Apr 12, 2016 - 17

(EKSKLUSIF!) “Kerja Kita Ni Macam Orang Gali Kubur. Kalau Ada Orang Mati, Alhamdulillah. Keluarga yang Mati, Innalillah...”

Abon, regu ketawa Allahyarham Mr. Os berkongsi kisahnya bersama arwah yang menyentuh hati netizen...

osbon-800.jpg

“Saya Terharu, Hidayah Datang Kepadanya Pada Penghujung Usia.” - ABON 

Teks: Rosie Haslinda Nasir 
Instagram: @rosie.rania 


“Maaf, tadi sedang memandu. Saya baru pulang dari Gombak ni, baru pulang dari rumah arwah,” Shahrizan Ahmad (Abon) yang kami cuba jejaki, akhirnya membalas panggilan telefon saya. “Kebetulan, ramai sahabat datang hantar sedekah dan sumbangan di rumah arwah tadi. Alhamdulillah, dapat saya bantu urusan tahlil serba sedikit,” sambungnya tenang.  

Ya, InTrend menerusi bantuan Jalil Hamid, berjaya meloloskan diri selama 40 minit ke dalam pemikiran Abon ─ regu  komedi Almarhum Mr. Os. Dua sosok penghibur senior ini pernah menamai diri mereka sebagai ‘Osbon’ sehingga menjuarai pentas Maharaja Lawak 2012. Ayuh ikuti temu bual eksklusif ini. 

 

InTrend: Tuan Abon tahu arwah Mr. Os menanggung sakit selama ini?

Abon: Saya dapat tahu tentang sakitnya pun hanya pada 2012. Waktu itu, dia mengidap sakit tonsil. Saya ada menziarahinya di Hospital Serdang. Tapi dia tak beritahu pun tentang penyakit jantungnya. Yang dia kata, dia cuma buat pembedahan tonsil, itu saja. Rupa-rupanya selepas itu barulah saya tahu dia ada masalah jantung. Kata arwah, dia perlukan RM80,000 untuk tanggung kos buka semula saluran darah yang tersumbat dengan kaedah koronari angioplasti. Kalau kata orang kita, masukkan belon (stent) melalui saluran darah yang sempit. Untuk dia, doktor perlu masukkan lima belon untuk buka semula saluran darah. Arwah mengeluh. Mana dia ada RM80,000? Dia ada sebut, kalau dia perlu panjat tangga pejabat PM sekalipun untuk minta bantuan, dia sanggup buat. Untuk tunggu giliran pembedahan juga bukan senang. Dalam sebulan, lebih kurang empat pembedahan saja dapat dijalankan. “Kalau kita ada nama, kalau kita bekerja untuk rakyat, kita boleh dapat percuma,” begitu dia pujuk hati sendiri. Tapi memanglah sudah tersurat rezeki arwah, dia dapat jalani pembedahan itu dengan hanya membayar beberapa ratus ringgit sahaja kerana kos pembedahannya dibantu kerajaan.        

 

InTrend: Bagaimana hubungan arwah dengan Tuan Abon dan sahabat seangkatan?

Abon: Selepas tahun 2012, kita cuma berjumpa masa buat show. Dia pun tak pernah cerita lagi fasal sakit jantungnya. Tapi baiknya arwah ini, dia selalu berbahagi rezeki dengan kawan-kawan. Acappan dan Isma Halil misalannya, arwah tak pernah jemu-jemu bantu dua sahabatnya ini. Kalau ada penganjur kekurangan bajet untuk bayar harga yuran persembahan arwah, dia tak tolak begitu sahaja. Sebaliknya, dia usulkan nama Acappan dan Isma Halil. Walaupun dia sebenarnya tak berduit sangat malah perlukan duit itu, dia sanggup beri laluan kepada kawan-kawan. “Kita bagi semangatlah pada Acappan…” itu yang selalu arwah pegang.     

 

InTrend: Pernah berselisih faham sepanjang beregu komedi dengan arwah?

Abon: Yang benarnya, saya taklah berapa rapat dengan dia. Tetapi interaksi jadi akrab kerana Maharaja Lawak 2012. Sejarahnya begini, saya  mendaftar sebagai peserta solo. Tiba-tiba Penolong Penerbit datang kepada saya lalu bertanya, “Abang Abon, kalau tak jadi hal, boleh abang berpasang dengan Mr. Os?” Saya terkejut lantas membalas, “Kenapa pulak?”

“Mr. Os nak masuk sebagai kumpulan, bang. Tapi kalau tak ada kawan, dia nak tarik diri,” jawab Penolong Penerbit.

Saya tidak ambil masa lama untuk berfikir. Tetapi apabila mula berganding dengan Os, saya kaji dan selidik juga sedikit-sedikit tentang dia. Rupanya memanglah dia ini manusia seni istimewa. Bayangkan, di Malaysia ini, tidak ada pun filem yang mengangkat nama sendiri sebagai judul. Hatta P. Ramlee sendiri keluarkan filem dengan judul
‘Ragam P. Ramlee’. A.R. Badul pun setakat menamakan filemnya ‘Keluarga Si Badul’. Os ini lain, dia berani letak nama sendiri ‘Mr. Os’ untuk dipasarkan. Dia menukang skrip sendiri, dia juga yang mengarah. Kalau namanya tak kuat, mana datangnya orang berduyun-duyun penuhkan panggung wayang untuk tonton filem ‘Mr. Os’? Dia artis berilmu. Ada diploma, boleh bercakap Inggeris, Mandarin, Bahasa Iban, malah pernah juga keluarkan album lagu-lagu Iban (13 lagu semuanya).     

 

InTrend: Memori Tuan Abon menjadi regunya dalam Kumpulan Osbon?

Abon: Minggu pertama, dia jadi killer, saya jadi feeder. Maknanya, dia jadi pilot, saya jadi passenger. Kalau dalam sepak takraw, dia tukang lipatlah. Tapi strategi itu tak menjadi. Memang kami teruk kena bantai tiap minggu. Datuk Siti tak berapa suka, Zainal Abidin tegur, Chef Wan belasah jangan ceritalah. Momentum jadi perlahan. Saya perasan, semua itu terjadi kerana masalah ketumbuhan tonsil di lehernya. Ketumbuhan itu himpit peti suara arwah, sebab itu apabila dia cuba juga meneran-neran, suaranya tak berapa nak keluar, tak menjadi, show kami hambar. Masuk minggu ke-4, saya usulkan kami mesti tukar strategi. Saya ke depan, dia ke belakang. Masa itulah datang idea untuk saya keluar ke pentas pakai gaun tunggu boyfriend handsome yang saya kenal di Facebook. Formula kami berhasil. Sejak saat itu, Kumpulan Osbon menjadi-jadi.  

Masa kami buat persembahan mingguan di Johor Bahru, arwah beritahu saya, “Engkau orang Johor, engkau orang Jawa, peminat engkau orang Jawa. Ini kau punya gelanggang. Aku follow saja.” Maka saya pun ambil peluang itu untuk rangka content persembahan mengikut idea saya sepenuhnya. Maka terhasillah sketsa Bawang Merah Bawang Putih dengan ikan kaloi. “Jangan toleh ke belakang lagi, kita dah berada di landasan yang betul,” arwah optimis apabila melihat keputusan undi untuk Osbon naik luar biasa tiap minggu. 

 

InTrend: Macam mudah sangat dua bintang komedi yang saling tak kenal (dan tak rapat) selama ini jadi serasi?  

Abon: Selalunya, apabila kami duduk berbincang, kami memang cuba sogokkan idea masing-masing. Memang ada berbalah dan bertelagah sikit-sikit. Dia kata A, saya kata B. Dia kata C, saya bilang D. Tapi akhirnya saya ambil pendekatan begini, saya lebih tua daripada dia. Jadi saya beri jalan untuk dia ajukan idea dan cerita. Saya pula ambil peranan untuk kembangkan ceritanya itu. Dia jadi seronok, kerja saya jadi senang, idea pun datang mencurah-curah. Lama juga saya fikir, agaknya kalau kami sama-sama gagal rendahkan ego masing-masing, tak mungkin kami dapat raih kejuaraan Maharaja Lawak 2012.

Saya dulu bekerja di bahagian pentadbiran di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya terdidik lama dalam lapangan teater profesional di bawah asuhan Zakaria Ariffin dan Tan Sri Johan Jaafar. Dulu-dulu, saya mementaskan teater merata-rata seluruh Malaysia, sampai ke Sabah dan Sarawak, ke Singapura, Thailand, Filipina. Arwah pula lain latarnya. Asalnya dia adalah produk uji bakat RTM, pernah jalani audition rancangan sitkom ‘Santan Berlada’. Kalau tak silap saya, dia dulu bekerja sekejap di FAMA, di bahagian promosi dan jualan (maaf kalau salah). Arwah banyak terlibat secara langsung dalam proses melelong buah-buahan, perkakas pertanian, baja dan racun serangga perosak tanaman, selalunya di pasar-pasar pertanian. Di situ lagi sudah terserlah ramah-tamah dan loyar buruknya.   

Saya pernah buat VCD ‘Momok’ pada tahun 1995, di mana saya bertindak sebagai penolong pengarah, produser, pengurus produksi, maka kerap juga berulang alik KL-Pahang. Hebatnya zaman dulu, sebanyak 300,000 unit VCD ‘Momok’ terjual di seluruh negara! Saya cuma buka booth, buka but kereta, berniaga di pasar-pasar malam. Jadi apabila ada orang menawarkan arwah untuk membuat VCD berjudul ‘Os Anak Tarzan’, dia segera jemput saya menjadi penolong pengarah untuk mengarah bersamanya. Saya tak berapa yakin waktu itu. Shooting dibuat di rumah panjang di Sarawak, mengabadikan kisah suku kaum peribumi Sarawak, menggunakan pula Bahasa Sarawak. Memang saya rasa gentar, tak yakin. Tapi arwah bakar semangat saya, “Kalau bakat kita tak dicungkil orang, sampai bila-bila pun kita tak akan jadi orang hebat.”

 

InTrend: Arwah membawa teksi buruk selama ini. Tersampaikah hajatnya menukar teksi baru dengan wang kemenangan? 

Abon: Arwah pernah sebut, “Kalau artis buat kerja drebar teksi, orang akan cop kita dah teruk sangat dah. Dah tak ada kerja sangat dah. Tapi orang tak tahu, kalau aku bawa teksi, aku boleh dapat duit dalam jangka waktu yang aku boleh kira dan jangka. Kalau aku buat show, dan kalau anak aku mintak duit, aku akan jawab, “Tunggu abah ada show.”

Soalnya, bila ada shownya? Minggu depan? Bulan depan? Atau tahun depan?” 


Arwah juga pernah bergurau, katanya, “Kerja kita ni (para pelawak) macam orang gali kubur. Kalau ada orang mati, alhamdulillah. Keluarga yang mati, innalillah...”

Dia pernah sebut nak beli teksi baru dengan duit kemenangan. Ya, tadi saya lihat di rumah arwah, syukurlah, tercapai hajatnya untuk beli teksi baru yang elok dan selesa. Teksi lamanya (Proton Saga) masih ada, sudah pun dicat warna putih, jadi kenderaan keluarga. Hasratnya untuk besarkan chalet di Kuala Kangsar juga terlaksana.  Dia ada 12 unit chalet di sana, lengkap kolam renang, ada dewan untuk berkumpul dan bersantai, terletak pula di dalam kebun buah, ada durian, ada rambutan, ada pulasan… memang rezeki arwah dan seluruh keluarga. 

Yang buat saya paling terharu dan terkesan adalah hidayah yang datang kepadanya pada penghujung usia. Perjalanan hidup arwah membuat saya tambah percaya dengan falsafah ini: “Jangan fikirkan siapa diri kita pada permulaannya. Kerana yang penting, di penghujung usia kita nanti, itulah penentu segalanya…”

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.


Topik:  Osbon