Jun 24, 2018 - 75

Puasa & Raya Masa Untuk Hisab Diri, LUPAKAN Taraf Sosial — Orang Bandar Kena Tahu Jalan ke Kampung!

Ramadan bukan sekadar bulan keinsafan. Syawal bukan sekadar bulan kemaafan. Kedua-dua bulan ini satu ujian, apakah jasa sanak-saudara masih dalam kenangan, atau sudah dilupakan?

 

Teks: Rosie Haslinda Nasir 

 

 

Sumber foto: pixshark.com

 

 

 

BULAN terdahulu sidang editorial InTrend berpeluang menggarap berita pendek antologi busana Hari Raya Aidilfitri 2018, sari ilham pereka fesyen Malaysia barisan hadapan. Terasa nyaman sekali melihat kesekian foto busana hari raya yang cantik lagi manis. Majoriti adalah reinkarnasi baju kurung tradisi didenyutkan nafas modenisasi. Diberikan sifat-sifat baru — konstruksi cape, dimewahi permainan embroideri eksklusif, dibugarkan idea hybrid. 

 

Konklusinya?

 

Tidak ada sebab untuk anda mengatakan tidak kepada sehelai baju raya baru kerana alasan tempahan sudah penuh, tukang jahit menolak dan sebagainya. Hari ini, hatta dari atas katil sekalipun, anda hanya perlu menyalakan  komputer riba atau telefon bimbit anda lalu klik-klik-klik saja apa yang berkenan di hati.    

 

Ya, banyak aspek telah dimudah cara, membuatkan saya tertanya-tanya, apakah ini juga satu petanda, bahawa memaknakan satu hari kemenangan yang sangat besar ertinya, tidak lagi menjadi sebegitu intrik dan dramatik seperti 15 tahun dahulu? 

 

 

 

Kampung Semakin Sunyi, Kerana Ramai Insan Veteran Telah dijemput Ilahi 

Saya dan suami teringin sekali menunjukkan kepada Rania, begini dan begitulah caranya melemang dan membuat dodol, tetapi barangkali platformnya sudah tiada lagi. Desa  tercinta sarang tempat nurani berkembang, yang telah kami tinggalkan apakala mengambil keputusan untuk bermastautin di Kuala Lumpur — tidak lagi dimakmurkan. Orang tua yang menunggu kampung halaman, ramai yang sudah dijemput Ilahi.  

 

Memori hari raya bersama arwah Tuk Ishak bin Safar dan 16 anak-anaknya, adalah kenangan tentang kesepakatan dan keraian hidup berkeluarga yang akan saya kenang sampai bila-bila. Hebat betul orang dulu-dulu. Bukan sahaja melahirkan generasi yang hebat-hebat dengan kudrat dan keterikatan materi, hebatnya orang dulu-dulu dalam mendidik anak adalah pendidikan dan sahsiah yang didenyutkan dalam minda dan dalam hati anak-anaknya. 

 

 

Sumber foto: Hatta Dolmat 

 

 

 

Bila Pokok Durian dan Manggis Berbuah Lebat Pada Hari Raya, Kami Makan Sampai Lebam  

Ramainya anak-anak Tuk Ishak misalannya (16 orang), sesudah dewasa masing-masing terbang bebar ke serata ceruk negara demi kelangsungan kerjaya dan takdir rezeki. Yang terpaling jauh adalah seorang bapa saudara saya yang mengahwini seorang wanita Norway, dikurniakan tiga anak lelaki berambut hitam bermata biru. 

 

Namun ya, berapa jauh anak-anaknya merantau, ke pangkuannya juga akhirnya, anak-anak ini memakmur dan memaknakan erti Aidilfitri. Saya terkenangkan satu Syawal yang paling luar biasa buat keluarga Tuk Ishak. Pohon durian, manggis dan rambutan di Kampung Paya Rumput pada tahun itu berbuah dengan lebatnya. 

 

Rambutan merah dan kuning nenek tidak pernah semanis itu. Manggis yang kami kait beramai-ramai pada pagi raya, tidak pernah seranum dan semekar hari itu. Buah-buah durian berpangsa-pangsa memenuhi karung guni, wah-wah-wah, kami berkenduri besar tahun itu! Raya terasa berganda syok dan seronok bukan kerana sedapnya sambal udang nenek yang paling ‘mengancam’. Bukan kerana kuih samperit nenek yang paling enak mencair di dalam mulut. Bukan juga kerana syurga manis buah-buah manggis yang kami cicip sampai lebam dari pagi sampai ke petang raya. 

 

 

Sumber foto: Hatta Dolmat 

 

 

 

Kalau Anda Tanya, Apa yang Paling Manis Tentang Syawal? Ini Jawapannya

Tetapi ya, manisnya Syawal tahun itu kerana berkatnya kerabat keluarga saling pulang ke sarang, 11 bapa saudara dan 4 ibu saudara saya sepakat kembali bersatu menghiburkan hati tua Tuk Ishak dan Nenek Khadijah. 

 

Itulah makna sebenar merayakan Ramadan dan Syawal. Tidak kira berapa tinggi tingkat pendidikan kita, tidak kira berapa gah darjah kebesaran tersandang di bahu kita — inilah dua bulan terpenting dalam kalendar hidup — untuk kita menginsafi hati. Menghisab diri, melupakan pagar-pagar sosial yang memisahkan kita selama ini, berteguh berjanji, bahawa hari raya adalah waktunya untuk melucutkan ego manusiawi. Lalu berusaha sekuatnya mengangkat darjat kerohanian kita, menjadi hamba-Nya yang lebih diredai, disayangi, diberkati.

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Mengapa Village Hotel Bugis & Village Hotel Albert Court Menjadi Pilihan Pelancong? – Ini Sebabnya…

  • Seterus →

    Jangan Lepas Ni Membawang “Tipah Tertipu!” — Kami Dah Beritahu, Ini Benda WAJIB BELI Sebelum 1 September