Sep 13, 2016 - 107

5 Sebab Mengapa Peminat Wanita di Malaysia ‘Jatuh Cinta’ dengan Afgan

Konsert SIDES Afgan yang berlangsung di Dewan Merdeka, PWTC cetus fenomena apabila Afgan meluahkan rasa cinta terhadap peminatnya di Malaysia.

Awal bulan ini, penyanyi terkenal Indonesia, Afgan Shah Reza atau Afgan meluahkan rasa cintanya buat peminat di Malaysia dengan mengadakan konsert solo keduanya iaitu Afgan SIDES Live In Malaysia 2016 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ternyata hujan renai yang membasahi sekitar kawasan PWTC tidak melemahkan semangat 3,000 peminat yang menantikan kehadiran Afgan pada malam tersebut. 



Tepat jam 8 malam dewan mula dibanjiri ribuan peminat Afgan yang datang menyaksikan konsertnya. Malah ada peminat dari Brunei, Indonesia dan Singapore turut hadir. Pada jam 8.30 malam Dewan Merdeka gamat dengan jeritan peminat Afgan, tatkala Afgan tampil di pentas besar dengan menyanyikan lagu hitsnya Bukan Cinta Biasa secara accapella. Baru mula dengan lagu pertama peminat tidak berhenti menjerit melihat kemantapan vokal Afgan yang memukau. Persembahan Afgan turut diiringi oleh pemuzik dan penyanyi latar dari Jakarta, Indonesia.  


 

Dewan Merdeka semakin hangat, apabila Afgan mendendangkan lagu rancak berjudul Pesan Cinta dan diteruskan mengiburkan peminat dengan lagu terbarunya Rollercoaster, Katakan Tidak dan Betapa Aku Cinta Padamu. Konsert kali ini memberi impak mendalam buat peminat Afgan dengan mempersembahkan lagu hitsnya dan lagu terbaru dari album SIDES

Tidak ketinggalan juga, Ratu Jazz Negara, Datuk Shelia Majid turut hadir memberi sokongan kepada Afgan, kehadiran ratu Jazz ini membuatkan Afgan terasa terharu. Malah Afgan mengucapkan terima kasih kepada Datuk Sheila Majid kerana hadir memeriahkan konsertnya. Selain itu, keluarga Afgan dari Jakarta juga turut hadir ke konsert memberi sokongan padu kepadanya. 


 

Kehangatan kian membara apabila Afgan mempersembahkan lagu idolanya berjudul Selamanya sebagai tribut kepada Datuk Sheila Majid. Selain itu, Afgan juga memilih lagu Crush nyanyian asal Yuna dan Usher untuk dipersembahkan. Konsert diteruskan dengan lagu-lagu hits seperti Tak Peduli yang dinyanyikan secara medley serta lagu berbahasa Inggeris seperti Count on Me, Thinking About You dan Brand New Day. 


Persembahan pada malam itu mula bertukar sedikit emosi apabila Afgan tampil mendendangkan lagu balada daripada album terbaharunya iaitu Bawalah Cintaku, Kunci Hati dan Aku Dengannya Kau dan Dia. Keikhlasan Afgan mendendangkan lagu-lagunya membuat peminat terus jatuh cinta dengan kemerduan suaranya yang cukup mantap. 

Selain itu, Afgan turut mengundang SonaOne untuk berduet menerusi lagu terbarunya berjudul X. Afgan tidak membiarkan emosi sayu penonton dibiarkan terlalu lama, dia kembali pentas dengan set lagu rancak popularnya iaitu Knock Me Out. Antara lagu lain yang turut disampaikan Afgan adalah Jalan Terus, Setia Menunggu, Terima Kasih Cinta dan Entah secara medley.
 


Selain itu, Afgan  juga turut menyampaikan lagu This Is Where You Came From dan Can’t Stop The Feeling dengan tarian yang rancak. Slot terakhir konsert hampir dua jam itu diakhiri dengan lagu Percayala, Jodoh Pasti Bertemu, Panah Asmara dan Bukan Cinta Biasa membuatkan semua hadiri berdiri menyanyi bersama-sama. Ternyata konsert solo kedua Afgan ini memberi memori indah buat peminat di Malaysia. Konsert Afgan Sides Live in Malaysia 2016 dianjurkan oleh Dazzling Lifestyle dan dipersembahkan oleh Obermain.
 

 

5 Sebab peminat wanita di Malaysia ‘jatuh cinta’ dengan Afgan: 

  1. Kemerduaan suara Afgan berjaya membuat peminat leka apabila mendengar suaranya. 
  2. Keindahan lirik lagu yang dialunkan dengan kelunakan suara jejaka berlesung pipit ini benar-benar memberi kesan mendalam buat si pendengar.
  3. Pakej lengkap yang dimilikinya mampu membuatkan rata-rata peminat terutamanya golongan wanita seakan histeria menyaksikan persembahannya.
  4. Panahan lagu-lagu hitsnya membuatkan peminat dapat terima dengan terbuka. 
  5. Saling berinteraksi bersama peminatnya menjadikan Afgan antara selebriti yang disenangi oleh peminatnya. Malah, pengikut di media sosial telah mencecah seramai 1.8M membuktikan Afgan mempunyai penyokong yang kuat dalam karier seninya. 
 






Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.