Dec 12, 2016 - 274

Anda Sedang Membesarkan Lelaki atau ‘JANTAN’?

Anak anda itu ibarat sehelai kain putih. Persoalannya di sini, anak lelaki yang sedang anda besarkan itu, bakal menjadi lelaki budiman atau SEORANG JANTAN?

 

Oleh: Norhaizan Ahmad

norhaizan_ahmad@astro.com.my 

 

 

ANAK ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Justeru, tanggungjawab ini perlu digalas dengan amanah.

 

Pepatah juga ada mengatakan, “Menjaga anak perempuan lebih susah daripada menjaga sekandang lembu.” 

 

Saya akui pepatah tadi ada benarnya. Tetapi, mana boleh kita nak samakan mendidik anak kita dengan menjaga haiwan ternakan, bukan? Dan jika dahulu ibu bapa yang memiliki anak perempuan berasa tugas menjaga anak-anak gadis adalah ‘jauh lebih berat’ berbanding membesarkan anak lelaki, namun sebenarnya menjaga anak lelaki juga tak senang seperti yang disangka. Kerana anak lelaki bakal pikul tanggungjawab besar, melindungi kaum Hawa.

 

Ya, semua anak yang dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara ibu bapa merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi yang jelas dalam mendidik zuriat mereka. Saya cuba tekankan soal mendidik anak-anak kali ini kerana jika kita lihat kepada apa yang berlaku pada hari ini, banyak perlakuan jenayah melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak. 

 

Sebagai contoh, berita kematian tiga beradik yang dibunuh dengan kejam di Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, Kedah pada 30 November 2013 menyentap perasaan saya, juga seluruh rakyat Malaysia. Ya, ‘kehilangan’ Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14; Nur Izzati Husna, 12; dan Puteri Nurul Akma, 3; cukup mengejutkan kerana kanak-kanak yang tidak berdosa
ini sanggup dibunuh dengan kejam. 

 

 

Lebih menyayat hati apabila mayat Nor Syafikah ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong, manakala mayat dua adiknya, ditemui di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar kira-kira 3.5 kilometer dari mayat kakak sulungnya ditemui. 

 

Walaupun mereka ditemui lemas, pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh. Berbalik kepada kes tersebut, soalan saya, salahkah ibu kepada tiga anak perempuan ini apabila nyawa anaknya diambil sekali gus? Apakah dia tidak pandai mendidik anak? Kejam sungguh jika ada yang berpendapat sebegitu! 

 

Tugas sebagai ibu bukan mudah. Kaum ibu di luar sana, jika kamu sudah berusaha sebaiknya mendidik anak-anak perempuan kamu menjadi anak solehah, namun kalau ada jantan durjana (maaf kerana menggunakan istilah ‘jantan’ di sini, gelaran lelaki hanya sajak untuk yang budiman sahaja) yang ‘merosakkan’ anak kamu, apa yang kaum ibu boleh lakukan? Jika berlaku kecelakaan terhadap anak-anak perempuan kamu, siapa yang patut dipersalahkan? Ibu yang tidak tahu menjaga anak? Atau anak perempuan yang tidak pandai menjaga diri/maruah? 

 

Ini berlaku disebabkan jantan durjana. Noktah. Jantan sebegini wujud? Ya, kalau anak lelaki kamu tidak dididik dan diterapkan dengan nilai-nilai murni, maka perangai yang tidak senonoh bakal jadi pegangan mereka. Justeru, mendidik anak lelaki dan anak perempuan berbeza. Ibu bapa juga mempunyai peranan berbeza dalam mendidik anak-anak terutamanya bapa dalam memberikan perhatian dan bimbingan menurut Islam secara berterusan kepada anak khasnya anak lelaki. 

 

Kenapa anak lelaki? Kerana anak lelaki bakal menjadi imam, ketua keluarga dan pelindung wanita. Jika anak lelaki tidak dididik untuk menghargai wanita, maka perlakuan tidak bermoral seperti hari ini akan terus kita saksikan. Fikir-fikirkanlah...

 

 

Didikan Asas Berbeza

Menurut penulis buku 'Boys and Girls Learn Differently!', Michael Gurian; anak lelaki memiliki lebih sedikit saraf yang berhubung dengan emosi jika dibandingkan dengan anak perempuan. Justeru, kebanyakan anak perempuan lebih sensitif berbanding lelaki.

 

Secara psikologi, anak pada usia yang masih muda telah pun memiliki kesedaran dalam memilih permainan kegemarannya. Apabila dihubungkan dengan struktur otak dan saraf, anak perempuan yang lebih peka secara emosi berbanding anak lelaki akan memilih permainan yang memungkinkan dirinya berinteraksi seperti bermain anak patung. Sebaliknya, anak lelaki lebih tertarik dengan mainan yang berunsur kekuatan dan persaingan seperti bermain bola. Dan sebagai ibu bapa juga, kita perlu peka dengan perbezaan antara anak lelaki dengan anak perempuan.

 

Tahukah Anda, Anak Perempuan Lebih Mudah didekati?

TIPS 1 Bayi perempuan akan menjaga ‘hubungan’ mata dengan ibunya. Juga lebih cepat mengeluarkan kata-kata pertama berbanding anak lelaki.

TIPS 2 Lebih bijak menggunakan tangannya. Jadi tidak hairanlah apabila anak perempuan dilihat lebih cepat bermain dengan pelbagai alat permainan seperti senduk dan garpu, malah lebih cepat dan mampu menulis dengan rapi.
 

TIPS 3 Anak perempuan juga lebih peka mengesan suara atau bunyi-bunyian.
 

TIPS 4 Anak perempuan lebih tertarik memerhatikan wajah seseorang, khususnya wajah ibunya. Mereka lebih bijak membaca emosi orang lain.

 

Fahami dan Fokuslah Pada Keperluan Anak Lelaki 

Dalam budaya masyarakat kita hari ini, anak lelaki sering dinasihatkan agar tampil berani, selalu menang dan tidak boleh menangis. Jadi siapa yang harus disalahkan jika anak lelaki kamu bersikap agak kasar dan lasak?

 

Awalnya, anak lelaki memiliki sikap terbuka yang sama seperti anak perempuan. Sebenarnya nilai-nilai positif mudah disampaikan kepada anak-anak yang masih kecil. Contohnya, ketika anak lelaki kamu sedang bersedih, kamu boleh mendekatinya sambil berkata, “Kenapa sedih? Ibu rasa lega kalau abang nak kongsi masalah dengan ibu. Mungkin ibu boleh tolong?”

 

Hanya dengan pujukan ringkas, kamu boleh mengenali emosinya sekali gus mengajarnya untuk saling berkongsi. Persiapkan anak lelaki kamu untuk menghadapi pelbagai tekanan sepanjang hidupnya, terutamanya yang berkaitan dengan tuntutan masyarakat agar senantiasa menjadi individu yang ‘kuat’. Jadi, penanaman nilai-nilai positif ini harus terus diperkukuhkan hingga dia dewasa.

 

Buka peluang kepada anak lelaki kamu untuk berbicara. Mungkin kamu boleh mengambil kesempatan untuk berbual sewaktu menghantarnya ke sekolah. Rutin ringkas ini akan memberi kesempatan kepada anak lelaki kamu untuk belajar bersikap terbuka, beri kebebasan dalam membuat keputusan dan berikan sepenuh kepercayaan. Dan percayalah, anak lelaki kamu akan jadi lelaki budiman.

 

 

13 Panduan Berguna Untuk Anda Amalkan 

PANDUAN 1 Elakkan memukul anak dari lutut ke atas. Sebaliknya rotan/pukul anak di telapak kakinya. Secara saintifik, ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak.

PANDUAN 2 Elakkan daripada menggunakan tangan kita untuk memukul anak. Nanti anak bertambah degil dan tak boleh dikawal.

PANDUAN 3 Pilih nama panggilan yang baik untuk anak kamu. Nama yang kurang baik menyebabkan anak malu dan berasa rendah diri.

PANDUAN 4 Peluklah anak kamu setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari mempunyai IQ yang lebih baik berbanding anak yang jarang dipeluk.

PANDUAN 5 Pandanglah anak kamu dengan pandangan kasih sayang. Ini membuatkan anak lebih yakin apabila berhadapan dengan persekitaran.

PANDUAN 6 Berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang- kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.

PANDUAN 7 Janganlah mengharapkan anak kamu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang, pasti mereka pernah berbuat silap.

PANDUAN 8 Jangan mengeluh dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Keluhan akan membuatkan anak-anak berasakan diri mereka beban.

PANDUAN 9 Tenangkan anak kamu setiap kali mereka memerlukannya. Tunjukkan kepada anak bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

PANDUAN 10 Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut ulang tahunnya. Sediakanlah hadiah yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak kamu belajar menghargai. Anak- anak yang membesar dalam persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain. 

PANDUAN 11 Hargailah permainan kesayangan anak kamu. Pada masa sama, mereka juga akan menghargai barang-barang kesayangan kamu. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

PANDUAN 12 Jangan biarkan anak-anak kamu tidur tanpa ciuman selamat malam. Ciuman ini sebagai tanda kasih sayang.

PANDUAN 13 Jangan bawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga. 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.