihatnya pasti mereka akan turut sama terikut dengan rutin ini.

 

 

 

8. Susun Kasut

Pasti sejuk mata tuan rumah andai ibu bapa ringan tulang dalam membantu kerja-kerja remeh tetapi besar impaknya. Paling mudah, usahlah biarkan kasut-kasut raya yang cantik lagi bergaya itu berterabur sana-sini. 

 

Usai menanggalkan kasut, susunlah kasut biar tampak kemas dan tersusun. Dan, tidaklah pening mahu mencari kala mahu beransur pulang nanti. Mudah kan?

 

 

 

 

 

 

 

 

9. Buka Tutup Peti Ais? Oh No!

Antara habit yang menjadi kepantangan mata tuan rumah adalah kekerapan si kecil membuka dan menutup pintu peti sejuk. Sudahlah masuk sampai ke dapur, dibukanya pula pintu peti sejuk berulang kali, aduhai… 

 

Pasti ‘merengkam’ dan remuk redam hati tuan rumah melihatnya. Dan sebagai ibu bapa, beri peringatan kepada anak-anak kecil anda agar lebih peka. Selayang cubitan ‘manja’ atau renungan tajam mungkin praktikal untuk dicuba. Silalah!

 

 

 

10. Tukar Saluran Televisyen

Alahai ibu bapa, molek kiranya anak anda meminta izin dan mendapatkan kebenaran daripada tuan rumah terlebih dahulu untuk menonton televisyen ya! Jangan ingat TV tuan rumah itu milik anak anda yang mahu menonton rancangan kartun semata-mata. Hormatilah privasi tuan rumah juga.

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.