Apr 22, 2016 - 433

Dekati Nadira Adnan Pemilik Lagu Isi Hati, Anak Kepada Menteri Wilayah Persekutuan

Kali ini, InTrend bawakan temu bual eksklusif Nadira Adnan yang bercerita mengenai pengalamannya bekerja bersama komposer terkenal Indonesia..

 

 

 

 

 

Teks : Afiza Kamarulzaman
Instagram : @afizakamarulzaman

 

 

 

Kredit foto: Instagram @tengkunadiraadn

 

 

 

Nadira2.jpg
 

 



“Saya ada misi tersendiri untuk berjaya dalam bidang muzik dan bidang perubatan.” - Nadira Adnan

 

 

NAMANYA belum begitu dikenali, namun apabila disebut lagu berjudul Isi Hati pasti ramai yang mengenali Nadira Adnan. Dilahirkan di London, kemudiannya kembali ke Malaysia menyambung persekolahan hingga ke sekolah menengah dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Jakarta, membuka lembaran yang lebih luas buat Nadira.

 

Tidak hanya mengejar impian bergelar doktor, dia juga diberi peluang melunaskan minatnya dalam bidang muzik dan seni suara. InTrend berkesempatan menemubual eksklusif bersama Nadiah Adnan bercerita perihalnya. 

 

 

 

Bagaimana terdorongnya Nadira dalam bidang seni suara?
Seni Persembahan sentiasa berbunga di hati sejak saya kecil lagi. Kota Jakarta membuka peluang yang luas kepada saya bukan setakat menyambung pengajian, tetapi juga bergelar penyanyi. Walaupun, pada mulanya keluarga agak bimbang saya tidak mampu menggalas dua tugasan sekali gus, namun akhirnya mereka terima setelah saya buktikan saya tidak mungkin mengabaikan pelajaran.

 

Ibu saya separuh Indonesia, mempunyai teman baik bernama Thata Joyce Sigar, seorang yang berpengaruh dalam industri muzik dan hiburan di sana, bertanyakan saya, mahukah mencuba merakamkan lagu?

 

Dia kemudiannya menjadi produser muzik saya selepas saya menamatkan pengajian di sekolah menengah. Isi Hati adalah judul album pertama saya dan lagu yang kian mendapat sambutan di sini. Terima kasih juga kepada Ahmad Dhani yang mencipta lagu-lagu indah untuk saya. 

 

 


Bagaimana bekerja dengan Ahmad Dhani? 

Ramai yang kata dia kelihatannya garang. Bagi saya dia orangnya tegas, berterus-terang tapi tidaklah garang. Seorang yang baik, suka memberi dorongan dan mungkin kerana dia yang menulis sesuatu lagu itu, dia mahu orang yang menyanyikannya memberikan yang terbaik. 

 

 

Anda boleh dikategorikan punya pakej yang baik; berperwatakan menarik, punya wajah komersil dan bakat yang bagus, komen?

Alhamdulillah. Terima kasih. Apa pun, bagi saya bakat itu tetap datangnya nombor satu. Lebih baik kiranya orang mula mengenali kamu, melihat kamu dan kemudiannya mendengarkan suara kamu itu seindah apa yang mereka lihat. 

 

 

 

 

 

Jadi, apakah makna cantik kepada anda?

Feel good dengan apa yang kamu pakai dan yang ada dalam diri kamu. Rasa cantik itu harus kamu alami dari dalam diri sendiri untuk kamu tonjolkan kepada orang di luar sana. Ia lebih dari sekadar luaran. Cantik dalam, cantik minda. 

 

 

Apakah tips kecantikan yang Nadira amalkan?

Daripada penjagaan kulit, saya pengguna setia Clinique. Dan, untuk pengetahuan anda, saya banyak belajar tentang panduan kecantikan daripada adik saya. Dia sangat rajin menelaah produk-produk terkini dan tutorial mekap di YouTube dan meninjau review daripada komentar di internet.

 

 

Anda seorang ‘beauty conscious’?

Ya. Tipu kalau ada wanita yang tidak mahu mengakuinya kerana bagi saya walaupun ada antara kamu cuba menidakkannya tetapi hakikatnya kamu sentiasa mahu tampil cantik dan sempurna. Lihat sahaja, berapa banyak produk kosmetik yang ada sekarang ini? Bermakna adanya sokongan permintaan daripada ramai wanita yang prihatin terhadap kecantikan mereka. 

 

 

 

 

Apakah perbezaan antara perkembangan fesyen dan kecantikan di Indonesia dan Malaysia?
Agak sama. Cuma, mungkin pengaruh fesyen saya lebih ke arah sana kerana saya berhijrah ke Jakarta pada usia saya sedang meningkat remaja. Apa yang boleh saya katakan, orang di Jakarta mungkin lebih berani dan tangkas menjengah pengaruh fesyen dari Amerika atau Eropah. Di Malaysia, sama sahaja sebenarnya cuma saya lihat perkembangan hijab lebih mendahului sekarang ini. Namun, mereka tetap fashionable walaupun dengan hijab. 
 

 

 

 

 

Tiga amalan cantik peribadi anda?

Pakai hanya sedikit mekap kerana solekan yang tebal hanya membuatkan anda menjadi orang lain. Kedua, ambil berat penjagaan rambut kerana ia mencerminkan siapa anda. Saya menggunakan tonik rambut untuk mengekalkan kesihatannya. Akhir sekali, feel good dengan apa sahaja yang anda gayakan.

 

 

Ikon cantik pujaan anda?

Di Malaysia, Sheila Majid. Walaupun sudah bergelar ibu, dia kekal cantik dan bergaya. Di Indonesia pula, saya kagumi Ruth Sahanaya. Suka melihat susuk tubuhnya. Pakailah apa saja, dia kelihatan sangat cute. Tidak ketinggalan Bunga Cinta Lestari. Saya antara follower tegarnya di Instagram. Hahaha. 

 

 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.