Jun 08, 2018 - 11051

Ini Sebabnya Datuk Seri Siti Nurhaliza ‘Follow’ Instagram Wanita Ini — Anda Perlu Lihat Ini!

Macam-macam ada! Boleh memasak lima menu dalam sejam, pendekatan kapsyen yang santai selain tidak lokek berkongsi ilmu, tips dan teknik memasak membuatkan pengikut berasa dekat dengannya.

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

Kredit foto:

 

 

 

Dia bukanlah chef selebriti yang terkenal dalam arus perdana. Tetapi dalam kalangan pengikut Instagram yang menggemari ruang masakan, dia antara chef amatur yang popular. Mempunyai pengikut seramai 265,000; dia dianggap sebagai life saver bagi ibu-ibu mahupun wanita muda di luar sana yang baru berjinak-jinak dengan sudip dan kuali di dapur.

 

Baru dilantik sebagai duta Adabi, saya berkesempatan menemu bual wanita ini yang mesra disapa Kak Yatie, mencungkil personalitinya dan apa yang istimewa di sebalik setiap masakannya.

 

 

 

Sejak bila dan bagaimana bermula lantas dikenali dalam kalangan pengikut Instagram yagn gemar memasak?

Masa Kak Yatie mula berjinak-jinak dengan Instagram. Ia lebih kepada koleksi peribadi sebenarnya. Umpama diari masakan yang memuatkan pelbagai resipi. Kak Yatie memang suka memasak dan kemudian Kak Yatie akan post.

 

Almaklumlah, banyak menu yang dimasak dan dek kerana takut terlupa; jadi Kak Yatie akan taip resipi-resipi semua menu yang dimasak. Kalau dahulu, tak ramai yang tahu dan entah kenapa semakin lama semakin ramai pula yang mengikuti Instagram saya.

 

Pada Kak Yatie, ia satu petanda baik kerana barulah tahu, oh ramai sebenarnya yang suka masak. Terutama mereka yang baru berkahwin atau yang baru berjinak-jinak belajar memasak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Minat memasak pula mula terbit sejak bila?

Sejak kecil lagi. Entahlah Kak Yatie tak pasti bagaimana mahu huraikan. Mungkin ia satu passion dan terapi diri. Dahulunya, sewaktu kecil (darjah empat) Kak Yatie suka tengok emak masak. Kak Yatie perhatikan sahaja apa yang emak masak. 

 

Apabila masuk tingkatan satu, ada mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga yang turut memuatkan sukatan pelajaran memasak. Cikgu akan cakap, “Okey, esok kita akan belajar masak sandwich,” dan daripada situlah rasa teruja dan seronok untuk memasak mula berkembang.

 

Apabila ada peluang, Kak Yatie akan masuk dapur dan masak. Dan entah kenapa, Kak Yatie tak bertanya kepada emak bagaimana cara-cara memasak. Sebaliknya Kak Yatie perhatikan sahaja apa yang dia buat. Kemudian Kak Yatie akan cuba buat.

 

Dijadikan cerita, suatu hari kononnya nak beri kejutan kepada family. Maka Kak Yatie masak asam pedas ikan terubuk. Tapi lepas family balik, diaorang tak sentuh pun asam pedas tu. Pelik juga kenapa diaorang tak makan.

 

Rupa-rupanya sisik-sisik ikan tu Kak Yatie tak buang, hahaha… Teknik-teknik macam itu Kak Yatie belum belajar dan jauh sekali tahu-menahu macam mana nak besiang ikan! Patutlah diaorang tak makan sebab tengok sisik-sisik ikan itu timbul.

 

Kemudian, emak panggil, “Lain kali buat macam ni. Ni kena buang, bla bla bla.” Sejak daripada itu, segala jenis sisik ikan Kak Yatie buang (ketawa)

 

 

 

 

 

Dan lepas momentum memasak mula naik, Kak Yatie akan panggil kawan-kawan datang ke rumah dan Kak Yatie akan masak. Kalau pergi ke rumah dia orang Kak Yatie akan tawarkan diri masuk ke dapur dan tolong masak. Bukanlah nak menunjuk tapi rasa puas bila masuk dapur. Memang Kak Yatie minat sangat memasak.

 

Kata orang kalau anda boleh menyanyi itu bakat, begitu juga dengan berlakon. Dan mungkin perihal yang sama juga Allah anugerahkan buat Kak Yatie. Ya, mungkin bermula dengan bakat dan diikuti dengan minat.

 

Ia seolah-olah datang secara semula jadi dan bukannya disebabkan Kak Yatie belajar atau apa. Memang kerana minat. Kalau belajar sekalipun, ya memang ada belajar. Contohnya mak Kak Yatie ajar itu dan ini dan Kak Yatie juga ada Google resipi.

 

Kalau dahulu, bukannya ada media sosial. Kalau terlihat resipi dalam surat khabar, Kak Yatie akan potong keratan akhbar dan simpan. Begitu juga dengan buku-buku resipi, Kak Yatie akan beli dan baca. Tetapi Kak Yatie tak ambil kelas memasak.

 

Mengenai teknik memasak pula, perlahan-lahan Kak Yatie belajar semasa proses memasak itu sendiri. Bila masak hari-hari, secara tidak langsung anda akan mengkaji. Dan apabila anda mengkaji anda akan mula belajar untuk perbaiki.

 

Contohnya kalau masak kali pertama tak menjadi, janganlah cepat putus asa. Buat lagi dan lagi. Belajar dan gali lagi. Nak masak kari dan sambal contohnya, selagi tak pecah minyak dan tak capai kualiti rasa itu, Kak Yatie akan sentiasa cuba sampailah akhirnya menepati rasa dan teksturnya.

 

Misalnya untuk dapatkan kari yang cantik perlu tumis lima kali, masuk air dahulu kemudian baru masukkan santan dan lain-lain lagi – teknik inilah yang Kak Yatie kongsikan dengan pengikut di Instagram.

 

 

 

 

 

Dan seperkara lagi, pada Kak Yatie semua ilmu ini Allah yang beri. Misalnya ada sesetengah orang yang terlalu berahsia, tak mahu kongsi resipi dan sebagainya. Itu terpulang tetapi pada pemahaman Kak Yatie itu semua kita takkan bawa masuk ke kubur pun.

 

Perkara lazim yang berlaku dalam kalangan kita, “Eh kenapa aku masak tak sama eh?” Kerana apabila bertanya si polan bagaimana teknik memasak dan tips, tidak dikongsinya dan dihuraikan dengan terperinci.

 

Malah ada yang berkata, “Ni resipi turun-temurun”. Tetapi apabila kita mengajar orang yang bertanyakan cara memasak sesuatu menu, lantas dihuraikan apa tips, teknik, do’s and don’ts insya-Allah pasti menjadi.

 

Pada Kak Yatie, resipi semua orang boleh beri. Begitu juga dengan produk, tak kiralah anda gunakan Adabi ke, Babas ke apa-apa sekalipun yang penting adalah teknik dan cara memasak yang betul. 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula jika ada yang mengaplikasikan teknik dan tips yang Kak Yatie ajarkan lantas dijadikan sebagai sumber pendapatan pula, komen?

Oh, Kak Yatie tidak pernah berkira atau mahu ambil kredit. Selagi ia bermanfaat, gunakanlah. Pada Kak Yatie ilmu ini akan lebih berkat dan bermakna apabila dikongsi. Malah Kak Yatie pernah terbaca, pahala ilmu yang dikongsi dan diamalkan akan berpanjangan walaupun kita sudah tiada suatu hari nanti.

 

Kak Yatie tiada masalah dengan sesiapa yang mengambil resipi, apply teknik dan tips yang Kak Yatie kongsi di Instagram untuk memulakan bisnes. Sekurang-kurangnya mereka peroleh sumber pendapatan untuk. Alhamdulillah Kak Yatie tumpang bangga dan bersyukur.

 

 

 

 

 

 

 

Kemahiran dan bakat memasak diwarisi daripada siapa?

Emak dan abah Kak Yatie memang pandai masak. Biasalah ema-emak kita masak, air tangannya itu memang semula jadi sedap. Tapi abah pun tak kurang hebat juga. Air tangannya dan apa jua masakannya semua menjadi.

 

Seperkara mengenai abah, dia adalah pengkritik tegar setiap masakan Kak Yatie. Dia bukanlah jenis yang suka memuji walaupun Kak Yatie masak sedap. Dia akan diam sahaja. Condemn adalah, itu tak kena ini tak kena, kena masak lama itulah inilah.

 

Pernah dahulu Kak Yatie masak kek butter kampung kegemarannya. Semua yang makan memuji, sedap. Tetapi abah menidakkannya. Hanya selepas kali keenam Kak Yatie olah resipi dengan mencampurkan tiga jenis mentega barulah dia kata, “Ha, macam nilah! Kemudian Kak Yatie cepat-cepat salin semual resipi dan muat naik di Instagram.

 

Malah ada bakers yang sudah gunakan resipi itu untuk berniaga. Oh, bukan mudah untuk memenuhi cita rasa dan selera abah. Dan kerana abah jugalah yang selalu menaikkan semangat Kak Yatie untuk terus memasak dan belajar perbaiki teknik masakan.   

 

 

 

 

 

 

 

Pandangan Kak Yatie kalau ada berpendapat nak memasak ini renyah, leceh, susah, nak siapkan bahan itu ini; apa komen Kak Yatie?

Taklah! Pada Kak Yatie itu semua berpunca daripada dalam diri sendiri. Terpulang kepada pemikiran masing-masing. Kalau anda rasa susah, maka susahlah. Tapi tidak kurang juga ada yang berinisiatif, misalnya apabila sudah berkahwin; mahu atau tidak perlu masuk dapur dan masak.

 

Dan untuk itu, mereka perlu belajar. Sementelah sudah ada Instagram, ia adalah medium yang amat bagus, mudah dan dekat. Nak rujuk, tanya dan tengok semua boleh! Umpamanya anda punya close contact dengan orang yang tertentu. Tambahan pula kalau disertakan dengan video, lagilah membantu.

 

 

 

 

 

 

 

 

Ada tawarkan perkhidmatan catering, pack food atau delivery? Lantas bagaimana punya connection dengan selebriti antaranya Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Dato’ Chef Wan, Sheila Rusly, Ozlyn, Anzalna dan ramai lagi?

Sebenarnya Kak Yatie bekerja di salah sebuah pusat perubatan swasta dan tugas Kak Yatie bertanggungjawab mengendalikan klien-klien VVIP. Ia termasuklah kerabat diraja, selebriti dan seangkatan dengannya. Dan kerana itulah Kak Yatie berpeluang mengenali mereka.

 

Tetapi Kak Yatie tak pernah reveal Instagram Kak Yatie kepada mereka. Dan jika anda perasan, dalam tiada pun foto peribadi Kak Yatie. Cuma foto masakan sahaja. Dijadikan cerita, suatu hari Sheila Rusly ada rakam video yang secara kebetulan ada wajah Kak Yatie.

 

Dan entah bagaimana ada yang beri komen, “Oh, Yatie Kitchen ni you eh?” Dan daripada situ bermulalah segalanya dan mereka mula mengenali Kak Yatie. Dan mereka mengenali Kak Yatie sebagai petugas di hospital.

 

Bukannya kerana Kak Yatie kenal ramai artis sementelahan itu sudah menjadi skop kerja dan tugas hakiki di hospital. Pada Kak Yatie, tak perlu rasanya untuk muat naik foto dengan selebriti atau kerabat diraja kerana fokus Kak Yatie dalam Instagram sememangnya untuk berkongsi resipi dan masakan, itu sahaja.

 

Selepas mereka mula mengenali Kak Yatie, ada yang berkata; “Teringinlah nak rasa Kak Yatie masak,” dan Kak Yatie akan cuba penuhi permintaan mereka. Malah Kak Yatie merayu kepada mereka janganlah pula muat naik menu yang diberi kerana Kak Yatie tidak melakukan perkhidmatan catering, delivery, pack food dan sebagainya.

 

 

 

 

Cara Kak Yatie melayan kerenah pengikut di Instagram, pernah menerima permintaan yang mungkin memeningkan kepala?

Kak Yatie ada terima DM yang menyatakan bapanya menghidap kanser. Dan Kak Yatie memang lemah kalau dengar orang tua sakit itu ini. Jika ditolak, sudah tentu akan dirundung rasa bersalah.

 

Maka, Kak Yatie masak menu yang disukai bapanya, iaitu acar ikan masin dan beri kepadanya. Ada dalam kalangan pengikut Kak Yatie yang dapat dan ada juga yang menggunakan cable power (hahaha) yang boleh melemahkan Kak Yatie. Susah sebenarnya nak melayan permintaan mereka tetapi Kak Yatie cuba.

 

Ada yang mengecam berkata itu ini dan Kak Yatie banyak meluahkan perasaan dengan sis Sheila Rusly. 

 

Takkanlah pula setiap komen perlu dibalas kerana seperti orang lain, Kak Yatie juga bekerja. Mentaliti orang kita ini mahu disuap, tidak baca sampai habis sudah bikin konklusi sendiri. Dan perkara sebeginilah yang memenatkan.         

 

 

 

 

 

 

Kepuasan dalam memasak Kak Yatie rasakan apabila…

Apabila stres. Kalau sesetengah orang akan hilangkan stres dengan shopping, pergi gimnasium. Tetapi apabila Kak Yatie stres, Kak Yatie akan memasak. Buka peti ais, tengok apa yang ada dan terus masak.

 

Dan kalau sesiapa yang ada di rumah berkata, “Kenapa masak? Dah ada lauk ni?” tapi Kak Yatie akan diam aje dan masaklah kek atau apa-apa menu. Puas dan lega rasanya apabila dapat melepaskan tekanan melalui memasak.

 

Pada Kak Yatie ada perbezaan antara memasak dalam keadaan stres dan memasak dalam keadaan marah. Kalau marah, memang masakan anda ke laut! (hahaha)    

 

 

 

Sudah handal memasak, mengapa tidak cuba uji kemahiran dalam skop lebih besar?

Dahulu pernah, dek kerana paksaan kawan-kawan. Sejujurnya Kak Yatie tidak gemar dan berasa takut untuk menyertai pertandingan masakan walaupun suka memasak. Dan bercerita mengenai pengalaman, dahulu Kak Yatie pernah sertai pertandingan Masterchef musim pertama tetapi hanya melepasi peringkat cook-off sahaja.

 

Pada peringkat ini, calon yang terpilih akan terus layak sebagai barisan peserta. Mereka menguji kebolehan calon peserta memasak dalam masa satu jam (mengikut menu yang dipilih sendiri) Alhamdulillah Kak Yatie berjaya masak nasi ulam dan persembahkan kepada juri.

 

Penilaian juri pula terbahagi kepada dua elemen iaitu juri dan sesi temuduga personaliti. Memandangkan ketika itu Kak Yatie baru berusia sekitar 18 tahun, manalah tahu cara-cara menjawab soalan.

 

Tergagap-gagap menjawab. Dan Kak Yatie gagal melepasi peringkat itu. Tetapi pada Kak Yatie, semua itu satu pengalaman dan jauh sekali berasakan Kak Yatie handal memasak. Masih banyak lagi yang Kak Yatie tak tahu dan perlu belajar.

 

 

 

 

 

 

 

 

Apa lagi pengalaman atau kisah daripada pengikut yang Kak Yatie kutip sepanjang mula dikenali dan diikuti?

Oh, ada seorang wanita ini. Ceritanya benar-benar menyentuh hati dan menjentik emosi. Dia berkongsi cerita menerusi DM. Katanya dia baru sahaja berkahwin dan perkahwinan itu adalah perkahwinan yang diatur.

 

Bukan mudah mereka mencari keserasian dan baru ingin mengenali hati budi masing-masing. Mereka hanya kenal dan bercinta selepas berkahwin. Si isteri ini mengambil inisiatif untuk pikat hati suami dengan memasak.

 

Walaupun si isteri tidak pandai memasak, tetapi dia lihat Instagram Kak Yatie untuk belajar. Syukur suaminya memuji dan umpama sudah jatuh cinta dengan isteri kerana masakannya. Masya-Allah, terharu Kak Yatie membaca kiriman DM nya yang panjang lebar itu.

 

Ada juga yang DM dan berkata ambil resipi untuk berniaga dek kerana suami sudah tidak sihat dan tidak boleh bekerja. Maka berbekalkan resipi itu (ayam masak kicap) dia jual di pasar malam dan sentiasa habis menunya.

 

Umpamanya over to the moon kala Kak Yatie memaca semua DM oleh pengikut Kak Yatie. Tidak kurang juga ada yang lucu. Ada yang bertanya, “Kak Yatie ambil gambar ni guna phone apa?” Mungkin dek kerana terliur melihat foto makanan, hahaha… Macam-macam!    

 

 

 

 

 

 

Tips Kak Yatie kepada mereka yang baru berkahwin atau ingin berkahwin; apakah kemahiran memasak itu perlu dikuasai sepenuhnya atau bagaimana?

Kata orang jika mahu pikat hati suami adalah melalui air tangan isteri. Pada Kak Yatie, walau sesusah manapun, masaklah sekurang-kurangnya satu menu untuk suami kita walaupun hanya telur goreng.

 

salnya ia daripada air tangan anda, wahai isteri sekalian. Pahalanya berlipat kali ganda apabila anda memasak untuk suami.  Dan mungkin juga potensi untuk suami cari lain itu rendah peratusannya. Kak Yatie pernah berkata dengan suami, “Pergilah cari lain,” Tetapi katanya, “Eh tak boleh, gila?” “Tahupun takut!” (hahaha)

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Balik Raya — Tidur Berjemaah atau Check-in Hotel?

  • Seterus →

    Bila Nafsu Suami Orang Bercas-cas Pada Isteri Orang, Wanita ULAR API! — KISAH BENAR Ini Buat Ramai Terkesima