Apr 08, 2016 - 1

(BELASUNGKAWA!) “Terima Kasih OS, Terima Kasih Sahabat Untuk Semua Kenangan Kita…” - JALIL HAMID

Allahyarham Os menghembuskan nafas yang terakhir, menggemparkan industri hiburan tanah air...

81427345475_295x200.jpg

“OS PANDAI BERMAIN GOLF” - JALIL HAMID  


Teks: Rosie Haslinda Nasir 

InTrend: Boleh saudara Jalil Hamid kongsikan kenangan bersama Allahyarham Os yang menghembuskan nafas terakhir, awal tengah hari tadi?

Jalil Hamid: Sepanjang yang saya kenal Allahyarham, dia ini peramah orangnya. Dia rajin dan suka berkawan. Pendek kata, kalau kita bekerja dengan dia, kita rasa tenang, jiwa kita rasa aman, sebab Allahyarham ini… dia suka ambil tahu tentang kawan-kawan. Dia baik hati (sebak). Allah… saya pun tak tahu nak cakap apa-apa, sebab terkejut sangat dengan pemergian beliau (menghela nafas panjang).

Allahyarham pernah shooting bersama saya untuk drama 20 episod. Jadi sepanjang kami bekerjasama untuk karya tersebut, memang banyak kenangan sempat kami ukir bersama. Juga pendapat-pendapat yang kami saling kongsikan. Selalu juga kami berbual tentang nasib pelawak dan pelakon di Malaysia. Beliau sangat bersetuju dengan apa yang kami katakan, betapa masa depan komedian terkadang malap, terkadang terang. Sehinggalah akhirnya dia menjuarai Maharaja Lawak Mega 2011, berpadu dengan Abon, menggelarkan diri mereka Osbon. Saya masih ingat lagi kata-katanya kepada saya: “Nah! Alhamdulillah, sekarang dah terbukti, mudah-mudahan apa yang kita buat selama ini akan memberi manfaat kepada orang kita dan pelapis akan datang.”

Kita tahu beliau pernah bawa teksi untuk menyara kehidupannya. Sampai ke tahap itu pun beliau boleh dan sanggup buat untuk survival hidup. Tidak ada istilah malu atau berpura-pura. Ramai yang tidak tahu, beliau sebenarnya seorang pemain golf yang bagus. Sampai satu waktu dulu, kala berlaku kemelesetan ekonomi yang teruk, sewaktu banyak artis Malaysia gulung tikar dan terhimpit kerana tekanan hidup, Os berhijrah ke Sarawak. Di sana, Os sempat mengarahkan sebuah filem (maaf, saya terlupa tajuknya). Jarang dapat kita temui artis dengan kualiti seperti Os. Dia pandai bercakap Mandarin, malah bercakap Tamil pun dia boleh. Yang paling memeranjatkan, Os boleh bertutur dialek Sarawak sebagaimana orang Sarawak sendiri. Terima kasih Os, terima kasih sahabat (menahan sebak). Itu sahaja yang dapat saya ungkapkan untuk kamu sahabat. Damailah di sana…” JALIL HAMID, penghibur/komedian jemputan @intrendmalaysia edisi April 2016 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.