Oct 03, 2017 - 146

Tradisi ‘Ragging’ di Sekolah Asrama MESTI dihapuskan! JANGAN Sampai Nyawa Melayang Lagi — Dia Mungkin Anak Kita

Budaya buli kian membara dalam kalangan pelajar di negara kita. Malah, ia semakin ekstrem sehingga nyawa pun melayang! Apakah ini harga untuk sebuah kehidupan?

 

 

Oleh: Norhaizan Ahmad

 

 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com

 

 

 

 

BULI atau ‘ragging’ cukup sinonim dalam kalangan pelajar di sekolah berasrama. Ketika zaman saya bersekolah dulu, buli itu setakat ambilkan makanan di dewan makan untuk senior ataupun tiup kipas, cium tiang dan calit muka dengan warna air (selalunya berlaku ketika minggu orientasi), katanya mahu menjalinkan hubungan lebih rapat dengan senior. 

 

Namun dewasa ini kes buli sudah sampai tahap ugutan, pukul, membelasah beramai-ramai sehingga luka-luka pada badan mangsa, apakah itu dikira sebagai ‘ragging’ yang dianggap mahu mengeratkan hubungan antara pelajar baru dan pelajar lama? 

 

Kes buli kini bukan sahaja berlaku di sekolah berasrama ataupun institut pengajian tinggi (IPT), malah dilaporkan turut berlaku di sekolah rendah. Cuba bayangkan, budak yang belum akli baligh pun dah pandai membuli? Bila dah besar nanti jadi apa agaknya budak tu? Memetik kata-kata Presiden Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Prof Madya Datuk Ali Hasan, “Masyarakat umum termasuk ibu bapa, guru dan komuniti tidak seharusnya berasa selesa terutama apabila ada yang mencanangkan bahawa isu buli ini terkawal sedangkan realitinya ia wujud. Inilah senario yang membimbangkan, jika dulu buli hanya dalam kalangan pelajar sekolah menengah, sekarang murid sekolah rendah pun terbabit, dulu hanya pelajar lelaki, tetapi kini melibatkan pelajar perempuan. Dulu kita biasa mendengar kes buli berlaku di sekolah berasrama, tetapi kini ia turut berlaku di sekolah aliran agama.” 

 

 

Bolehkah Kita Kenal Pasti Budak Yang Ada Potensi Jadi Kaki Buli?

Pembuli lazimnya mengalami masalah emosi dan kurang rasa empati. Kebanyakan mereka kurang keyakinan, menggunakan kekerasan untuk membalas dendam dan jika berdepan masalah gagal untuk berinteraksi. Secara normal, jika kita lihat orang yang dicederakan kita akan rasa kasihan, tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai perasaan empati tidak berasa apa-apa. Ada juga sikap pembuli ini yang berkait rapat dengan pengambilan dadah sehingga menghilangkan rasa empati. 

 

Remaja atau pelajar yang terbabit dengan buli selalunya datang daripada keluarga yang mengambil pendekatan hukuman dalam mendidik tanpa kasih sayang. Tidak bertolak-ansur dengan anak. Justeru, anak menyimpan dendam dan melepaskan kepada orang lain termasuk adik-beradik dan rakan sekolah yang lebih lemah. Kehidupan harian mereka yang penuh dengan sepak terajang dan kata-kata kesat misalnya mendekatkan lagi diri mereka untuk membuli dan terus membuli. 

 

Kes buli juga berlaku disebabkan pengaruh rakan sebaya yang negatif. Kerana pada zaman ini, remaja lebih mengutamakan rakan sebaya berbanding ibu bapa atau ahli keluarga dalam kehidupan mereka. Kebiasaannya kumpulan pelajar ini mempunyai satu kumpulan yang ditubuhkan sendiri bagi menjaga kepentingan ahli kumpulan masing-masing. Mereka bergerak dalam satu kumpulan dan melakukan apa yang dilakukan oleh ahli lain bagi mengiktiraf keahlian mereka. Justeru, ada yang membuli kerana terpengaruh dengan rakan dan sekadar berseronok-seronok tanpa memikirkan risiko yang bakal diterima. 

 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com

 

 

 

 

Tradisi Buli Wajar dihapuskan, Tapi Kenapa Ramai yang Masih Buat?

Tradisi ‘ragging’ yang dijalankan di sekolah berasrama terutamnya yang bersikap negatif wajar dihapuskan. Perkara yang tidak senonoh kononnya dilakukan untuk menjadikan pelajar lebih ‘keras’ adalah tidak benar kerana banyak lagi cara untuk menerapkan ketahanan diri para pelajar bukannya dengan cara yang bukan-bukan sehingga mencederakan anak orang. 

 

Dalam isu buli, pendekatan dalaman perlu ditekankan berbanding luaran. Isu dalaman ialah melengkapkan pelajar dengan jati diri yang terdiri daripada akhlak yang baik, pendidikan agama mencukupi, budi bahasa, mengamalkan nilai murni dan mempunyai hubungan baik dengan ahli keluarga serta rakan taulan. 

 

Ibu bapa dan pihak sekolah/IPT boleh menyelami jiwa anak/pelajar menerusi sistem amaran awal dengan melihat perubahan kelakuan dan sikap, pergaulan dan prestasi akademik mereka. Hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa juga penting. Realitinya, sekolah/IPT yang berjaya daripada segi akdemik dan pelajar kurang masalah disiplin termasuk tiada ciri jenayah dapat dilihat pada sekolah/IPT yang mewujudkan hubungan dan kerjasama baik dengan ibu bapa. 

 

Faktor kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab terhadap anak merupakan akar tunjang kepada berlaku gejala negatif seperti ini. Pada era moden ini, ibu bapa hanya mementingkan profesion dan kerjaya mereka yang bermotifkan hanya untuk mencari duit sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Ini menyebabkan anak itu kurang mendapat perhatian dan belaian kasih sayang. 

 

 

Tahukah Anda, Anak yang Agresif Itu Berpunca Daripada Didikan Ibu Bapa?

Anak juga sebenarnya tidak mengetahui perkara yang dilakukan oleh ibu bapa mereka itu betul atau salah, baik atau buruk, akibat daripada tiada bimbingan daripada ibu bapa, akhirnya mereka terjebak dalam gejala buli. Tambahan pula belaian kasih sayang yang tidak cukup yang diterima daripada ibu bapa juga melahirkan anak yang bersikap agresif dan tidak berperikemanusiaan sehingga mereka sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap orang lain tanpa mempunyai rasa belas kasihan. 

 

Selain itu, kekurangan pengawasan dan kawalan disiplin yang longgar di sekolah atau universiti juga mendorong berlakunya gejala buli. Pihak sekolah yang kurang peka dan tidak mengambil peduli tentang hal ehwal pelajar serta kelonggaran kawalan disiplin memberi peluang keemasan kepada para pelajar untuk mengambil kesempatan melakukan gejala sosial seperti buli. Kelonggaran kawalan disiplin juga menyebabkan pelajar terutamanya pelajar lelaki menunjukkan keberanian mereka dan mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja perkara secara bebas tanpa rasa takut. 

 

Kekurangan penghayatan nilai-nilai moral dan agama juga menyebabkan para remaja terlibat dalam gejala negatif seperti buli ini. Hal ini disebabkan seseorang pelajar yang mempunyai nilai moral dan agama yang tinggi tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam gejala yang negatif. Tambahan pula, kekurangan penghayatan nilai moral dan agama juga membentuk remaja yang kurang berakhlak dan tidak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi betapa pentingnya nilai moral dan agama dalam kehidupan. 

 

 

Janganlah Kita Jadi Ketam yang Mengajar Anak Berjalan Lurus, Ingat Tu!

Ada banyak langkah yang efektif boleh dijalankan bagi membendung gejala ini. Antaranya ialah ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakukan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan atau tindak-tanduk ibu bapa sentiasa betul dan patut diikuti/dicontohi. Janganlah ibu bapa berkelakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, tetapi di luar masya-Allah. Bak kata pepatah, seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget. 

 

Di samping mengejar kesenangan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga seharusnya sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk peribadi anak-anak mereka sejak kecil lagi ibarat melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi, fikir-fikirkanlah ya! 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.