Nov 29, 2017 - 508
Oleh: Norhaizan Ahmad
Acara gilang-gemilang bersempena ulang tahun ke-12 InTrend yang diraikan di Aloft Kuala Lumpur Sentral pada 23 November 2017 cukup mengujakan! Kehangatan yang dipancarkan menerusi gemerlapan sinaran neon dan zodiak berterusan sepanjang malam. Kemeriahan acara kali ini didokong jitu dek sokongan rakan penaja yang terdiri daripada:
Penaja rasmi: Renault Malaysia
Rakan Fesyen: Carlo Rino
Rakan Solekan: Lancome
Rakan Dandanan: Snips
Rakan Televisyen: H!Live
Rakan Radio: ERA fm
Rakan Fotografi: Wowsomemy
Jutaan terima kasih kepada rakan penaja bersempena ulang tahun InTrend ke-12. Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih kepada InTrenders yang setia menyokong InTrend sehingga mampu melakar kejayaan 12 tahun berada di pasaran. Justeru, kemeriahan ini turut diraikan bersama pembaca bertuah yang terpilih bagi menyaksikan kegemilangan malam serba gah ini.
Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran sekitar jam 7.00 malam. Kemeriahan sudah pun terpancar di luar dewan apabila barisan selebriti berselang-seli memotretkan kenangan di photo wall yang dihias indah seterusnya melangkah megah di laluan karpet merah.
Tidak ketinggalan para hadirin, warga media, jurusolek, pakar dandanan, personaliti, klien, pegawai perhubungan awam dan ramai lagi, yang mana masing-masing tidak melepaskan peluang merakamkan momen indah yang tidak akan dilupakan.
Penyampai Radio ERA, Hani Fadzil yang bertindak selaku hos di karpet merah telah menemubual selebriti yang hadir pada malam itu antaranya Ziana Zain, Fasha Sandha, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, Neelofa, Syafiq Kyle, Khai dan Rosmah, serta Amanda Imani.
Pentas utama digegarkan dengan persembahan mantap DeFam yang menyampaikan dua buah lagu berentak rancak sebagai tanda bermulanya majlis. Gimik kemunculan hos pada malam itu, Nana Mahazan dengan Renault Captur dan Marsha Milan yang memandu Renault Twizy mendapat tepukan gemuruh hadirin.
Dan acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Digital dan Pemasaran, ASTRO Malaysia Holdings Berhad, Ridhuan Sidek, diikuti ucapan oleh Editor Pengurusan InTrend, Rosie Haslinda Nasir.
Pentas InTrend terus dihangatkan dengan pertunjukan fesyen yang menitipkan elemen zodiak dalam setiap rekaan, hasil kerja tangan 12 pereka fesyen pilihan InTrend iaitu Brian Khoo dengan rekaan yang berpaksi pada zodiak Capricorn, Zery Zamry (Aquarius), Innai Red (Pisces), Mimpikita (Aries), Syomirizwa Gupta (Taurus), Rizman Ruzaini (Gemini), Nurita Harith (Cancer), Syaiful Baharim (Leo), Azura Mazaruddin (Virgo), Afiq M (Libra), Jovian Mandagie (Scorpio) dan Rico Rinaldi (Sagittarius).
Tahniah kepada pereka fesyen kerana berjaya memberikan santapan pancaindera nan memukau kepada para hadirian yang direalisasikan dengan bantuan peragaan oleh barisan 14 model.
Pada malam bersejarah itu, InTrend berbesar hati menyampaikan 12 anugerah sebagai tanda terima kasih terhadap kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh barisan selebriti, pereka fesyen, jurusolek, pakar dandanan, model dan personaliti terkenal sepanjang 12 tahun InTrend berkarya.
Gandingan bintang ternama iaitu Ziana Zain dan Ning Baizura menyerikan lagi sesi penyampaian anugerah bagi kategori Anugerah Wajah Sampul Popular yang diungguli oleh Fattah Amin, Anugerah Suri Teladan (Neelofa) dan Anugerah ‘Supermom’ Malaysia (Zarina Zainuddin). Kemudian acara diteruskan dengan persembahan Marsha yang mendendangkan lagu ‘Asmara’.
InTrend menjemput jurusolek senior iaitu Datin Saidatul Nisa dan Ketua Jurusolek Lancome Malaysia, Zamri Zainol untuk menyampaikan Anugerah Jurusolek Popular yang didominasi oleh Khir Khalid, Anugerah Pakar Dandanan Popular (Ckay Liow) dan Anugerah Selebriti Paling Menawan (Neelofa).
Pentas utama terus dihangatkan dengan alunan vokal Hael Husaini yang menyampaikan dua buah lagu termasuk lagu yang menaikkan namanya di persada seni iaitu ‘Jampi’. Hael bijak dalam menguasai audiens pada malam itu apabila turun ke ruangan hadirian lantas menyanyi bersama-sama dengan Awal Ashaari dan Neelofa.
Untuk penyampaian Anugerah Lelaki Dambaan yang diungguli oleh Syafiq Kyle, Anugerah ‘Social Media Influencer’ (Vivy Yusof) dan Anugerah Bintang Paling ‘Viral’ (Dato’ Seri Vida) disempurnakan oleh gandingan lima model iaitu Shikin Gomez, Rita, Alicia Amin, Nadirah dan Deedee Nash; selain Scha Alyahya dan Uqasha Senrose.
Penghibur paling dinanti-nanti, Dayang Nurfaizah tampil serba hitam di petas utama sambil mendendangkan dua buah lagu ‘hits’nya termasuk ‘Lelaki Teragung’. Lontaran vokal Dayang yang superb mendapat tepukan gemuruh hadirian. Bagaikan tidak puas mendengar lunak suaranya itu.
Keterujaan hadirin diteruskan dengan penyampaian anugerah yang seterusnya, disempurnakan oleh gandingan empat peragawati senior iaitu Tengku Azura, Eryna Salim, Fadzlun dan Tinie. Untuk Anugerah Pereka Selebriti Popular, ia menjadi milik Rizman Ruzaini; Model Terhangat (Shikin Gomez) dan Anugerah Selebriti Fesyen Ikonik (Scha Alyahya).
Istimewanya pada malam itu, InTrend turut menyediakan anugerah yang ke-13 iaitu Anugerah Aditeladan Malaysia 2017 yang merupakan anugerah utama pada malam itu yang menjadi milik Neelofa.
Anugerah Aditeladan Malaysia 2017 bertujuan untuk memberi contoh inspirasi peringkat tertinggi untuk sekian banyak perkara ataupun pencapaian positif yang dipamerkan dan boleh diteladani masyarakat.
Ini terbukti pada sekitar 2017, Neelofa sudah memahat nama di persada global apabila diberi penghormatan sebagai tetamu di Pertunjukan Fesyen Victoria’s Secret di Shanghai, China pada 20 November 2017; turut menjadi tetamu penting dalam majlis Swarovski Crystal Wonderland Party bersempena Minggu Fesyen Milan di Milan, Itali pada 21 September 2017; terpilih mewakili Malaysia untuk Program Delegasi Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan dijemput menjadi panel penceramah di Forum Belia Misk-UNDP 2017 yang diadakan di New Yorl, Amerika Syarikat pada September 2017; tersenarai dalam kategori ‘The 30 Under 30 Asia: Retail & Ecommerce’ dan banyak lagi.
Dan sebelum majlis menuju ke penghujungnya, InTrend turut menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Eden Firdaus Centre for Special Education iaitu sebuah sekolah pendidikan kanak-kanak istimewa di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dikenali sebgai InTrend Insani. Eden Firdaus Centre for Special Education diwakili oleh Ahmad Idham selaku pengasas kepada institusi ini.
Akhir kata, InTrend ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam InTrend Gala 2017. Teruskan sokongan anda agar kita diberi kesempatan untuk berkumpul dan bermesa pada tahun-tahun mendatang.