Jan 25, 2017 - 1618

Kenapa Parkir Secara Mengundur Lebih Selamat? Ini Kelebihannya, Ia Pasti Ubah Habit Anda Selepas Ini

Banyak bertanggapan, parkir secara mengundur itu susah. Tetapi tahukah anda, habit pemanduan ini banyak kebaikannya untuk anda?

 

Oleh: Norhaizan Ahmad 

 

 

 

Sumber foto: www.metalworkingworldmagazine.com

 

 

 

KECENDERUNGAN lebih ramai pemandu di Malaysia yang memilih untuk memasuki ruang letak kereta secara mengundur dewasa ini sangat dipuji. Tahukah InTrenders, parkir secara mengundur adalah lebih baik dan selamat? Di sini, InTrend kongsikan lima sebab kenapa parkir secara mengundur sangat-sangat digalakkan dalam kalangan pemandu terutamanya pemandu wanita ya! 

 

5 Sebab Parkir Secara Mengundur Lebih Selamat

SEBAB 1

Kenderaan yang diparkir dengan bahagian hadapan mengadap laluan kenderaan akan mudah dilihat oleh orang ramai yang lalu lalang sekiranya pencuri kereta sedang mencuri kenderaan, memecahkan kunci stereng, cuba menghidupkan enjin kenderaan secara ‘hot wire’ atau apa-apa tindakan yang mencurigakan.

 

SEBAB 2

Meletak kenderaan secara mengundur juga akan menyebabkan but kenderaan rapat ke dinding. Ini akan menyukarkan penjenayah untuk membuka but kereta anda.

 

SEBAB 3

Dengan kejadian jenayah yang semakin meningkat, adalah lebih mudah untuk anda keluar dari tempat letak kereta sekiranya keselamatan anda terancam.

 

SEBAB 4

Mengundur ke tempat letak kereta lebih selamat daripada mengundur ke laluan kenderaan. Memandu keluar ke hadapan adalah lebih selamat kerana kita dapat melihat kenderaan yang lalu lalang dengan mudah.

 

SEBAB 5

Data menunjukkan, ia memerlukan masa 90 saat untuk purata kereta berusia lima tahun untuk enjinnya panas sebelum mencapai tahap suhu efisien. Menurut kajian, mengundur dari tempat letak kereta ketika enjin sejuk akan menggunakan 20 – 25 kali lebih banyak minyak. Memandu ke hadapan lebih menjimatkan minyak kerana ratio gear yang lebih rendah ketika mengundur berbanding dengan gear satu.

 

 

>>>[KLIK DI SINI] 12 Tips Jimatkan Petrol Kereta Semua Wanita Perlu Tahu Supaya Anda Tak digelar ‘BIMBO’<<<

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

Kenapa Masih Ramai Takut Parkir Kereta Secara Mengundur?

Namun saya yakin, masih ada segelintir yang bimbang untuk memakir kereta secara mengundur. Jika ditanya kenapa? Rata-rata menyatakan mereka bukanlah pemandu yang cekap, selain tidak yakin dan tidak mendapat kerjasama pemandu lain yang sering membunyikan hon ketika mereka terkial-kial memakir secara mengundur.  

 

Kemampuan dan kemahiran memandu dan menganggarkan jarak adalah berbeza daripada seorang individu dengan individu yang lain – itu tidak disangkal. Namun, memasukkan kenderaan secara mengundur pada ruang parkir adalah jauh lebih baik dan cekap berbanding memandu masuk bahagian depan dahulu.

 

Jika seseorang yang kurang mahir memandu dan ingin memasukkan kenderaan pada ruang parkir, ia akan memerlukan lebih banyak masa juga – tidak kira ketika memandu masuk bahagian depan kenderaan dahulu atau secara mengundur – berapa banyak masa, itu bergantung kepada individu terlibat.

 

Namun, memasuki ruang letak kenderaan secara mengundur adalah lebih selamat; pendekatannya juga lebih cekap dan berkesan bagi pemandu. Mengapa? Ini mungkin lebih tertumpu ketika anda ingin mengeluarkan semula kenderaan kemudiannya dari ruang letak kereta berkenaan. 

 

 

Kelebihan Lain yang Tidak Anda Sedari 

Ada juga kelebihan lain parkir secara mengundur ini. Katakanlah, anda terlupa menutup lampu depan, dan selepas beberapa tempoh, bateri akan habis dan kenderaan anda enjinnya tidak boleh dihidupkan. Dalam posisi muka kenderaan menghadap ke luar, sangat mudah untuk orang membantu “jump-start” kereta anda. Begitu juga sekiranya kenderaan tiba-tiba rosak dan perlu ditunda ke bengkel; ia akan memudahkan urusan penundaan tersebut.

 

Kelihatannya, memasuki ruang letak kereta secara mengundur kami fikir adalah lebih baik dan berkesan dalam banyak keadaan. Lebih penting lagi, pendekatan selamat yang mampu diberikannya kepada pemandu serta pengguna lain dalam persekitaran yang sama, kita sendiri pasti pernah berdepan dengan situsi sukar ketika ingin mengeluarkan kereta secara mengundur kerana tidak jelas penglihatan terhadap aliran trafik yang ada di sekitar.

 

Jika anda belum pernah atau merasakan susah untuk memasuki parkir secara mengundur, apa kata anda cuba dahulu selepas ini dan bandingkan. Kami berpendapat cara ini lebih selamat. Anda pula bagaimana, ada pandangan yang berbeza?

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.