Jun 22, 2018 - 779

Hari Ini Dia Kata Sayang, Esok-esok Kena Tendang! — Inilah Bahana Dapat Suami Malas Kerja, Apa Patut Anda Buat?

Cerita perkahwinan tak selalu berakhir dengan perkara yang manis-manis, setuju atau tidak? Nak tahu realiti orang kita? Anda kena tadah telinga, dengarlah cerita mereka.

 

 

Teks: Miss Cherry 

 

Sumber foto: Shutterstock Image

 

 

 

 

KALAULAH perkahwinan itu seindah kita membina pelamin. Secantik kita disolekkan kala menjadi ratu sehari. Sesuci saat akad dilafaz, ketika tangan suami dikucup, dahi isteri dicium, maka tidak akan ada pasangan yang naik turun mahkamah syariah. Meleraikan ikatan yang selama ini diikat mati. Lantas, haruslah sedar bahawa kisah benar sebuah cerita kahwin itu tidak seperti khayalan dogengan Cinderella atau Snow White. 

 

 

Miss Cherry kadang-kadang naik gerun mendengar kisah kahwin teman-teman. Ada yang indah itu, syukurlah. Miss Cherry tumpang gembira. Kalau yang lara itu buat Miss Cherry terfikir sejenak, apakah maknanya sebuah perkahwinan yang mereka mengertikan? Kalau dulu, masa bercinta bukan main segala-galanya sempurna tentang diri pasangan tetapi selepas duduk serumah, tidur sekali, makan semeja, kenapa banyak pula koyak-rabaknya? 

 

Sumber foto: Shutterstock Image

 

 

Isteri Penat Macam Nak Rak, Tapi Suami...

Miss Kay mengadu. Hidupnya penat. Seharian di tempat kerja. Balik mengisahkan hal anak-anak pula. Ambil dan hantar anak ke nursery dia juga uruskan. Bil-bil bulanan dia langsaikan. Makan minum dia sediakan. Habis suami buat apa selain bekerja 9am-6pm? Duduk depan televisyen, arah anak dari jauh ‘jangan’, dan kemudian belek telefon. Itu sahaja. 

 

Hal lain langsung tidak ambil tahu.”Benarkah istilang suami ‘king’ dalam rumah tangga?” Tanya Miss Kay kepada Miss Cherry. Kalau suami itu king, mestilah isterinya queen. Mana ada queen dikerah buat kerja-kerja rumah setengah mati? 

 

Cerita kawan lelaki Miss Cherry pula, Mr. M, isterinya suri rumah. Sengaja dia suruh isterinya berhenti selepas dapat anak ke dua, supaya boleh fokus pada urusan rumah tangga. Tapi, lain pula ceritanya. Kerja di dapurnya hanya masak nasi. Lauk dibeli. Kain baju di hantar ke dobi. Anak-anak dibiar berdaki. Kerjanya sibuk dengan update laman sosial. 

 

Tidak cukup dengan kata-kata hikmah, dibuatnya tutorial mekap pula. Diberi duit belanja bulanan, yang dibeli hanya baju, kasut dan barang mekap sahaja. Makin lama, makin menjadi-jadi. Ditegur asyik lari. Letih Mr. M. Apa nak buat tersalah cari, maka meranalah diri. 

 

 

Sumber foto: Shutterstock Image

 

 

 

Kenapa Suami Atau Isteri Selalu Buat Perangai Lepas Lama Berkahwin?

Jujurnya, siapalah yang berkahwin mahukan kehidupan dalam bahtera penuh dengan sengsara? Ada pula yang dapat suami kaki pukul, main kayu tiga, malas bekerja. Tak kurang juga yang beristerikan perempuan pemalas, curang, pemboros, main bomoh dan sebagainya. Macam-macam kerenah dalam hidup berpasangan. Kadang-kadang, di awal perkahwinan semuanya elok sahaja. Tetapi, selepas melalui satu demi satu perjalanan dan destinasi, ada kala pasangan berubah dek pengaruh sekeliling. Faktor ekonomi, orang ke tiga, bebanan kerja, stres, hasutan keluarga, kawan-kawan dan pelbagai lagi.

 

Sebab itu ada orang kata perkahwinan ini umpama ‘perjudian’. Macam main judi. Belum tahu untung nasib si pemain. Adakah menang atau rugi? Hati manusia umpama pantai. Boleh berubah setiap kali air bah. Kalau hari ini katanya sayang, jangan terkejut esok-esok kena tendang. Kalau semalam katanya kasih, jangan sedih kalau hari ini engkau diusir. 

 

 

Kita tiada daya meramalkan apa yang akan berlaku untung nasib sendiri. Jangan pula rasa, kita sudah cukup sempurna apabila mampu mensejahterakan rumah tangga bertahun-tahun lamanya kerana mungkin untung nasib kamu tidak diuji seperti pasangan yang gagal mempertahankan hubungan.

 

Bila Suami Asyik Lebihkan Keluarga Sendiri, Isteri Makan Hati 

“Sekurang-kurangnya aku tak terus menipu diri sendiri atau orang di luar sana bahawa aku bahagia. Biarlah apa pun orang mahu melabelkan aku. Nak kata aku isteri yang jahat? Isteri bodoh? Katalah apa pun, yang penting dengan penceraian ini buat aku lebih tenang dan kuat,” luah Miss Bee tentang penceraiannya tempoh hari dek bekas suaminya yang asyik melebihkan abang, kakak, adik di kampung sehingga dirinya menjadi mangsa fitnah tanpa suami membela dirinya. 

 

Hurmmm…Tarik nafas panjang Miss Cherry mendengarkan segala isu rumah tangga teman-teman.

 

Buat adik-adik yang akan berkahwin, ingatlah persediaan kahwin bukan hanya tentang pelamin, gaun, mekap, berinai kecil, berinai besar atau kad kahwin, tetapi ia tentang sebuah pelayaran hidup yang akan menjadi penentu hidupmu ke ‘syurga’ atau ‘neraka’. 

 

Maka; waspada dan tanyalah imanmu.     

     

 

“Marriage is; sharing life with your best friend,

enjoying the journey along the way

and arriving at every destination…

together.”

— Fawn Weaver    

    

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik:  general