Aug 01, 2016 - 119

"Tipulah Kalau Saya Kata, Saya Tak Takut diculik Waktu Pergi Menyelam..."

Menikmati keindahan terumbu karang dan hidupan laut di perairan Sabah cukup mengujakan. Tapi AyangKamell tetap rasa berdebar dan kakinya seram sejuk memikirkan risiko diculik lanun...

 

#sugarwreckpulauperhentian 04/06/2016

A video posted by Ayangkamell Ibrahim (@ayangkamell) on



Foto : AyangKamell menyelam hingga ke dasar laut 
 

“Insiden culik yang sering terjadi di pulau-pulau di Sabah memang agak menakutkan.  Namun keindahan alam di dasar lautnya membuatkan saya tekad untuk menyelam di perairan di Sabah. Saya hanya mampu berserah dan berdoa kepada Allah agar keselamatan saya sepanjang berada di sini terpelihara. Sebagai pelancong, kita juga perlu sentiasa berwaspada dan mendapatkan nasihat daripada pihak keselamatan supaya diri terhindar daripada perkara-perkara yang tidak diingini,” jelas AyangKamell ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap tahap keselamatan kala berkunjung ke Pulau Sipadan, Sabah.


Foto : AyangKamell berpakaian baju Melayu sewaktu menyelam. 
 

“Sejujurnya saya sangat takut dengan air. Memang dari dulu tidak pernah terbayang untuk menyelam skuba apatah lagi melihat sendiri terumbu karang dan hidupan laut di laut dalam. Namun ajakan teman-teman yang mahu mencuba aktiviti baru mendorong saya mengikuti kelas scuba diving untuk mendapatkan lesen menyelam skuba, seterusnya membolehkan saya menikmati keindahan ciptaan Tuhan di laut dalam, ” ujar AyangKamell, jurusolek yang sudah lebih 10 tahun melibatkan diri dalam dunia persolekan tanah air.  
 

“Bagusnya aktiviti menyelam skuba kerana saya dapat buang rasa takut terhadap air, selain dapat bergembira sama teman-teman. Aktiviti menyelam skuba hanya dilakukan apabila saya mahu mencari ketenangan. Yalah, dah penat-penat bekerja, sekali sekala nak juga merehatkan diri dan minda. Dalam setahun, lebih kurang empat kali saya akan menyelam bersama teman-teman sealiran. Lokasi menyelam sama ada di Pulau Sipadan, Pulau Perhentian, Pulau Tioman ataupun pulau-pulau di sekitar negara ini. Senang kata, mana yang sempat di situlah kami pergi menyelam.”
 

 
Foto : Sempat berselfie dalam dasar laut. 
 
 

Satu Kepuasan

“Sekali dapat menyelam, ia bagaikan mendapat satu kepuasan. Menyelam skuba membolehkan kita melihat satu dunia lain yang unik dan tersendiri, malah ramai orang tidak berpeluang untuk menyaksikannya sendiri. Bukan senang nak tengok hidupan mikro ataupun big scale yang ada di dalam laut.” 

Foto : Keindahan dasar laut membuat Ayangkamell teruja menyelam. 
 

“Saya paling seronok dan teruja apabila berpeluang melihat nudi branch yakni molusca tidak bertulang. Saiznya yang sangat kecil dengan tampil bermacam-macam jenis serta warna membuat kita terpesona. Masya-Allah, memang cantik sungguh ciptaan Allah. Keterujaan saya tidak terhenti setakat itu kerana banyak lagi hidupan laut yang boleh disaksikan misalnya penyu, ikan jerung (White Teeth Shark) dan karangan laut.” 
 

“Keindahan hidupan laut ini dapat kita saksikan kerana perairan di sekitar negara kita sangat-sangat jernih misalnya di Pulau Sipadan. Di sini, saya berpeluang melihat paling banyak ikan jerung selain kawanan baraccuda yang datang dalam bentuk cyclon, oh sungguh menakjubkan! Dah macam menonton televisyen bagi program hidupan laut dibuatnya, melopong kita melihat ikan-ikan ini beraksi.” 



 “Setiap kawasan menyelam pasti menawarkan keunikan yang tersendiri. Ada Lobster Wall di Pulau Sipadan yang mana kawasan ini dihuni oleh udang karang bersaiz besar. Manakala Turtle Cave bagaikan kawasan perkuburan buat penyu kerana kita dapati banyak rangka penyu terdampar di sini.” 

 

“Memandangkan Pulau Sipadan tidak menawarkan tempat penginapan, almaklum pulaunya kecil dan tidak didiami, maka sesiapa yang mahu menyelam skuba di sini perlu menyewa chalet ataupun tempat penginapan mengikut kemampuan masing-masing di Mabul. Jarak antara kedua-dua pulau ini sekitar 30 minit perjalanan menaiki bot.”

Foto : Ayangkamell diteman oleh rakan-rakannya. 
 

“Sesi menyelam scuba lazimnya mengambil masa 50 minit hingga sejam, bergantung pada bekalan oksigen yang dibawa oleh penyelam. Walaupun orang baru dalam dunia selam skuba, saya tidak pernah bimbang untuk mengikuti aktiviti ini kerana ia dikendalikan oleh penyelam profesional bertaraf dunia.” 
 

Menurut AyangKamell, bajet untuk menyertai percutian ini agak berpatutan. Misalnya aktiviti menyelam scuba di Pulau Perhentian dengan enam kali menyelam, berharga sekitar RM700. Manakala percutian di Pulau Sipadan, Sabah selama empat hari tiga malam dengan enam kali menyelam, berharga RM1000, namun tidak termasuk tiket penerbangan.


 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.