Apr 20, 2016 - 15

[EKSKLUSIF!] Kisah Amal Jariah Pak Yus Jambu yang Netizen Tidak Pernah Dengar & Baca Sebelum Ini

Walaupun Pak Yus Jambu sudah meninggalkan kita, kisah hidupnya yang suka bersedekah dan beramal jariah boleh kita jadikan teladan...

Pak-yus.jpg

Kisah Sedekah & Amal Jariah Luar Biasa Pak Yus Jambu yang Membuat Ramai Tersentuh

Teks: Rosie Haslinda Nasir
Instagram: @rosie.rania
Foto Pak Yus: Ihsan ASTRO
 

Bersempena kehangatan program televisyen kesukaan ramai, Maharaja Lawak Mega 2016 yang kini sedang rancak ditayangkan setiap hari Jumaat jam 10.00 malam di saluran ASTRO Warna dan ASTRO Mustika HD, InTrend membawakan temu bual eksklusif bersama tiga individu penting, menyelongkar kisah benar di sebalik sikap dermawan luar biasa Almarhum Pak Yus semasa hayatnya masih ada. Selamat membaca.   


HAFIZ AKMAL MOHAMAD AMIN (AWE)
Pembantu Peribadi Terakhir Pak Yus Jambu 

Siapa Awe sebelum menjadi pembantu peribadi terakhir Pak Yus, ceritakan?
Awe: Saya kenal Pak Yus dan Tauke sekadar sebagai peminat. Saya orang Tanah Merah, menetap di Johor, bekerja di bahagian khidmat pelanggan, baru 21 tahun. Kali pertama berjumpa di Finas, di Maharaja Lawak 2011 pada waktu rehat, Pak Yus keluar dewan untuk uruskan baju-T Kumpulan Jambu. Jadi saya ambil peluang untuk serbu Pak Yus, bersalaman, bergambar bersama. Kali kedua, kami bertemu kerana Pak Yus berada di Johor untuk Teater Sri Mersing. Melalui nombor telefon yang diberi Kak Oyun (orang produksi juga), saya hubungi Pak Yus. Kebetulan, personal assistant Pak Yus terpaksa balik ke Langkawi. Pak Yus tak mahir selok-belok jalan di Johor. Saya diminta jadi teman penunjuk jalan.


InTrend: Sikap yang selalu dicerminkan arwah sebagai seorang lelaki, sahabat dan penghibur milik masyarakat?
Awe: Pak Yus adalah satu-satunya jenis manusia yang tidak tahu marah. Pernah terjadi Pak Yus lewat ke lokasi shooting kerana saya tidur lambat dan terbangun lambat. Bahananya, lambat jugalah saya mengejutkan Pak Yus. Sewaktu nak mengejutkan dia daripada tidur, jantung saya bergempa kuat. Lutut saya menggigil. Matilah aku, bisik hati saya. Anehnya Pak Yus tenang sahaja, “Tak apalah Awe, ini semua salah kita berdua..." Orangnya juga terlalu pemurah. Ada masa-masanya, saya disuruh memandu ke rumah anak yatim, diserahkan kepada saya sampul surat putih berisi wang tunai.
 

Amanahnya kepada saya, tolong sampaikan wang derma itu kepada penjaga rumah anak yatim. Pak Yus tak mahu turun dari kereta, “Tak payahlah, nanti orang kenai aku…” Begitu dia mengelak, enggan sedekahnya itu riuh diketahui orang.
 

Duit diberi tidak sedikit, kak. Kadang-kadang RM3,000. Pernah juga dia hantar sekepuk RM5,000. Kadang-kadang, duit show satu malam terus habis sebab dia membayarkan makan-minum orang lain dan peminat-peminat yang menggamitnya di kedai makan. Kadang-kadang tak kenal pun. Bayangkanlah. 


 

SABRI YUNUS 
Pengarah Filem Terakhir Lakonan Pak Yus Jambu 

InTrend: Budi pekerti Yus yang toleran, selalu simpatik dalam pergaulan, Abang Sabri melihatnya sejak bila? 
Sabri Yunus: Ini antara sifat-sifat asal Yus, bukan sikap-sikap baru. Semasa duduk di kelas Raja Lawak, ramai kawan yang membantu Yus, maka saya tak pelik jika dia membalasnya kembali. Akhir-akhir ini, apabila hidupnya sudah bertambah selesa, maka sudah tentu selesa juga untuk dia membalas budi dan membantu siapa-siapa yang dia mahu. Semasa di set penggambaran, dia tidak berkedekut, sentiasa mahu menjaga makan-minum kawan-kawan. Dia akan ke pekan membeli makanan, gula, biskut, roti, kopi, teh, hatta cawan, teko dan cerek elektrik pun dibelinya untuk kemudahan semua. Senang cerita, barang di dapur sementara kami dah macam 7-Eleven sebab dia. Seperti biasa, dia suka memberikan hadiah. Saya sendiri, pernah dihadiahkan dua perkara oleh Yus. Pertama, sepasang kasut. Kedua, sebilah kapak yang sangat cantik.

InTrend:  Hadiah kapak? Apa signifikannya?
Sabri Yunus: Ya, kapak itu bukan kapak biasa. Kapak itu ditukang, dikelok, diperinci, diasah elok di bumi Perlis. Ditukang sendiri oleh sahabat baiknya. Bentuknya unik. Sewaktu dia menunjukkannya kepada saya, saya tertarik sangat, lalu mahu menempah satu. "Tak payah tempah-tempahlah, bang. Ambil saja yang ini."



JON EKZOS 
Orang Terakhir di Sisi Pak Yus Jambu Sewaktu Arwah Hembuskan Nafas Akhir  

InTrend: Pahit-getir kehidupan lalu hanya kalian berdua yang tahu, boleh kongsikan?
Jon Ekzos: Pak Yus ini suka berkawan, tidak sombong, dengan siapa saja pun dia berkawan. Tak kira mat rempitkah, orang gilakah, semua jadi kawan. Kalau dia terlihat mak cik tua jual keropok di kaki lima bank, dia akan hulurkan RM50, tetapi keropoknya tidak diambil pun. Kalau dia nampak mak cik meminta sedekah dengan sederet anak, dia korek dompet dan hulurkan lagi RM50, “Nah mak cik, ambik duit ni bagi anak-anak makan.” Kalau kawan-kawan makan, nak sewa dewan futsal, dia yang membayarkan. Kadang-kadang bil makan-minum orang yang dia tak kenal di kedai makan pun, dia akan bayarkan, begitu sekali kemurahan hati Pak Yus. 

Kami sama-sama merantau dari Kedah, kemudian sama-sama masuk Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (Akrab). Kami pernah tidur di Rumah P. Ramlee di Taman Kebudayaan di Penang, tidur di bilik sempit di belakang pentas. Kami cari duit dengan cara menyanyi dan bermain muzik di kedai makan setiap Sabtu dan Ahad. Saya bermain rebana, Pak Yus bermain gitar, Man menggesek biola. Arwahlah orangnya yang membawa saya masuk ke bidang ini. Saya sertai audition Raja Lawak bersama partner saya (Lan), di Ipoh pun atas dorongan Pak Yus.

Daripada suka-suka menjadi PA tak rasmi Pak Yus, mengekornya ke sana-sini, mengurus jadual shownya, saya sempat juga berguru dengannya. Pesannya selalu, dengan orang tua-tua, jangan biadap, jaga ibu ayah, rupa tak penting tapi hati kena ikhlas. Di Alor Staq, kami duduk dekat dua tiga tahun juga, lepas itu ke Penang, kemudian ke Perlis bermain teater dan muzik. Kalau di kampung, dia suka duduk berangin seorang diri di bawah sebatang pokok asam. Di situlah tempat dia selalu mencari ketenangan jiwa, tempat dia menangis, tempat dia mencari dirinya yang hilang.

Al-Fatihah buat Allahyarham Yussry bin Edoo (1976 - 2015). 

#PakYusDalamKenangan
#InTrendMalaysia
#MaharajaLawakMega 


tauke-pakyus-2.jpg

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.