Jun 30, 2016 - 2650

6 Jurusolek Malaysia Paling Berpengaruh... No. 3 Adalah Kegemaran Luna Maya

Dengan Sebutir Palet Solekan, Mereka Memindahkan Fantasi yang Aneh-aneh ke Wajah... Dengan Indah! Kami Menyaksikannya Dengan Mata Kami Sendiri.


Teks: Afiza Kamarulzaman
Instagram:  
 

NO. 3 FENDI SANI 


 

“Tiada apa yang sempurna dalam hidup ini, jadi saya sentiasa bersyukur dalam apa jua pencapaian, saya cuba letakkan diri pada tingkat terbaik.” 


Bermula sebagai pendandan rambut, yang akhirnya membawa dia berjinak-jinak dalam dunia persolekan, Fendi Sani bukan nama asing sebagai jurusolek senior negara yang punya air tangan ‘berbisa lagi cukup rasa’. Seorang yang menjadikan kanvas lukisan (malah ketika zaman kecilnya, tanah juga tempat dia melampias idea) sebagai dunianya menterjemahkan ilham sarat bersarang di kepala. 

Hasil nukilan Fendi Sani. Foto: Aaron & Felina

“Saya menyenangi sesuatu yang cantik. Kerjaya saya ini juga membawa saya menjelajah ke seantero dunia. Lantas,  ‘mengayakan’ saya dengan pelbagai pengalaman. Bagi saya, setiap satu pengalaman itu amat saya hargai daripada menyolekkan orang kenamaan, selebriti hinggalah orang biasa. Pengalaman itu menjadi guru saya.” Menurut Fendi lagi, peluang menyolekkan empat selebriti Indonesia iaitu Luna Maya, Dian Sastrowardoyo, Tamara Bleszynski dan Mariana Renata untuk iklan Lux pada tahun 2007 di Jakarta adalah satu pengalaman dan energi luar biasa yang berjaya direalisasikan untuk dua hari berturut-turut. 
 

 

Ditanya tentang signaturnya dalam solekan, kata Fendi, manusia itu sendiri tidak lahir dengan sempurnanya. Justeru, solekannya juga mementingkan suatu hasil yang cantik tapi tidak semestinya harus sempurna. “Saya tidak melakukan solekan untuk kelihatan sempurna. Saya fleksibel orangnya. Tiada had dan batasan, saya selalu mematahkan setiap peraturan dan keluar dari kotak yang sempit. Kita harus berfikir lebih daripada yang kita nampak di depan mata. Secara peribadi, ya saya menyukai suatu karya yang natural with a twist of fashion sense, ada gaya elegan dan moden klasik. Sesuatu yang edgy tapi masih berlandaskan pada simplicity.” 

 

Fendi menitipkan pesanan buat lapisan jurusolek baru (walau menurutnya dia juga masih memerlukan nasihat), katanya untuk terus bertahan, sikap putus asa harus dibuang jauh sekiranya kita berasakan kita mampu melakukannya. Dalam meniti tangga-tangga kejayaan, keikhlasan dan sikap merendah diri perlu ada kerana ia nadi penting dalam menghasilkan karya yang semula jadi dan fokus menjadikan kita lebih disenangi. Ada pun kerja mekap ini dianggap sebagai ‘menconteng’, namun ia sebenarnya lebih daripada itu. Ia satu profesion yang serius dan seharusnya dihargai. Dihargai; bukan sekadar dipuji, malah harapannya bayaran juga perlulah setimpal. Ya, ia satu seni yang diperjuangkan, namun dalam kehidupan moden hari ini, kita tetap perlu mengira nilainya. 
 

  
  

NO. 4 LILY OTHMAN 


 

“Hidup bukan mudah tapi hidup itu indah. Setiap kegagalan mematangkan. Jadilah insan yang tak takut gagal dan jangan lupa kala sudah berjaya.”

Namanya mungkin kedengaran masih janggal dalam kalangan peminat persolekan. Lantaran baru kembali berkarya setelah lama menyepi. Hakikatnya, Lily Othman mula mengembangkan bakat menyolek selepas tamat belajar. Namun, terhenti seketika apabila dia mahu mencuba lapangan baru. Namun, sejak dua tahun lepas, Lily putuskan untuk kembali memegang berus soleknya, membuka kembali palet warna demi menyegarkan semula bakat yang sudah terbuku sekian lama. Menjadikan Azman Razali sebagai guru untuk mengasah kembali ketumpulan pedangnya, Lily bersyukur apabila Khir Khalid pula sudi mengajak menemaninya membuat solekan. Peluang itu diambil Lily untuk belajar daripada seni penataan Khir Khalid yang dikaguminya selama ini. Daripada situ, bermulalah kembali kerjaya persolekannya apabila satu demi satu tugasan mula diberikan. Dan, hasil kerjanya dipercayai. 


Hasil nukilan Lily Othman. Foto: Aaron & Felina  


“Saya seorang yang suka mencuba, namun setelah penat dengan semua yang pernah saya lakukan sebelum ini, saya membuat keputusan untuk kembali ke bidang yang amat sangat saya cintai ini. Bagi saya dunia persolekan ini memberi saya kepuasan. Ia sebuah kerja yang mudah apabila ia sesuatu yang kita minat. Sejak itu, saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi,” ujar Lily yang suka mencantikkan orang dan bertambah puas apabila orang suka dengan hasil karya yang dinukilkan. 

 

Malah, celahnya lagi, menjadi jurusolek bukan sekadar suatu pekerjaan mencantikkan wajah orang, ia sebenarnya mengajarnya menjadi lebih penyabar, menyantuni timbang rasa, membuatkan dia lebih fokus dan bijak mengawal apa jua situasi spontan. “Kalau dulu, saya seorang yang pemarah, namun apabila kembali menjadi jurusolek, saya semakin bijak mengawal amarah walau berdepan dengan individu yang mungkin tidak menepati masa atau menyusahkan kerja kita. Ia sebuah pekerjaan yang mendewasakan. Mendidik diri menjadi lebih baik. Bukankah ia satu pakej pekerjaan yang menyeronokkan?” 
 

 

Bercakap soal teknik solekan, bagi Lily, teknik kontur adalah fokus utamanya kerana sebuah kanvas wajah yang punya kontur yang sedia cantik, hanya memerlukan sedikit cuitan warna dan elemen solekan lainnya untuk menyempurnakan hasil solekan itu. Kontur wajah yang cantik menentukan hasil solekan yang indah. Dan, kebanyakan solekan yang dihasilkannya mempunyai kekuatan shading dan highlight yang mengagumkan. 

 

“Jika diberi peluang, saya mahu belajar dan terus belajar untuk mendalami ilmu persolekan. Bagi saya, semakin banyak yang kita belajar, semakin banyak rupanya yang kita kecetekan. Kalau diberi peluang dan punya rezeki, saya teringin mahu menyambung pengajian dalam bidang persolekan di Paris. Bukanlah tidak boleh belajar di sini, cuma mahu meluaskan lagi pengetahuan dan pengalaman melihat budaya kerja negara lain juga. Mungkin daripada situ, saya boleh menyumbang sesuatu kepada industri kecantikan di sini pula,” luahnya apabila ditanya apa yang dapat dilihat untuk masa depan kerjayanya nanti. Yang pasti, inilah kerjayanya yang akan terus diperjuangkan. 

 

 


 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    6 Jurusolek Malaysia Paling Berpengaruh... No.1 Adalah Kegemaran Dayang Nurfaizah

  • Seterus →

    6 Jurusolek Malaysia Paling Berpengaruh... No. 6 Adalah Kegemaran Scha Alyahya